Monday, January 20, 2014

Indah Melayu pada pantun

Indah Melayu pada pantun

Jan 20, 2014 | 6:00AM -- hermes
USAH lupakan puisi lama, terutama pantun yang memang pancaran asal jati diri Melayu.
Itulah pesan Mohd Gani Ahmad, 73 tahun, ketika ditemui di rumah pangsanya di Toa Payoh.
Ayah sembilan anak (enam lelaki dan tiga perempuan berusia antara 43 dengan 30 tahun) dan tujuh cucu ini, masih gigih membaca, berkarya dan terkini pula menghalusi Al-Quran. Beliau menderita sakit angin ahmar (strok) pada 2003 yang menjejas pergerakan dan pertuturannya.
Menurut sasterawan mapan, Hj Djamal Tukimin, 66 tahun, Cikgu Mohd Gani Ahmad ialah penulis dan pengkaji pantun terbaik di Singapura.
"Saya lakukan sekadarnya sahaja," kata beliau yang memang terkenal sebagai guru dan aktivis sastera yang merendah hati. Manuskrip kumpulan pantun lengkap dengan kajiannya yang agak perinci telah siap tetapi tergenjot penerbitannya.
"Tengoklah manuskrip ini yang siap pada 2002. Ia sudah diberi kata pengantar oleh Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad pada 1 Januari 2003. Hasrat saya hendak terbitkan menerusi Pustaka Nasional tetapi penerbitnya, Ustaz Syed Ahmad Semait, meninggal dunia," ceritanya.
PANTUN DARI TEMASIK
Menurut beliau, pantun merupakan bentuk puisi lama yang unggul bagi orang Melayu. Malah apabila sarjana Barat membawanya ke Eropah, antara tokoh yang terpesona ialah Victor Hugo, sasterawan besar Perancis, yang cuba menggubahnya dalam bahasa ibundanya pula.
Selanjutnya, dalam pengumpulan pantun dalam buku-buku terbitan serantau termasuk di Malaysia seperti Kurik Kendi Merah Saga (DBP,2005) yang menghimpunkan lebih 5,000 pantun, memang nama-nama negeri di Malaysia saja disebut, tetapi tempat-tempat seperti Tanjung Katong disebut juga dalam pantun-pantun yang terkumpul.
"Ini antara bukti yang tidak boleh sekali-kali kita lupa bahawa Singapura merupakan pusat kegiatan bahasa dan sastera sejak namanya diubah daripada Temasik oleh Sang Nila Utama," katanya sambil merujuk sebab daripada buku Sejarah Melayu yang menggariskan kisah raja-raja Melayu sehingga zaman kebangkitan dan kejatuhan Kesultanan Melaka.
"Singapura pernah menjadi pusat cendekiawan Melayu dalam 100 tahun antara 1850 sehingga 1960. Namun perpisahan dengan Malaysia merupakan suatu trauma yang merubah keadaan. Tapi kita dapat bangkit semula," katanya penuh azam.
Azam Cikgu Mohd Gani terserlah apabila turut memimpin Angkatan Sasterawan '50 dalam dekad 1970-an sehingga awal 1990-an.
HADIAH SASTERA
"Sesudah perpisahan, kalangan orang Melayu macam kehilangan. Jadi, kita perlu membangun jati diri dengan imej sebuah negara baru bernama Singapura yang majmuk dan cuba memacu pertumbuhan ekonomi pesat untuk menjadi watan pertama bertaraf negara maju di rantau ini.
"Jadi, ada banyak yang perlu dikorbankan seperti kehidupan kampung dan warisan," ceritanya.
Untuk menguatkan jati diri, beliau antara kalangan penulis muda yang menampilkan gagasan Perkampungan Sastera pada 1973 di Kem Tanah Merah.
"Kami terbitkan dalam bentuk stensilan dan buku karya-karya tokoh Asas '50 seperti Muhd Ariff Ahmad, Masuri SN, Suratman Markasan, Aliman Hassan, Noor SI dan A Ghani Hamid, serta penulis baru seperti Mohd Latif Mohd dan Suradi Sipan.
"Di Perkampungan tadi, kami bentuk strategi untuk bangkitkan bahasa dan sastera Melayu dengan menerima idea Cikgu Mamat Samat (almarhum) bagi diwujudkan Hadiah Sastera iaitu pengiktirafan untuk penulis kita," ceritanya penuh kerinduan.
KONSEP NUSANTARA
Selanjutnya, Cikgu Mohd Gani dan rakan-rakannya cuba menghulurkan salam dari Singapura kepada Malaysia dan Indonesia sesudah berlalu zaman getir Konfrontasi (percubaan Sukarno melancarkan serangan saraf dan gerila ke atas penubuhan Malaysia, 1963-1966).
"Pada 1977, Asas '50 ingin mengadakan semacam pertemuan penulis dan turut mengundang penulis dari negara-negara jiran. Cikgu Fathol Rahman mengesyorkan nama 'Pertemuan Sasterawan Nusantara'," ceritanya.
Kekata 'Nusantara' seolah-olah mengembalikan kenangan mengenai niat Majapahit (Jawa) yang mahu menguasai seluruh kepulauan Asia Tenggara.
"Tapi niat kami ialah menjadikan Nusantara sebagai jalinan antara nusa bukan mengungkit sejarah empayar. Ada pihak tidak selesa termasuk yang menasihati kami, Prof Edwin Thumboo, juga seorang penyair besar watan kita," tambahnya.
Ternyata sejak Pertemuan Sasterawan Nusantara 1977, berlanjutan dengan Pertemuan Guru Nusantara, Pertemuan Drama Nusantara sehinggalah Pertemuan Wartawan Nusantara (1988) - semuanya berlaku di Singapura. Sekali gus, hujahnya, Singapura memainkan peranan sebagai jambatan antara negara-negara jiran.
"Hakikatnya, negara-negara serantau ini mahu dinilai berdaulat - berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tapi jalinan kebudayaan perlu terus mekar kerana inilah yang menyatukan kita untuk bersahabat dan berdialog walaupun boleh bersetuju atau tidak, termasuk dalam sastera. Dan antara unsur terhebat dalam jalinan tadi ialah lewat sastera Melayu, terutama genre pantunnya," katanya.
Cikgu Mohd Gani ingin pantun disemarakkan menerusi bengkel dan peraduan serta dokumentasi dari peringkat akar umbi termasuk dalam kalangan Baba Peranakan menerusi kelab Gunung Sayang dan sebagainya.
"Pantun memang asal Melayu tetapi warisan dunia. Ia indah dengan sampiran dan maksudnya, pilihan kata yang beralas tetapi mendalam menunjukkan ketinggian susila walaupun dalam apa jua keadaan emosi kita," hujahnya.

"Singapura pernah menjadi pusat cendekiawan Melayu dalam 100 tahun antara 1850 sehingga 1960. Namun perpisahan dengan Malaysia merupakan suatu trauma yang merubah keadaan. Tapi kita dapat bangkit semula."
- Mohd Gani Ahmad
Category: 
Sastera [1]
Author: 
RAMAN DAUD

No comments:

Post a Comment