Saturday, December 14, 2013

MELAYU harus diberi bantuan khas dan kelebihan BH Sabtu 14 Dis 2014

Shanmugam: Saya sokong aspirasi Melayu untuk maju

Masyarakat perlu ada pencapaian setara kaum lain; Harus fahami pemerintah perlu tangani tekanan kaum lain

  
ROSEBI MOHD SAH
MENTERI Ehwal Luar merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata beliau baru-baru ini menyuarakan isu mengenai bantuan istimewa kepada masyarakat Melayu kerana berpendirian teguh bahawa pendekatan sedemikian oleh pemerintah mesti diteruskan walaupun terdapat tekanan daripada masyarakat lain yang inginkan layanan yang sama.
Menurutnya, beliau sekian lama menyokong aspirasi masyarakat Melayu untuk maju kerana sebagai masyarakat minoriti, masyarakat Melayu memerlukan bantuan kewangan tambahan dan sokongan struktur di samping bantuan tidak langsung daripada pemerintah.
Kelebihan-kelebihan itu, kata beliau, akan dapat membantu masyarakat Melayu mencapai pencapaian yang baik.
Namun, Encik Shanmugam juga mahukan masyarakat Melayu memahami dan menyedari keseimbangan yang perlu dilakukan pemerintah dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.
Pemerintah, tegasnya, tetap memilih pendekatan tersebut dan akan terus melakukan sedemikian.
Dalam wawancara dengan Berita Harian, Encik Shanmugam berkata beliau membuat ucapan di majlis Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) baru-baru ini bagi menekankan adalah penting bagi memastikan bahawa masyarakat dan pemerintah terus memberi sokongan khas dan sokongan tambahan kepada masyarakat Melayu.
"Ini dilakukan meskipun terdapat tekanan daripada masyarakat-masyarakat lain bagi mendapatkan beberapa keistimewaan demi mencapai kesaksamaan," jelasnya.
Mengenai tekanan daripada masyarakat lain, Encik Shanmugam berkata malah banyak permintaan mereka adalah wajar, dan tekanan daripada masyarakat majoriti akan sentiasa lebih besar.
Antara contoh yang beliau singkap ialah permintaan berulang bagi sekolah-sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP), meningkatkan lagi penggunaan bahasa Mandarin di tempat-tempat awam dan melestarikan budaya Cina di Singapura.
Walaupun demikian, Encik Shanmugam berkata beliau sendiri selama ini penuh berkeyakinan bahawa masyarakat Melayu, sebagai masyarakat minoriti, memerlukan bantuan khas dan keprihatinan tersebut disuarakan sejak beliau menjadi Anggota Parlimen biasa lagi.
Beliau pernah bercakap di parlimen mengenai perkara itu dan membahaskan bahawa masyarakat Melayu perlu mempunyai semacam satu bentuk tindakan afirmatif, dan mesti dapat memanfaatkan peluang-peluang tanpa menjejas prinsip asas meritokrasi.
Mengenai bantuan tambahan yang diberi pemerintah, Encik Shanmugam berkata adalah penting bagi masyarakat Melayu memahami kenapa pendekatan itu dilakukan pemerintah.
Beliau memberi beberapa contoh dalam bidang-bidang tertentu di mana bantuan istimewa diberikan kepada masyarakat Melayu/Islam.
Ini termasuk soal tapak tanah bagi masjid dan skim subsidi yuran tuisyen pengajian peringkat tinggi (TTFS).
Beliau juga berkata peruntukan tapak tanah bagi masjid diberikan tanpa tender dan pada harga tanah dalam kadar yang termampu.
Selain kededua bantuan langsung dan tidak langsung, terdapat juga bantuan struktur daripada pemerintah bagi menyediakan prasarana seperti Mahkamah Syariah, yang tidak diberikan kepada sebarang masyarakat lain.
Encik Shanmugam berpendirian bahawa pemerintah perlu menahan desakan daripada kumpulan-kumpulan lain yang meminta layanan khas yang sama.
Ini kerana, sebagai satu masyarakat Singapura, kaum Melayu/Islam perlu mempunyai pencapaian setara dengan masyarakat lain, dan atas sebab inilah mereka perlu diberikan lebih bantuan.
"Adalah tanggungjawab kita sebagai sebuah masyarakat untuk cuba berusaha mencapai ideal tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment