Monday, November 25, 2013

MELAYU DAPAT LAYANAN ISTIMEWA DI SINGAPURA


Memang dapat layanan istimewa

Halimah: MBF antara contoh keistimewaan yang diterima umat Islam
SPEAKER Parlimen, Cik Halimah Yacob (gambar), berkata masyarakat Melayu/Islam menerima layanan istimewa daripada Pemerintah dan mereka perlu melihat konteks yang lebih luas apabila timbul isu dari masa ke masa.
Satu daripada contohnya ialah dalam soal pembinaan masjid.
"Ia kadangkala ditimbulkan juga oleh rakan-rakan saya yang berbangsa lain yang terpaksa mengumpul dana untuk membina kuil atau gereja mereka.
"Mereka mengatakan mereka tidak mempunyai kemudahan seperti Dana Pembinaan Masjid yang kita ada.
"Jadi, itu menunjukkan bahawa memang terdapat sokongan daripada Pemerintah kepada masyarakat Islam supaya dapat mereka laksanakan tugas-tugas agama mereka dengan baik.
"Dan itu sesuatu yang penting yang harus kita akur," jelasnya lagi dalam satu aktiviti kemasyarakatan kelmarin.
Cik Halimah dilaporkan berkata demikian oleh Berita On Suria ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Luar, Encik K. Shanmugam, baru-baru ini bahawa Pemerintah telah menyokong masyarakat Melayu menerusi pelbagai cara dan komited untuk terus menghulurkan sokongan tersebut bagi memastikan mereka mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
"Saya rasa apa yang dikatakan oleh Encik Shanmugam itu memang benar.
"Dan kita ketahui dalam masyarakat Islam sendiri bahawa kita mendapat layanan istimewa,'' kata.
Encik Shanmugam sebelum ini berkata, dalam beberapa hal, pemerintah membezakan masyarakat Melayu daripada masyarakat lain di sini dan memberi mereka sokongan tambahan.
Memberikan contoh, beliau berkata masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam mempunyai seorang Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Hal serupa tidak diberi kepada masyarakat lain.
Muslim Singapura juga adalah satu-satunya masyarakat beragama yang mempunyai Dana Pembinaan Masjid (MBF) dan ia disokong pemerintah.
Penganut agama lain seperti Kristian, Hindu dan Tao tidak menerima sokongan pemerintah jika mereka mahu membina rumah ibadat masing-masing.
Pembayaran zakat oleh masyarakat Islam juga menikmati pengecualian cukai dan madrasah sepenuh masa dibolehkan menggunakan dana Edusave - satu langkah yang tidak dinikmati sekolah-sekolah agama lain.
Cik Halimah menambah:
"Saya berharap masyarakat Islam dapat melihat isu-isu yang timbul dari masa ke masa dalam konteks yang lebih luas sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan tentang sokongan pemerintah atau kekurangan sokongan Pemerintah terhadap isu-isu tertentu.''

No comments:

Post a Comment