Saturday, December 14, 2013

Rusuhan Kaum 1969 & Rusuhan di Little India 2013

Antara insiden kelmarin dengan rusuhan kaum 1969

10 Disember 2013

Rosebi Mohd Sah, Adli Yashir Kuchit, Irma Kamarudin, Nurdhuha Esoof, Nurul 'Ain Razali dan Atiyyah Mohd Said


TANGGAL 13 Mei 1969. Itulah kali terakhir rusuhan dan keadaan huru hara berlaku di Singapura sebelum tercetusnya kejadian rusuhan di Little India kelmarin.
Dalam kejadian rusuhan kaum berdarah lebih empat dekad lalu itu pergaduhan mula-mula tercetus antara orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur - selepas keputusan pilihan raya di Malaysia diumumkan.
Singapura tidak ada kena-mengena dengan sebab tercetusnya pertelingkahan itu tetapi terkena tempiasnya apabila rusuhan melimpah dari seberang Tambak.
Akibatnya, hampir 200 jiwa terkorban dan lebih 350 tercedera di Malaysia.
Di Singapura pula, rusuhan yang berlangsung selama seminggu mengakibatkan seorang Cina dan tiga Melayu terbunuh. Lagi 11 Cina dan 49 Melayu tercedera.
Berikutan tragedi itu kerajaan Malaysia memperkenalkan perintah darurat untuk mengawal keadaan.
Rusuhan kaum pada 1969 itu tercetus akibat rasa tidak puas hati sesetengah orang dengan keputusan pilihan raya pada 10 Mei yang menyaksikan parti pemerintah menang dengan majoriti berkurangan sementara parti pembangkang meraih undi lebih besar.
Pilihan raya itu diadakan di tengah-tengah ketegangan antara kaum Melayu dengan Cina.
Kejadian rusuhan di Little India pula tercetus selepas berlaku satu kemalangan jalan raya antara sebuah bas privet dan seorang pejalan kaki.
Pejalan kaki berkenaan, seorang lelaki warga India, terkorban dalam kemalangan tersebut. Pemandu bas privet itu pula seorang lelaki warga setempat.
Polis dan anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang dikerahkan ke tempat kemalagan itu kemudiannya diserang para perusuh hingga menyebabkan 10 anggota polis, 12 anggota SCDF dan empat orang awam tercerdera.
Perusuh kemudiannya menterbalikkan tiga kereta polis. Beberapa kenderaan termasuk sebuah ambulans dan dua kereta polis dibakar.
Polis berkata 300 anggotanya dikerahkan ke tempat rusuhan dan mereka berjaya mengawal keadaan dalam masa sejam.

No comments:

Post a Comment