MELAYU SINGAPURA PRAGMATIK
Soalan (S): Tidak lama dahulu Cikgu ada membentangkan kertas kerja di Malaysia. Boleh secara ringkas berikan inti pati dan rumusan kertas kerja itu.
Jawapan (J): Kertas kerja itu bertajuk Bahasa Melayu Singapura dan cabaran masa muka dan disampaikan pada 7 Disember tahun lalu.
Kertas kerja itu mempunyai beberapa bahagian. Pertama, latar belakang bahasa Melayu di Singapura berdasarkan petikan tokoh-tokoh utama. Umpamanya, Pak Liaw (Dr Liaw Yock Fang) selalu menyatakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu perlu dipertingkat penggunaannya.
Selain itu, saya menukil kenyataan mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah berkata bahasa Melayu di Singapura sudah memasuki zaman kepupusannya. Saya menyatakan pandangan itu kurang tepat.
Turut disentuh, pencapaian orang Melayu Singapura termasuk soal kebahasaan seperti sikap pragmatik bangsa Melayu Singapura yang mempelajari bahasa Inggeris kerana bahasa itu penting. Saya juga menyentuh tentang bahasa Melayu dalam konteks dasar dwibahasa selain krisis keyakinan pengguna bahasa Melayu dan peranan badan-badan teras/tunjang seperti Yayasan Mendaki, Muis, Mesra dan AMP umpamanya yang kurang mendukung dalam perkembangan bahasa Melayu.
Terakhir, tentang peranan badan bahasa seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), dan Pusat Bahasa Melayu dalam melestarikan bahasa Melayu di Singapura.
BADAN TUNJANG KURANG SEMANGAT
S: Kenapa Cikgu berpendapat badan tunjang yang disebutkan itu kurang mendukung perkembangan bahasa Melayu?
J: Badan-badan ini memang menjuruskan usaha ke arah keutamaan mereka dan kita dapat memahaminya. Tetapi apabila sehingga menidakkan penggunaan dan peranan bahasa Melayu di badan-badan itu, ini akan menjadikan bahasa Melayu itu lemah.
Ini termasuk tidak dijadikan bahasa Melayu sebagai wadah berbincang, mengeluarkan pendapat dan sebagainya. Dengan demikian, pengguna akan berasa dirinya tidak perlu lagi berbahasa Melayu dan tidak perlu berfikir dalam bahasa Melayu. Walhal, mereka berupaya meningkatkan daya saing orang Melayu dalam banyak hal, dan dengan menggunakan bahasa Melayu, akan melengkapkan lagi peranan mereka.
PROSES PELENYAPAN BAHASA BERLAKU?
S: Apakah antara reaksi selepas Cikgu membentangkan isu-isu di dalam kertas kerja itu?
J: Reaksinya agak positif dan mereka umumnya memahami kedudukan bahasa Melayu di Singapura. Ini berbeza dengan tempoh 1980-an dahulu sewaktu saya membentangkan kertas kerja di sana mengenai kebudayaan nasional Singapura.
Dahulu mereka menganggap budaya Melayu sudah hilang di Singapura. Walaupun pada masa itu saya beri beberapa contoh seperti penjualan akhbar Berita Harian yang kukuh - mencapai antara 200,000 hingga 250,000 pembaca Melayu - tetapi mereka tetap menyatakan proses pelenyapan sedang berlaku di Singapura.
Kini, mereka ingin lebih tahu tentang pelapis aktivis bahasa Melayu di Singapura termasuk persatuan yang menjalankan kegiatan berkaitan bahasa Melayu.
DOMINASI BAHASA INGGERIS
S: Ada pendapat menyatakan bahasa Inggeris kini mendominasi bahasa Melayu di kalangan orang Melayu. Apakah pendapat Cikgu?
J: Saya teringat kata-kata Profesor Edwin Thumboo pada akhir 1970-an dengan beliau menyatakan, secara tidak langsung, bahawa satu masa nanti bahasa Inggeris mungkin akan 'membunuh' bahasa ibunda.
Pada pendapat saya, gejala-gejala itu mungkin berlaku. Tetapi nampaknya orang Melayu bersikap positif dan pragmatik terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan melihatnya sebagai bahasa penting terutama dalam era kesejagatan sekarang. Tetapi tidaklah sampai kita jadikan bahasa Melayu itu sebagai tidak penting pada masyarakat kita sendiri.
Bahasa Melayu mengandungi etika-etika murni di dalamnya yang boleh menjadikan pendidikan kita lebih lengkap. Bahasa Melayu mempunyai akal dan akar, yakni minda dan budaya yang merupakan gabungan holistik untuk membentuk keperibadian seseorang.
Selepas tsunami melanda Aceh pada Disember 2004, mantan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, ada menyarankan agar 15 peratus warga bukan Melayu Singapura mempelajari bahasa Melayu agar menangani keterbasan bahasa antara penduduk bukan Melayu Singapura dengan penduduk di rantau ini yang rata-rata berbahasa Melayu.
Tetapi nampaknya usaha mencapai matlamat itu agak lemah. Namun pada masa yang sama, saya gembira dengan usaha pemerintah menganjurkan pembelajaran Program Bahasa Melayu Khas di peringkat menengah yang merangsang pelajar bukan Melayu mempelajari bahasa Melayu. Perkara ini wajar kerana Singapura berada di tengah-tengah kelompok negara Nusantara.
KRISIS KEYAKINAN
S: Apakah ada 'krisis keyakinan' di kalangan orang Melayu tentang bahasa ibunda mereka sendiri?
J: Peratusan kelulusan pelajar Melayu dalam bahasa Melayu tidak berganjak daripada kedudukan yang baik.
Namun, ada semacam kurang yakin orang Melayu untuk gunakan bahasa Melayu dalam bidang 'perniagaan' terutamanya media. Media Melayu terpaksa menggunakan tajuk program yang salah dalam bahasa Melayunya atau tidak menggunakan langsung bahasa Melayu, kerana menitikberatkan faktor 'rating' dan keberkesanannya pada perniagaan.
Yang terbaru, tajuk rancangan Muzik Arena, padahal dari segi bahasa ini adalah salah. Seharusnya disebut Arena Muzik, berdasarkan hukum bahasa Melayu. Kesilapan ini boleh menjadi ikutan para penonton. Saya pernah mencatatkan lebih 30 tajuk yang kemungkinan ditulis dalam bahasa yang celaru, dan pernah menegur pihak tertentu.
Ada juga yang menyatakan krisis keyakinan ini disebabkan bahasa baku.
Saya fikir itu bukan faktor utama tentang timbulnya krisis keyakinan kerana sebutan baku itu adalah sebahagian usaha pembakuan bahasa Melayu keseluruhannya termasuk dalam aspek tatabahasa, ejaan, istilah dan perkamusan bahasa Melayu.
Sebutan baku sebenarnya memudahkan pembelajaran dan memudahkan orang menggunakan bahasa Melayu, dan usaha-usaha ini akan berbaloi jika ada dukungan keluarga, pelajar, pengajar dan dalam usaha melestarikan bahasa Melayu di kalangan pengguna.
PERANAN IBU BAPA
S: Apa peranan golongan ibu bapa di rumah dalam melestarikan penggunaan bahasa Melayu?
J: Saban minggu saya mengajar cucu dan cucu saudara saya dengan memberi tuisyen bahasa Melayu. Nampaknya usaha ibu bapa mereka belum mencukupi sehingga dapat memberi keyakinan kepada anak-anak itu berbahasa Melayu.
Ini satu contoh agar ibu bapa perlu meningkatkan usaha agar anak mereka dapat mahir dalam kededua bahasa Melayu dan Inggeris. Jangan pula, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Ibu bapa sendiri harus meningkatkan penggunaan bahasa Melayu, selain mengetahui serba sedikit tentang tatabahasa Melayu agar mereka juga dapat mengajar bahasa Melayu di rumah kepada anak-anak mereka.
Saya berharap agar ibu bapa dapat memperuntukkan masa dan usaha yang mencukupi untuk berbahasa Melayu di rumah yang boleh membantu meningkatkan kemahiran anak-anak mereka dalam bahasa Melayu.
CABARAN BAHASA MELAYU SERANTAU
S: Apakah cabaran penggunaan bahasa Melayu ini hanya unik di Singapura, atau juga berlaku di Malaysia dan di rantau Nusantara ini?
J: Tun Dr Mahathir pernah menyebut anak-anak Malaysia terutama di kawasan bandar pun sudah jarang berbahasa Melayu.
Di Indonesia, kian ramai penduduknya mengejar-ngejar penggunaan bahasa Inggeris. Di Brunei ada isu bahasa sukuan yang kental dan banyak digunakan di rumah, dan mereka tidak menganggap bahasa Melayu itu sebagai bahasa ibunda mereka. Ini antara masalah serantau.
Perkara-perkara ini menjadi cabaran dalam usaha melestarikan bahasa Melayu dan badan-badan berwenang dalam bahasa Melayu perlu melihat perkara ini agar penggunaan bahasa Melayu dapat terus dipertingkat dari semasa ke semasa terutamanya mengadakan wadah dan kegiatan yang memberi peluang kepada pengguna bahasa Melayu menggunakan bahasa tersebut khususnya di luar sekolah.
LANGKAH SETERUSNYA
S: Apakah langkah-langkah dalam memastikan orang Melayu pada masa sekarang, dan akan datang, akan terus mampu berbahasa Melayu, melestarikannya, malah mampu menanam rasa jati diri di kalangan orang Melayu agar bangga menggunakan bahasa Melayu?
J: Kita tidak pernah menolak bahasa Inggeris. Kita tidak pernah menyatakan bahasa Inggeris tidak wajar dipelajari kerana ia memang memberi kesan ekonomi yang baik kepada masyarakat. Bahasa Inggeris juga membantu kita mengejar kemajuan dan berdaya saing. Namun, bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting dalam budaya kita, harus ada usaha-usaha pelestarian dan mendapat tempat yang utama dalam masyarakat kita.
Ibu bapa, anak-anak, guru, sekolah dan sebagainya harus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting untuk membangun masyarakat kerana dalam bahasa Melayu ada banyak unsur yang dapat membina peribadi yang baik dan menyediakan pembelajaran yang lebih holistik.
Usaha berterusan pihak berwenang terutama MBMS dan badan-badan setempat yang menganjurkan kegiatan bahasa Melayu merupakan satu usaha yang amat baik dan dari masa ke masa, penglibatan peserta juga meningkat. Contohnya, ada kegiatan dalam Bulan Bahasa yang menampakkan peningkatan dari segi bilangan peserta dan ini menjadi semacam dorongan kepada kita terus memajukan bahasa dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penting di kalangan masyarakat Melayu.
Kami sedia menerima kritikan membina sebagai satu maklum balas penting, namun usahlah sampai menyenda-nyenda kerana itu sememangnya kurang wajar.