Monday, November 19, 2012

Orang Laut



TIDAK HARUS DILUPAKAN: Segelintir Orang Laut dari suku Orang Seletar yang masih boleh ditemui di Kampong Sungai Temon dan beberapa daerah lain di bahagian selatan Johor.
- Foto fail
WARISAN MELAYU

Orang Laut Dalam Sejarah Melayu

Mainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun Melayu
DALAM sejarah perkembangan orang Melayu, salah satu suku kaum yang jarang dibincangkan merupakan Orang Laut yang pada dasarnya merupakan antara suku kaum yang penting.
Orang Laut memainkan peranan penting dalam perkembangan tamadun Melayu.
Suku kaum tersebut adalah antara faktor tertubuhnya beberapa kerajaan Melayu lama.
Dalam konteks Singapura sendiri, menurut catatan Oliver William Walters, seorang sejarawan tentang alam Melayu, kejayaan Sang Nila Utama dalam mendirikan kerajaannya di Singapura sebenarnya terdorong oleh sokongan suku Orang Laut.
Menurut catatan sejarah, bagi membantunya dalam usahanya mendirikan kerajaan, Sang Nila Utama bernikah dengan anak Permaisuri Bintan, Wan Sri Benian.
Kononnya, tersirat sebalik tindakan tersebut adalah niat mendapatkan sokongan dan kesetiaan Orang Laut di sekitar daerah Bintan.
Hasil daripada sokongan tersebut, Sang Nila Utama berjaya menguasai bumi Temasek yang kemudiannya digantikan nama sebagai Singapura.
Sebelum kedatangan Sang Nila Utama, Singapura diperintah oleh seorang Sangaji, sebagaimana halnya bagi semua wilayah pemerintahan Majapahit.
Ironinya, sedang Sang Nila Utama sebenarnya merupakan keturunan Palembang yang berkerajaan Majapahit, beliau sendiri cuba mengorak langkah dan identitinya dengan membelakangi tradisi yang sedia ada.
Hasil daripada tekad tersebut dan sokongan Orang Laut, beliau membunuh Sangaji di Singapura serta melantik dirinya sebagai Raja.
Terkenal akan kejaguhan mereka tentang ilmu perlautan, suku Orang Laut lazimnya mempunyai tempat yang istimewa di hati Istana.
Sebahagian daripada mereka mendapat mandat sebagai panglima dan hulubalang istana sementara yang lain memainkan peranan berbeza-beza dalam istana.
Misalnya, di Riau secara khususnya, suku Ladi, Gelam, Sekanak, Sugi, Klong, Trong dan Moro, daripada suku Orang Laut yang lebih besar, berperanan sebagai pengemudi laut.
Suku Mepar pula menjadi pilihan istana, khususnya bagi tujuan yang lebih penting seperti menyampaikan watikah dan warkah rasmi kepada istana dan pembesar-pembesar lain.
Namun demikian, dalam suku Orang Laut sendiri, terdapat struktur yang kompleks berkenaan adat kehidupan mereka.
Bagaimanapun, seperti halnya bagi pelbagai ilmu-ilmu Melayu yang lain, sebahagian besar daripada ilmu berkenaan Orang Laut tidak pernah dirakamkan secara eksplisit.
Akibatnya, ilmu-ilmu yang ada terpaksa digali daripada sumber-sumber asing atau lewat tradisi lisan.
Namun, semakin hari berlalu, masalah kewujudan suku Orang Laut menjadi satu permasalahan yang meruncing.
Menentang ancaman zaman, kewujudan mereka semakin tergugat oleh keadaan yang tidak menyebelahi mereka.
Apatah pula, agama anutan sekalangan mereka tidak sealiran dengan agama anutan bangsa Melayu yang lebih luas, yakni Islam.
Dalam konteks Singapura, antara suku Orang Laut yang pernah hadir di sini termasuklah Orang Seletar dan Orang Kallang.
Bagaimanapun, adatnya pembangunan, perkampungan dan penempatan Orang Laut turut terjejas dengan kebanyakan daripada mereka dipindahkan ke pelbagai daerah serata Singapura.
Di samping itu, masih terdapat segelintir Orang Laut daripada suku Orang Seletar yang masih boleh ditemui di Kampong Sungai Temon dan beberapa daerah lain di bahagian selatan Johor.
Berbeza daripada budaya Melayu yang lain, Orang Seletar di Kampong Sungai Temon memuja dewa-dewa dan semangat-semangat tertentu.
Menggunakan variasi bahasa yang berbeza daripada bahasa Melayu Johor-Riau, bahasa asli mereka tidak mudah difahami masyarakat luas.
Atas dasar tersebut, masyarakat Orang Laut, khususnya Orang Seletar, sering dilihat sebagai masyarakat yang enggan berhubungan dengan masyarakat lain.
Bagaimanapun, hakikat sebenarnya ialah mereka tidak pernah melihat keperluan menggunakan bahasa Melayu baku sebelumnya kerana jarang mendarat.
Meski begitu, gaya hidup tersebut terpaksa diubah selepas Almarhum Sultan Ismail dari Johor memberikan sebidang tanah bagi menempatkan mereka selepas kemerdekaan Malaysia pada 1957.
Sejak itu, secara bertahap, kewujudan mereka semakin terjejas. Hal ini langsung berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
Bahkan, menurut Yang Aseng dari Kampung Bakar Batu Danga, pada tahun-tahun 1930-an, selat Tebrau pernah ditandai ratusan perahu dan sampan Orang Seletar.
Bagaimanapun, pembinaan Tambak Johor antara Singapura dan Malaysia dianggap telah menjejas ikatan persaudaraan antara Orang Laut di Johor dengan di Singapura.
Kalau sebelumnya mereka boleh mendayung perahu mereka dari Gelang Patah ke Stulang Laut, hal tersebut kian tidak boleh dilakukan.
Memandangkan diri mereka pada waktu itu tidak terbiasa dengan persekitaran darat, hubungan keluarga mereka akhirnya terpisah.
Melihat kembali dalam konteks Melayu yang lebih luas, kewujudan Orang Laut dalam kalangan kita tidak sewajarnya dipinggirkan dan dilupakan sama sekali.
Andai dapat diambil iktibar daripada pengalaman Orang Seletar, terdapat keperluan bagi masyarakat Melayu supaya sedia menghadapi cabaran zaman yang penuh persaingan sejagat sekarang ini.

No comments:

Post a Comment