Monday, August 29, 2011

Warisan Melayu

29 Ogos 2011

EKSTRA!

WARISAN MELAYU
Bukti wujud kerajaan silam?

Gelang Kana Emas Majahapit dan batu bersurat pegang kunci sejarah silam kota Singa


Dengan Kerjasama
Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan
Budaya Melayu Singapura

GELANG KANA EMAS MAJAPAHIT

Gelang Kana Emas Majapahit ditemui di Fort Canning Hill, Singapura, pada 1928 - sewaktu kerja membina sebuah takungan air di situ dijalankan.

Tempat terjumpanya di dalam timbunan tanah zaman prakolonial ini menandakan telah wujud sebuah kerajaan lama sebelum ketibaan British di Singapura pada 1819.

Seni kerja tangan Jawa terpapar pada artifak emas padu ini. Ertinya, Singapura pernah berdagang atau dipengaruhi oleh kerajaan Majapahit.

Gelang kana ini diperbuat daripada emas. Ukurannya 24.6 cm x 1.95 cm. Motif Kala Jawa - ukiran yang lazim di banyak pintu candi purba di Indonesia - terpahat padanya.

Penemuan gelang kana ini menunjukkan Singapura bukanlah sebuah perkampungan nelayan yang mundur sebelum kedatangan British pada awal abad ke-20 itu.

Gelang kana sering digunakan dalam upacara diraja Majapahit. Ini menandakan bahawa kemungkinan besar Singapura mempunyai kerajaan Hindu atau dipengaruhi oleh tamadun Majapahit seawal abad ke-14 Masihi.

BATU BERSURAT

Artifak bersejarah ini merupakan antara tiga serpihan yang dipercayai daripada sebuah batu bersurat.

Batu bersurat yang asal dipercayai setinggi tiga meter dengan lebar tiga meter juga.

Ia ditemui di muara Sungai Singapura.

Batu ini pecah dan rosak kerana diledakkan ketika kerja pembangunan pelabuhan Singapura dilakukan.

Batu Singapura ini memaparkan tulisan Jawa kuno di permukaannya. Terdapat 50 baris tulisan yang sehingga kini belum dapat ditafsirkan. Ia dipercayai merupakan kunci kepada sejarah silam Singapura.

Tulisan Jawa kuno pada batu bersurat - hal ini merupakan tradisi bagi kerajaan di rantau ini - menandakan bahawa Singapura sudah mempunyai sebuah kerajaan pada abad ke-13 Masihi.

Batu Singapura ini telah disenaraikan sebagai antara khazanah terpelihara oleh Jawatankuasa Kebudayaan dan Penerangan Asean (COCI).


Wednesday, August 17, 2011

Wisma Geylang Serai

17 Ogos 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Menanti 'Wisma Geylang Serai'

Oleh
Ayub Johari
MELIHAT keadaan lesu kompleks Kampung Melayu Geylang Serai yang berusia hampir dua dekad, tentulah masyarakat Melayu mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, baru-baru ini.

Pada Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, PM Lee menyatakan bahawa pemerintah akan membina sebuah pusat sivik dan plaza yang baru bagi menggantikan kompleks itu yang akan tamat tempoh pajakannya.

Nama sementara bagi pusat itu ialah 'Wisma Geylang Serai'.

PM Lee mengakui: orang Melayu mempunyai talian emosi yang mendalam pada Geylang.

Antara lain, 'Wisma Geylang Serai' akan menempatkan Kelab Masyarakat Geylang Serai dan sebuah galeri warisan untuk mengingatkan kita tentang kawasan Geylang Serai yang lama.

Katanya: Kejiranannya akan ditingkatkan dengan reka bentuk dan sentuhan seni bina Melayu, terutama di sepanjang Geylang Road.

Beliau turut mengumumkan bahawa Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pertahanan), Dr Mohd Maliki Osman, diberi tugas memantau projek tersebut.

Gagasan Perkampungan Melayu ditimbulkan Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura sejak Singapura mengalami perubahan pesat pembangunan bandar. Banyak kampung terpaksa dirobohkan demi membangun estet perumahan, perusahaan dan sebagainya.

Akhirnya, dengan inisiatif para anggota Parlimen Melayu, kompleks itu didirikan pada 1992. Kompleks tersebut cuba menonjolkan seni bina kampung Melayu, dengan acara seni budaya sehinggalah sukan seperti gasing.

Namun, lama-kelamaan kompleks itu bak terbiar lesu dengan kegiatan usaha niaganya antara hidup dengan tidak. Konsep restoran Melayu terbaik atau rawatan tradisional terbaik seolah-olah malap.

Dengan keadaan binaan papan yang kian usang, wajar kompleks ini dirobohkan. Namun, semangat dan keindahan gagasan Perkampungan Melayu perlu disuburkan dalam konteks metropolitan Singapura.

Singapura merupakan negara maju tetapi perlu memelihara warisannya secara pragmatik dan luhur. Geylang Serai boleh menjadi kebanggaan bukan saja untuk orang Melayu, bahkan seluruh Singapura dan sektor pelancongan.

Pada 'Wisma Geylang Serai' boleh diterapkan seni bina bumbung limas dan Minang dengan serambi hadapan dan ibu rumah, ukiran awan larat dan tumbuhan, ukiran Papan Tumpu Kasau mengelilingi pinggir bumbung rumah, ukiran birai dinding rendah yang mengelilingi serambi rumah serta ukiran di atas pintu dan tingkap.

Selain ukiran tebuk, ukiran timbul boleh menghiasai pintu, tingkap dan sebahagian dindingnya. Kompleks ini akan bertambah indah dengan taman herba Melayu. Rumah contoh ini boleh menampung muzium bagi kenangan generasi dan tatapan minda generasi muda.

Di Melaka dan Pulau Pinang, terdapat rumah Baba Peranakan yang menjadi tarikan pelancong (termasuk set penggambaran siri Little Nonya terbitan Singapura).

Di Singapura pula, Joo Chiat Road, Emerald Hill dan Duxton Plain dapat membanggakan warisan Baba Peranakan.

Semoga 'Wisma Geylang Serai' dapat menonjolkan kekayaan tamadun Melayu. Alangkah baiknya jika tenaga kerja pembinaannya melibatkan anak-anak Singapura yang akan mengkaji dan melestari seni bina dan motif ukiran Melayu.

Dengan kehadiran 'Wisma Geylang Serai' yang tersergam kelak, diharap kawasan sekeliling terus dinaik taraf atau dikekalkan mutu pemeliharaannya agar indah dan menarik.

Ini termasuklah bangunan Joo Chiat Complex, Tristar, Galaxy (Rumah Darul Arqam), deretan kedai di Haig Road yang menghadap Geylang Road hingga ke City Plaza.

Bahkan kawasan pejalan kaki boleh dibina sengkuap yang mempunyai hiasan berbentuk ukiran Melayu, besi pemisah longkang dan tiang lampu diganti dengan bahan yang mempunyai motif hiasan - sejajar dengan terbinanya kelak 'Wisma Geylang Serai'.



Majlis Pusat

17 Ogos 2011

KOMENTAR

Majlis Pusat: Membangun budaya dan tamadun


KAMI merujuk kepada beberapa surat pembaca yang disiarkan dalam Forum Berita Harian mengenai keprihatinan mereka terhadap acara Raya Gemilang yang dianggap tidak sesuai dalam konteks sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas maklum balas pembaca. Kami terima maklum balas ini dan segala kritikan dengan dada terbuka. Ini kerana ia bernas dan membina. Izinkan kami berkongsi beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan hal ini.

Raya Gemilang merupakan salah satu aspek acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai yang dimuatkan oleh MediaCorp Suria atas dasar kerjasama kami dengan mereka. Ada beberapa aspek lagi tentang acara ini seperti hiasan lampu di kawasan Geylang Serai, penganjuran bazar Raya dan kegiatan selama 29 hari sepanjang Ramadan.

Ketika kami berbincang untuk melaksanakan acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai, Majlis Pusat berada dalam kedudukan transisi dengan tekad membuat perubahan pada hala tuju dan tumpuan persatuan.

Memang sekian lama Majlis Pusat dikenali sebagai persatuan yang mempromosikan kegiatan seni. Kami akan teruskan kegiatan ini, tetapi ia akan diolah dalam konteks agenda pembangunan budaya dan tamadun.

Dalam hal ini, apa yang akan kami perjuangkan ialah pembangunan budaya Melayu/Islam dalam pengertian budaya sebagai satu sistem kepercayaan, agama, falsafah, pandangan hidup, nilai, ilmu dan amalan yang dikongsi bersama oleh bangsa dan masyarakat berumpun Melayu dan beragama Islam.

Selari dengan tekad ini, kami mengambil keputusan memastikan agar acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai bukan sahaja menghibur, malah mendidik, merangsang dan membina.

Atas tekad ini juga, kami menyuntik unsur-unsur pendidikan, sosioekonomi dan nilai agama dalam acara ini. Ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan sepanjang 14 tahun Majlis Pusat menganjurkan acara ini.

Justeru, acara tahun ini mendukungi beberapa perwatakan baru. Contohnya, selari dengan konsep penyalaan lampu, Majlis Pusat menganjurkan Projek Cahaya dengan sebanyak 200 lampu meja berjenama Philips yang cekap tenaga (energy-efficient) diagihkan kepada anak-anak keluarga fakir miskin kendalian Persatuan Darul Arqam Singapura.

Sebanyak 300 lampu meja serupa juga diagihkan kepada pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah. Projek Cahaya ini bertujuan membantu menerangi suasana dan sekitaran pembelajaran anak-anak di rumah mereka, di samping membantu keluarga mengurangi kos bil elektrik melalui penggunaan lampu yang menjimatkan tenaga.

Sebanyak 500 lagi lampu meja akan diagihkan sepanjang Ramadan dan seterusnya.

Kami lakukan usaha ini atas dasar memperjuang nilai penimbaan ilmu dan tabiat berhemat, kerana ia adalah antara ciri budaya Melayu/Islam yang penting.

Juga, tersurat dan tersirat dalam acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai ialah usaha kami membangkitkan rasa bangga pada warisan budaya Melayu/ Islam. Contohnya pada tiang-tiang lampu sepanjang Changi Road dan Geylang, kami mempamerkan sebahagian tokoh dunia Melayu/Islam yang telah berbakti kepada agama dan bangsa.

Antaranya ialah Malahayati, seorang wanita dalam zaman kegemilangan Aceh pada penghujung abad ke-15. Beliau memimpin armada yang terdiri daripada balu-balu askar laut Aceh dan berjaya mengatasi banyak serangan laut oleh pihak penjajah, termasuk menumpaskan ekspedisi menjarah Portugis dan Belanda.

Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Laksamana, dan telah menanam bibit keberanian dan dahagakan ilmu serta hak asasi wanita Aceh ke persada dunia.

Juga dipaparkan ialah visual artifak Dunia Melayu Dunia Islam, yang sekali gus menunjukkan bahawa kita orang Melayu sebenarnya satu bangsa yang sekian lama menguasai pelbagai bidang keilmuan dan kemahiran dalam bidang teknologi, pentadbiran, peperangan, penulisan dan pendidikan.

Pada masa yang sama, kami juga menganjurkan Cabaran Perusahaan Belia @ Pencahayaan Ramadan yang bertujuan mendedahkan para belia pada selok-belok berniaga. Acara ini mendapat penyertaan 55 belia Melayu/Islam - sesuatu yang di luar jangkaan kami.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Majlis Pusat turut terlibat dalam agenda perniagaan. Jawapannya, ini kerana perniagaan adalah satu aspek penting dalam peradaban dan kebudayaan masyarakat Melayu/Islam. Nilai-nilai yang berhubung kait dengan perniagaan dan perusahaan bukanlah perkara baru bagi orang Melayu/ Islam.

Sememangnya, sejarah telah merakamkan bahawa orang Melayulah yang mengusahakan Temasek, pusat pelabuhan yang begitu sibuk sekali. Kita adalah bangsa perusahaan, dagangan dan perniagaan. Projek Cabaran Perusahaan Belia @ Pencahayaan Ramadan merupakan satu usaha kerdil kami untuk membangkitkan lagi nilai-nilai ini.

Bahkan, projek ini akan menjadi kegiatan tetap dalam acara Perayaan Lampu Geylang Serai pada masa mendatang.

Banyak lagi kegiatan yang kami anjurkan, yang merupakan sebahagian acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai. Antaranya pementasan mingguan budaya Melayu di Perkampungan Melayu - kami mempamerkan aspek seni Melayu yang 'terkurung' oleh kesopanan termasuk dalam tariannya.

Melalui wadah ini, kami juga mendampingi masyarakat, khususnya golongan tua dan miskin, dengan kami meraikan mereka dalam majlis iftar bersama kumpulan nasyid Hijjaz dan In-Team.

Pada keseluruhannya, acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai memperluas lagi ruang interaksi antara masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu. Ini memberi peluang kepada kita berkongsi nilainilai Melayu/Islam dengan masyarakat di sekitaran.

Namun, dalam usaha kami menyuntik unsur-unsur baru, kami juga menghadapi isu menangani proses perubahan ini. Beberapa kelemahan dan kesilapan telah berlaku di pihak kami, termasuk ketidakpekaan kami dalam menangani beberapa aspek dalam pementasan Raya Gemilang.

Oleh kerana kesilapan ini, kami memohon maaf dan bertekad memperbaiki hal ini dalam acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai yang akan datang.

Acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai merupakan satu wadah yang membolehkan kita menonjolkan ciri-ciri budaya Melayu/Islam kepada golongan muda serta masyarakat umum.

Kebudayaan yang kami ertikan di sini ialah cara hidup ciptaan manusia yang meliputi nilai, ilmu dan amalan yang merangkumi resam yang dikongsi sesebuah bangsa dan masyarakat. Setiap bangsa atau masyarakat wajar berbangga dengan kebudayaannya yang mencerminkan jati dirinya.

Begitu juga dengan budaya Melayu. Kita merupakan antara rumpun besar kemanusiaan, sekitar 300 juta jiwa di rantau ini dan tersebar dari Afrika Selatan ke Surinam dan gugusan kepulauan Pasifik. Namun, yang dinamakan 'Melayu' ialah kaitannya dengan Islam sebagai pencorak keadilan dan peradaban.

Kami akur Perayaan Lampu Raya Geylang Serai seharusnya mendidik, merangsang dan menyatu, bukan sekadar menghibur. Kami akur Majlis Pusat seharusnya pun begitu, dan kami bertekad akan menggerakkan titik permulaan perubahan ini sekarang.

Zulkifli Mohammed
Presiden Majlis Pusat

Friday, August 12, 2011

Keunikan puasa Ramadan

12 Ogos 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Keunikan puasa Ramadan

Oleh
Maarof Salleh
BAIK dalam sembang mahupun di Internet, terpapar rasa kecewa umat Islam terhadap saudara mereka yang tidak bertatalaku sesuai dengan syiar Ramadan.

Keluhan itu tentu didasari hasrat agar amalan berpuasa Ramadan di watan ini dapat dilaksanakan menepati maksud dan kehendak agama.

Puasa sebenarnya amalan universal. Al-Quran menerusi ayat 183 Surah Al-Baqarah yang memerintahkan ibadah puasa Ramadan menerangkan berpuasa telah juga diperintahkan ke atas 'orang terdahulu'.

Dalam sastera Arab kuno, makna as-shaum (berpuasa) bermaksud menahan diri daripada melakukan kegiatan pada benda, haiwan dan manusia. Misalnya, kuda yang berpuasa ialah kuda yang sedang diam dalam kandangnya.

Di kalangan bangsa Mesir kuno, berpuasa dikaitkan dengan banyak perayaan agama, tetapi tidak dijadikan kewajipan di kalangan awam.

Masyarakat Athens (Greece silam) membataskan kewajipan berpuasa kepada kaum wanita pada hari ketiga Thosmophoria.

Penganut Hindu berpuasa di pelbagai hari perayaan mengikut kumpulan masing-masing.

Berpuasa adalah amalan anjuran agama-agama Samawi (Yahudi, Kristian dan Islam) tetapi dengan tujuan, masa dan cara yang berlainan.

Pembesar gereja pula tidak menilai puasa 40 hari yang pernah dilakukan Nabi Isa as sebagai amalan wajib. Malah, berlaku banyak perselisihan pentafsiran di kalangan tokoh gereja sehingga mengurangkan kepentingan amalan berpuasa dalam agama Kristian. Perintah berpuasa akhirnya hanya dapat berlaku menerusi Akta Parlimen di England yang melarang memakan daging segar pada hari berpuasa.

Kini, terdapat juga trend berpuasa mutakhir tanpa kaitan dengan sebarang tradisi atau agama.

Misalnya, berpuasa beberapa hari atas nasihat tabib (doktor). Atau puasa ahli sukan daripada mengambil bahan tertentu untuk meraih kejayaan dalam sukan yang diceburinya. Berlaku juga berpuasa di kalangan sesetengah aktivis politik atau sosial untuk protes terhadap pemerintah.

Jadi apakah keunikan puasa Ramadan?

Antara lain, menurut Maulana Sulaiman Nadwi, alim besar dari India, terdapat tiga isu penting:


Bila kita berpuasa dan jangka masa berpuasa? (Isu 'masa')


Bagaimana kita berpuasa? (Isu 'cara')


Mengapa kita harus berpuasa? (Isu 'tujuan')


Masa:

Berpuasa harian dalam Islam diperintahkan bermula menjelang fajar dan berakhir selepas terbenamnya matahari.

Inilah masa biasa dalam rutin kehidupan seseorang, iaitu ketika semua pancainderanya beroperasi dan gerakannya aktif.

Berpuasa sunat pula boleh dilakukan di luar Ramadan. Seseorang Muslim tidak perlu mengambil cuti sekadar untuk melaksanakannya.

Ini berbeza bagi puasa yang harus berjalan sepanjang 24 jam terus-menerus yang pasti sukar dilakukan semua lapisan orang.

Tempoh panjang seperti ini mungkin dapat dilakukan oleh segelintir orang, tetapi akan menyusahkan orang awam yang bekerja dan mustahil dapat bertahan meneruskan pekerjaan tanpa makan minum selama masa berpuasa.

Ada pula sesetengah golongan yang berpuasa dalam tempoh yang panjang - berbulan sehingga bertahun dan mengasingkan diri (bertapa). Pengamal sedemikian tidak memerlukan banyak keperluan luar dalam mencapai keselamatan dan kemajuan kerohanian.

Akibatnya, mereka terpisah daripada semua kegiatan sosial, dengan keluarga dan rakan.

Sebaliknya, masa berpuasa dalam Islam mendorong terlaksananya ukhuwah dan jalinan sosial sesama anggota keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh dan akrab.


Cara:

Bagi kebanyakan agama, berpuasa sering bermaksud pengasingan diri seperti menjauhi keluarga untuk tinggal di tempat terasing.

Kegiatan sosial dianggap tidak sesuai dengan amalan ketika berpuasa. Maka pengertian 'menjadi suci' menjejas kuat kehidupan sosial orang yang berpuasa.

Amalan berpuasa dalam Islam begitu unik disebabkan orang yang berpuasa dikehendaki mengukuhkan lagi sifat ihsan dan keprihatinan dalam kehidupan sosialnya.

Ketika bersahur, orang yang berpuasa akan bersama keluarganya.

Dalam rutin hariannya pula dia harus mengawal diri agar tidak menyusahkan orang lain.

Ketika bertarawih, Muslim bersama dalam saf membesarkan Allah di samping mengukuhkan ukhuwah bersama jemaah.


Tujuan:

Walaupun berpuasa bukanlah institusi baru, tujuan berpuasa dalam Islam berbeza lantas unik.

Tujuan berpuasa bagi kebanyakan masyarakat kuno ialah menggembirakan tuhan-tuhan mitos mereka.

Ada yang berpuasa untuk menebus dosa. Sebahagian yang lain berpuasa sempena hari kelahiran atau kematian tuhan atau wira mereka.

Tujuan berpuasa dalam Islam pula membawa pengertian maksud lebih syumul - 'agar kamu bertakwa' (ayat 183 Surah Al- Baqarah).

Jadi berpuasa dalam Islam bukan sahaja menahan diri daripada makan minum, bahkan daripada berbuat sebarang keburukan, iaitu bertakwa.

Pada Ramadan juga mula diturunkan Al-Quran yang mengungkapkan seluruh perintah Allah kepada manusia.

Turunnya Al-Quran menandakan detik berlakunya komunikasi langsung antara Khalik dengan makhluknya.

Menerusi amalan seperti tarawih dan tadarus, komunikasi Khalik dan makhluk ini dapat berterusan.

Dengan menjadikan takwa kepada Allah sebagai tujuan, mereka yang berpuasa mengikrarkan puasanya semata-mata agar mendapat keredaan Allah.

Dia juga komited akan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Jelas tiga aspek utama - masa, cara dan tujuan - berupaya menjadikan amalan berpuasa dalam Islam suatu amalan yang unik.

Jadi, semua orang tidak kira taraf sosialnya mudah dan selesa melakukannya.

Tujuan berpuasa untuk bertakwa pula berfungsi membebaskan diri daripada segala keburukan.

Sementara Ramadan masih ada, marilah kita terus memeriksa apakah ibadah berpuasa dan ibadah lain yang kita jalani sekarang masih tegak di landasannya yang benar.

Jika masih terdapat penyimpangan, cepat-cepatlah kembali diluruskan.

Usahlah puasa kita sekadar lapar dan haus saja. Hayatilah erti puasa.

Semoga amalan berpuasa Ramadan kita terus menjadi amalan unik yang diredai-Nya.




Tuesday, August 2, 2011

Belajar bahasa Melayu

30 Jul 2011

KOMENTAR

'Tua-tua' belajar bahasa Melayu

Sempena berakhirnya Bulan Bahasa hari ini, kami mewawancara, Encik Elgar Lee Yong Se, 28 tahun, warga Singapura yang mempelajari bahasa Melayu secara sendirian sehingga dapat menulis surat di akhbar ini. Mengapakah dan apakah caranya beliau mempelajari bahasa Melayu dan apakah pandangannya mengenai masa depan bahasa Melayu?

Oleh
Mohd Noor A. Rahman
SOALAN (S): Boleh ceritakan secara ringkas bilakah anda mula belajar bahasa Melayu dan apa caranya?

Jawapan (J): Saya mula belajar pada hujung 2004 apabila saya sedar bahasa Melayu penting memandangkan kedudukan negara ini yang terletak di kawasan Nusantara dengan penduduk negara-negara jiran Malaysia, Indonesia dan Brunei menggunakan bahasa Melayu. Sebagai warga Singapura, saya berasa perlu mempelajarinya.

Saya banyak belajar sendiri. Mulanya memang susah, tetapi bak pepatah tiada gunung tinggi yang tidak dapat didaki, tiada lurah dalam yang tidak dapat dituruni, saya belajar bersungguh-sungguh, antaranya dengan sering membaca akhbar Berita Harian. Setiap kali, saya belajar beberapa perkataan dengan menggunakan kamus Inggeris-Melayu sebagai rujukan.

Saya juga sering berbual dalam bahasa Melayu dengan rakan-rakan mahasiswa saya, pelajar Cina dari Malaysia yang fasih berbahasa Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Saya juga kadangkala mendengar berita di saluran Suria dan mendengar radio Warna.

Saya kemudian mengambil peperiksaan Bahasa Melayu bagi Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' sebagai calon persendirian pada hujung 2006 dan mendapat gred B3. Setahun kemudian saya mengambil GCE 'AO' dan mendapat gred C6.


S: Kenapakah anda terdorong belajar bahasa Melayu?

J: Saya sebenarnya teruja apabila mantan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, selepas berlakunya bencana tsunami di Aceh menggesa warga Singapura berbangsa Cina agar belajar bahasa Melayu. Katanya, agar ada sekitar 10 peratus bangsa Cina Singapura belajar dan fasih berbahasa Melayu.

Lagipun, saya mahu mempunyai kelebihan berbanding bangsa Cina Singapura lain yang tidak fasih berbahasa Melayu dengan menguasai bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan. Tambahan pula, jika kita mahu luaskan rangkaian perhubungan di negara-negara jiran, kita perlu tahu bahasa Melayu.


S: Sebagai orang bukan Melayu, apakah manfaatnya berbahasa Melayu?

J: Pertama, ia dapat merapatkan hubungan saya dengan orang Melayu setempat selain memudahkan saya bercakap dengan orang Malaysia/Indonesia agar saya tidak menjadi 'bisu' dan 'pekak' semasa berada di negara itu. Kedua, penguasaan bahasa Melayu memberi saya kelebihan berbual dengan klien semasa di kerja selain bersama rakan kerja berbangsa Melayu.


S: Anda mula aktif dalam penulisan di Forum Berita Harian sejak setahun lalu. Kenapakah anda berbuat demikian?

J: Saya anggap penulisan di Forum BH sebagai latihan agar kemahiran yang saya ada dalam bahasa Melayu tidak hilang begitu sahaja. Ini selain saya juga dapat memberi maklum balas dan pandangan dalam beberapa isu yang mahu saya ketengahkan. Pada masa yang sama, saya mahu memberi pembaca BH sedikit kepelbagaian dari segi pandangan daripada seorang bukan Melayu.


S: Ada pihak menyatakan kian ramai orang Melayu, khususnya golongan muda, yang kurang mampu berbahasa Melayu. Apakah pendapat anda jika ini terus berlaku?

J: Saya berasa kesal tentang trend ini, namun kita harus ingat bahawa trend ini tidak terbatas pada orang Melayu sahaja. Ia juga berlaku pada kaum Cina Singapura berkaitan bahasa Mandarin. Memang sekarang ramai orang lebih sering menggunakan bahasa Inggeris sehingga bahasa ibunda mereka seperti diketepikan. Saya kesal kerana bahasa jiwa bangsa dan lenyap bahasa hilanglah bangsa.


S: Pada pendapat anda, bagaimanakah dapat kita menggalakkan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu?

J: Satu perkara yang kini mendorong semakin ramai orang sedar akan kepentingan bahasa ibunda mereka adalah tentang pentingnya nilai bahasa itu sendiri dan peningkatan bahasa itu di mata dunia. Ramai orang Cina kini lebih insaf bahawa penguasaan bahasa Cina (Mandarin) adalah penting. Begitu juga seharusnya berlaku pada orang Melayu kerana bahasa ini penting. Ia merupakan bahasa yang selalu diguna pakai di kalangan penduduk negara jiran Singapura. Jadi orang Melayu sendiri perlu sedar tentang pentingnya penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu.


S: Apakah bahasa Melayu mempunyai masa depan atau ia akan terkubur sedikit demi sedikit? Kenapa?

J: Saya yakin bahasa Melayu tidak akan terkubur, malah mempunyai masa depan yang baik. Pertama, ia adalah bahasa kebangsaan Singapura dan ini tertakluk di bawah perlembagaan dan pasti bahasa ini tidak akan pupus.

Kedua, bahasa Melayu akan sentiasa digunakan di seberang Tambak selain Indonesia dan Brunei. Jadi selagi ada jutaan orang menggunakan bahasa ini, ia tidak akan terkubur.

Cuma kita usah terlalu bergantung pada negara-negara jiran kerana orang Melayu Singapura juga perlu memainkan peranan demi melestarikan bahasa Melayu.

Ketiga, saya yakin ada golongan muda Melayu yang insaf akan perkara ini dan akan memartabatkan dan memperjuangkan pelestarian bahasa Melayu mereka secara bersungguh- sungguh.


S: Bulan Bahasa kini diadakan secara tahunan. Apakah ini langkah yang baik atau harus diadakan dua tahun seperti sebelumnya?

J: Ini adalah langkah baik kerana kegiatan bahasa Melayu akan lebih sering diadakan. Cuma cadangan saya adalah menggabungkan kempen bulan bahasa ini bagi ketiga-tiga bahasa ibunda rasmi iaitu Mandarin, Melayu dan Tamil, dan menjadikannya kempen Bulan Bahasa Ibunda. Dalam bulan ini, kita mahu menggalakkan semua bangsa berbual dalam bahasa ibunda sesama mereka.

Trend kemerosotan penggunaan bahasa ibunda memang sudah ketara dan berlaku kepada semua bahasa ibunda. Kita perlu lakukan sesuatu. Satu strategi adalah dengan melancarkan Bulan Bahasa Ibunda yang rancangannya dianjurkan di peringkat kebangsaan, lebih tersusun dan menyeluruh selain mempunyai dan menggunakan sumber yang lebih besar.

Habiburrahman El Shirazy

HABIBURRAHMAN EL SHIRAZY: Novel beliau, 'Ayat-Ayat Cinta', yang diangkat menjadi filem telah mencetuskan satu fenomena yang berjangkit di rantau ini dengan kemunculan drama-drama televisyen yang serupa temanya.

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

EKSTRA!

PENCETUS TREND 'ISLAM ROMANTIS'

Habiburrahman El Shirazy, penulis yang mendapat jolokan 'Doctor Cinta' dan 'Novelis Nombor 1 Indonesia' sedang menyiapkan antara lain sambungan kepada cerita 'Ayat-Ayat Cinta'


PENANGAN novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy, memang tidak dapat disangkal lagi sehingga sesiapa yang membacanya begitu tersentuh dan ditusuk sanubarinya.

Payah melepaskan naskhah romantis yang dibawa berhijrah ke persada perfileman sehingga mencetus satu fenomena yang berjangkit di rantau ini dengan kemunculan drama-drama keislaman seperti Nur Kasih, Kitab Cinta, Tahajjud Cinta dan Stanza Cinta.

Justeru, dalam kesempatan singkat bertemu Habiburrahman, 34 tahun, yang diundang ke Singapura sempena kempen menggalak budaya membaca, READ! Singapore anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), idea-idea bernasnya di samping projek terkininya meraikan cinta berbaur keislaman, cuba dikupas.

Bapa dua anak kecil berusia lima tahun dan empat tahun itu begitu tenang dan berulang kali memanjatkan kesyukuran, mengenang karya-karyanya yang diterima peminat sastera bukan sahaja di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, malah di Hongkong, Taiwan, Prague (ibukota Republik Czech) dan Australia.

'Alhamdulillah, dari dulu hingga sekarang, saya masih diundang untuk berbincang mengenai Ayat- Ayat Cinta yang 'meletup' itu. Semoga perkembangan ini menjadi sesuatu yang positif dan dapat memupuk percintaan anak-anak muda terhadap bahasa Nusantara. Saya kira, ia semacam suatu kebanggaan bersama bahawa karya dalam bahasa Melayu ini bisa mencetus satu fenomena antarabangsa.

'Apabila Ayat-Ayat Cinta menjadi trend dan ikutan orang lain, ia merupakan sesuatu yang wajar dalam dunia industri (baik perfileman mahupun penghasilan bahan bacaan). Fenomena itu benar-benar membangkitkan semangat saya untuk terus berkarya.

'Saya ingin berdialog dengan pembaca. Saya ingin merealisasikan karya-karya saya secara visual sebab itu saya 'terjun' menjadi sutradara,' jelas lulusan Universiti Al-Azhar itu ketika ditemui di Library@Esplanade.

Mata penanya sering ditajamkan sejak berjinak-jinak dalam bidang penulisan di bangku sekolah menengah. Ayat-ayat yang dicoretkan tatkala terlantar sakit di hospital selepas satu kemalangan motosikal di Magelang, Jawa, beberapa tahun lalu juga bak penawar yang melenyapkan segala penderitaan dek ujian kecil yang dihadapi itu.

'Sesiapa pun berhak memiliki cinta. Saat mengilhamkan Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan pada 2004, saya melihat fenomena anak-anak muda yang asyik dengan cinta liberal ala Hollywood yang tidak sesuai dengan nilai-nilai ketimuran.

'Apa kurangnya budaya timur kita? Ia tetap romantis. Kalau dijaga penuh keprihatinan, tiada yang kurang keindahannya. Lagi pun, saya ingin sampaikan betapa Islam itu indah, Islam juga romantis.

'Gambaran tidak tepat yang pernah didengar... oh... orang Islam seolah-olah tiada cinta. Kalau kita Muslim, kita mesti keras. Itu tidak benar,' tambahnya.

Maka, menyusuli Ayat-Ayat Cinta, Habiburrahman gigih menghasilkan beberapa karya lain termasuk Ketika Cinta Berbuah Surga, Di Atas Sajadah Cinta, Dalam Mihrab Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan Bumi Cinta.

Tiga kunci asas dalam menghasilkan novel yang baik, ujarnya, mudah dihadam. Pertama, novel itu berupaya berdialog dengan pembaca, membawanya berhijrah 'masuk' ke dalam jalan cerita yang dibentangkan.

Kedua, si penulis harus jelas siapa kumpulan sasarannya. Ketiga, untuk menarik golongan muda, harus ada pengetahuan tentang trend semasa yang digemari mereka.

Dalam kesibukannya berkarya dan berada di balik kamera, tidakkah beliau tertekan untuk terus menghasilkan novel-novel bermutu setaraf dengan Ayat- Ayat Cinta?

'Awalnya, sempat saya berfikir mengenai bebanan yang menimbulkan semacam segunung berat tekanan untuk dipikul. Namun, saya tersentak daripada keresahan itu dan terfikir kalau bebanan itu dirasakan, akan berhentilah saya berkarya.

'Sasterawan terkemuka seperti William Shakespeare, W.S. Rendra, Chairil Anwar dan Profesor Hamka juga menghasilkan pelbagai karya. Ada yang benar-benar 'meletup', ada yang langsung tidak dikenali. Justeru, seorang sasterawan harus berani berkarya dan tidak dibebani tuntutan setiap karyanya harus diterima dan popular,' katanya dengan nada positif.

Di ambang Ramadan yang bakal menjelang esok, Habiburrahman gigih turun padang, menyiapkan sinetron Ramadan, Dari Sujud Ke Sujud.

Penggambaran filem Cinta Suci Zahrana (dipadankan daripada novel terkininya), juga bakal bermula selepas Lebaran dan dijadualkan ditayangkan sekitar Disember ini.

Menurut beliau, menjadi sutradara menuntutnya melakukan lebih daripada setakat membayangkan dialog-dialog sesuai dan menebarkan kreativiti yang datang dari hati.

'Kalau menjadi penulis novel, saya boleh bergerak sendiri dan tidak terlibat dengan orang lain. Saya mahu bikin wataknya menangis, silakan.

'Menjadi sutradara, ia tidak semudah itu. Saya ibarat jeneral di medan perang dengan ribuan pasukan saya sendiri. Mahu maju bagaimana? Kalau cuacanya berubah, mahu fikirkan jadual hotel dan artis - kalau si artis ada acara lain, bagaimana mahu menyusun semuanya.

'Kalau sesuatu adegan memerlukan suasana cerah, harus bergegas syuting sebelum matahari tenggelam. Banyak perkara tidak diduga harus ditangani dengan bijak,' katanya lagi.

Apakah 'Doktor Cinta' dan 'Novelis Nombor 1 Indonesia' (dinobatkan Universitas Diponegoro, Semarang) ini mampu mengubati rindu peminat novelnya dengan novel-novel susulan, bagi menyambung kisah-kisah cinta tulus suci?

Jawabnya, sambil mengukir senyuman:

'Insya-Allah, saya dalam perancangan menyiapkan novel Bumi Cinta 2 dan Ayat-Ayat Cinta 2.'

Sikap Golongan terpelajar kita

GAMBAR HIASAN: Dapatkah anak-anak Melayu yang terpelajar dipertanggungjawabkan untuk menjadi penggerak dan pemimpin masyarakat serta negara?

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

KOMENTAR

SIKAP GOLONGAN TERPELAJAR KITA

Jika mereka gagal jadi contoh yang baik, bagaimana dapat kita harapkan anak Melayu yang terpinggir menjadi cemerlang?


RABU lalu, saya bertemu seorang guru lama yang pernah mengajar saya sewaktu di menengah tiga dahulu.

Pertemuan itu memang saya atur untuk mewawancara beliau bagi projek pembukuan buku kenangan Sekolah Menengah Telok Kurau (TKSS), sekolah lama saya yang telah pun ditutup tahun lalu.

Nama guru saya itu ialah Cik Rafeah Buang. Usianya sudah 81 tahun tetapi beliau masih sihat, cergas dan mindanya masih cerdas melebihi sesetengah orang yang 20 tahun lebih muda daripada beliau.

Selain itu, saya tertarik dengan amalan beliau yang sampai sekarang rajin menulis tentang peristiwa seharian dalam diarinya.

Saya lihat, bukan satu atau dua, tetapi rasanya lebih 10 buku diari yang tersusun di atas almari di dalam kamarnya.

Ini mengingatkan saya kepada Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, tokoh budayawan kita, yang juga rajin merakamkan peristiwa seharian dalam buku diarinya - hampir setiap hari dari dulu sampai sekarang.

Haji Muhammad Arif juga masih cerdas mindanya, dan masih rajin menulis setiap minggu untuk akhbar ini, di sebalik tubuh yang semakin melemah pada usia menghampiri 87 tahun.

Satu lagi yang menarik perhatian tentang mantan guru saya ini ialah tabiat mengumpulkan keratan laporan-laporan akhbar dan disusun elok di dalam fail.

Beliau menunjukkan kepada saya beberapa failnya yang penuh tersusun dengan keratan akhbar mengenai laporan atau rencana mengenai masyarakat Melayu dan juga peristiwa penting yang berlaku di Singapura dan juga Malaysia.

Mungkin ini salah satu sebab mengapa minda mantan guru saya ini sentiasa cerdas dan daya ingatannya tetap kuat di sebalik usia yang melewati 80 tahun - sama seperti Haji Muhammad Arif.

'Jiwa saya ni lain sikit tau...' kata beliau kepada saya.

'Saya suka tengok anak Melayu berjaya. Setiap kali saya baca dalam akhbar ada anak Melayu berjaya, siapa saja mereka, saya cakap 'amiiin...'

'Saya suka orang Melayu maju ke depan,' kata beliau lagi.

Tetapi, kata mantan guru saya ini, ada sedikit rasa kesal yang berbuku dalam jiwanya melihat sikap sebilangan anak muda Melayu sekarang yang sudah berjaya dan menjadi golongan profesional.

Mereka ini, kata beliau, ada yang sombong bagaikan lupa diri bahawa mereka orang Melayu.

Beliau tidak membicarakannya dengan lanjut, tetapi saya faham apa yang beliau maksudkan.

Sebab, saya juga pernah dengar keluhan serupa daripada beberapa orang lain, tentang sikap sebilangan anak Melayu kita ini yang sudah berjaya, sudah jadi karyawan dan mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, tetapi bagaikan memandang rendah kepada masyarakat sendiri.

Saya pernah terima e-mel daripada karyawan yang terang-terang mengatakan mereka bukan sahaja tidak percaya pada pucuk pimpinan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahkan kepada ulama-ulama kita yang lain yang mereka anggap memberi takrif sempit kepada ajaran Islam.

Mereka sebaliknya menyanjung pakar-pakar pengajian Islam di universiti-universiti Barat yang mereka anggap lebih moden dan progresif.

Kemudian, saya lihat ada juga segolongan karyawan yang memilih untuk memberi komen di 'tepi pagar' tentang masyarakat kita, seolah-olah tiada yang betul.

Soalnya, mengapa mereka tidak mahu terlibat secara langsung untuk membetulkan apa yang salah dalam masyarakat kita?

Memang saya akui, masyarakat Melayu kita perlu melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi yang dapat menjadi karyawan dalam pelbagai profesion seperti doktor, peguam, jurutera, pakar teknologi maklumat, teknokrat, dan sebagainya.

Kita perlukan lebih ramai lagi orang sedemikian demi mengukuhkan kedudukan masyarakat kita, agar mampu bersaing dalam zaman globalisasi sekarang ini.

Tetapi, ini sahaja belum tentu mencukupi.

Di samping kita berbangga dengan kejayaan anak-anak kita itu, kita juga perlu bertanya, dapatkah mereka dipertanggungjawabkan untuk menjadi penggerak dan pemimpin masyarakat serta negara?

Kukuhkah peribadi mereka?ÂÂ

Apakah kejayaan-kejayaan yang dicapai sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan yang tinggi itu, telah melunturkan nilai murni Melayu yang mereka warisi?

Apakah kecemerlangan mereka cuma untuk diri sendiri?

Bukan tujuan kita untuk menidakkan pencapaian anak bangsa kita sendiri.

Bahkan, kita mengharapkan mereka yang berjaya ini dapat menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kita dalam mengejar kecemerlangan.

Tetapi, jika golongan Melayu yang berjaya ini tidak berupaya memberikan contoh yang baik, bagaimanakah kita boleh mengharapkan anak Melayu yang terpinggir boleh menjadi cemerlang?

Kita perlu sedarkan golongan yang berjaya ini bahawa setinggi manapun pencapaian mereka, tanggungjawab mereka terhadap masyarakat sendiri tidak boleh berkurang.

Mereka harus diasuh supaya menyayangi bangsa mereka sendiringi.

Mereka perlu menjadi role model atau contoh kepada anak-anak Melayu yang lain.

Inilah kewajipan sebenar golongan terpelajar dan pemimpin Melayu.

Komitmen golongan terpelajar ini dan mereka yang bergelar pemimpin adalah penting, di samping peranan alim ulama yang bertanggungjawab, sebagai kunci kemajuan masyarakat kita umumnya.

Merekalah yang diharap dapat memimpin masyarakat kita dalam menentukan hala tuju dan masa depan kita.

Kita perlu bergerak sepantas kaum-kaum lain untuk menyahut cabaran mencapai kecemerlangan di Singapura ini.

golongan Penerima

31 Jul 2011

FORUM

Pastikan penerima usaha berdikari


DARI kes penderaan kanak-kanak sehinggalah isu warga terpaksa merempat di tepi pantai, masalah orang Melayu sering mendapat perhatian masyarakat.

Kesannya lebih mendalam apabila kes sebegitu tersiar di dada akhbar. Keprihatinan yang ditunjukkan warga setempat sungguh menggalakkan.

Respons paling mudah ialah masing-masing cuba mencari jawapan atau rumusan mengenai sesuatu kes itu dan kemudian menuding jari sama ada ke arah keluarga terlibat atau badan kebajikan yang menguruskan hal sedemikian.

Apakah program bantuan yang diadakan oleh badan kebajikan selama ini kurang memberi kesan pada keluarga berisiko itu? Atau, keluarga terlibat tidak tahu berdikari dan bersyukur atas bantuan yang disediakan buat mereka selama ini?

Inilah persoalan yang diajukan ke atas seorang pegawai kebajikan mapan ketika bersembang dengannya. Pada pandangan peribadinya, ada dua golongan miskin di Singapura.

Golongan pertama insan miskin tetapi kaya alasan. Golongan kedua insan miskin tetapi malu 'meminta-minta' jadi mereka berusaha gigih untuk keluar daripada lingkaran musibah.

Ada persamaan pada dua golongan itu, seperti miskin, kurang berpelajaran dan beberapa perkara lain yang memburukkan keadaan mereka.

Yang membezakan mereka ialah sikap mereka. Golongan pertama lebih 'relaks' meraih bantuan setiap bulan manakala golongan kedua berusaha sedaya upaya untuk keluar daripada kemiskinan.

Contohnya, jika ada sebarang skim bantuan golongan pertama sering datang hingga muka itu yang selalu dilihat. Tetapi jika ada pameran pekerjaan atau program peningkatan diri, pelbagai alasan diberi mereka untuk tidak menyertainya.

Cakap mudahnya, golongan pertama lebih selesa hidup 'bertongkat' selama yang boleh.

Pada pegawai kebajikan itu, golongan pertama bak duri dalam daging kerana sikap dan pemikiran mereka menghambat usaha badan kebajikan mengasingkan keperluan dua golongan itu.

Ada baiknya badan kebajikan menyemak secara menyeluruh setiap kes yang berdaftar bagi skim bantuan kewangan mahupun barangan, peningkatan diri dan subsidi bagi anak.

Ini boleh menyediakan garis panduan bagi meneliti sejauh mana sesebuah keluarga itu telah berusaha untuk berdikari atau keluar daripada lingkaran musibah.

Saya percaya jika kita berjaya mengemas kini peranan dan misi badan kebajikan, kelak akan tinggal hanya golongan miskin yang minta dibantu agar dapat berdikari dan bukan yang meminta-minta sahaja.

Mohd Ikhlash Abdullah

Anugerah tertinggi sastera untuk Dr Hadijah

SUMBANGAN DIIKTIRAF: Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat menjadi sasterawan wanita dan pakar akademik pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang. Beliau menerima anugerah daripada tetamu terhormat, Dr Yaacob Ibrahim (kanan) dengan diperhatikan encik Masagos. - Foto TUKIMAN WARJI

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

SINGAPURA

Anugerah tertinggi sastera untuk Dr Hadijah

Buat pertama kali sasterawan wanita menangi Anugerah Tun Seri Lanang sejak 1993


BUAT julung-julung kalinya sejak 1993, Anugerah Tun Seri Lanang diberikan kepada seorang sasterawan wanita, yang juga pakar akademik - Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat.

Penganugerahan itu diberikan kepada beliau atas usaha gigih dan sumbangan besarnya dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Anugerah itu disampaikan kepada Dr Hadijah, 53 tahun, oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, di majlis Anugerah Persuratan 2011, yang diadakan di Hotel Shangri-La petang semalam.

Anugerah sastera terulung itu adalah yang ke-11 diberikan sejauh ini.

Dr Hadijah, merupakan antara 15 penerima Anugerah Persuratan, yang terbahagi kepada empat kategori, yang diadakan di Hotel Shang-ri La, semalam.

Anugerah Tun Seri Lanang, yang menawarkan hadiah $5,000, diberikan kepada tokoh persuratan ulung dalam masyarakat Singapura, pejuang seni dan pemaju pemikiran masyarakat.

Pemenang-pemenang terdahulu termasuk pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, Allahyarham Dr Masuri S.N., dan Encik Mohd Latiff Mohd.

Dalam ucapannya, Dr Hadijah melahirkan rasa terharu kerana usahanya dalam memperkayakan lagi dunia persuratan Melayu selama ini diiktiraf.

'Dengan rendah hati, saya menerima anugerah ini. Namun... kita perlulah memperkasakan lagi visi dan strategi di sebalik penganugerahan ini. Selain bentuk pengiktirafan ini, kita perlu juga memikirkan langkah-langkah untuk benar-benar menghidupkan 'semangat tulen dan wawasan penulis Sastera Melayu' secara lebih bermakna di kalangan generasi akan datang,' katanya.

Dr Hadijah merupakan Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, merangkap Timbalan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengajian Melayu dan Indonesia dari Sekolah Pengajian Timur dan Afrika, Universiti London.

Beliau telah menulis sembilan buah buku, menyunting 11 buku dan banyak tulisan akademik di jurnal antarabangsa.

Antara buku yang dihasilkannya ialah Sastera dan Manusia Melayu Baru - Kumpulan Esei dan Wawancara, Munsyi, sebuah drama sejarah, berdasarkan autobiografi Abdullah bin Sheikh Abdul Kadir Munshi dan Antara Dua Kota - Mengesan Jejak-jejak Peninggalan Munsyi Abdullah di Melaka dan Singapura yang memenangi Hadiah Sastera Singapura 2000 (Non-Fiksi).

Bidang penyelidikan beliau ialah Sastera Melayu Klasik dan moden, sastera kanak- kanak, pendidikan sastera, sastera Islam, historiografi Melayu, Sastera Melayu Singapura, Sejarah Penempatan Melayu dan perkembangan sosio-budaya Melayu Singapura.

Beliau mengajar kaedah mengajar sastera dan pendidikan sastera untuk program siswazah dan pasca-siswazah.

Dr Hadijah telah banyak menyumbang kepada pembangunan sastera di dalam dan luar negara melalui kajian dan pembentangan kertas kerja. Beliau amat aktif dalam mendokumentasikan khazanah Melayu Singapura, khususnya seperti kajian lengkap mengenai sejarah; Istana Kampong Gelam; dan kampung-kampung di Singapura.

Dalam majlis itu, Dr Yaacob dalam ucapannya berkata, sastera Melayu memainkan peranan penting dalam mengembangkan warisan dan menyampaikan gejolak rasa, denyut nadi serta isi hati atau suara masyarakat.

'Selain keindahan bahasa, penghasilan karya-karya sastera Melayu turut diisi dengan pemikiran, pandangan hidup, falsafah dan peradaban Melayu, terutama dalam konteks masyarakat kita yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya...

'Pemerintah akan terus memberi sokongan untuk merancakkan arena persuratan tanah air,' katanya.

Tambah Dr Yaacob, terdapat ruang dan wadah untuk para penulis bereksperimen dan menggabungkan pelbagai media untuk melahirkan karya sastera yang lebih dinamik.

Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Persuratan 2011, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan terus menyokong dan menggalakkan perkembangan bidang persuratan Melayu tanahair.

'Bidang persuratan membolehkan pemikiran dan nilai masyarakat pengguna bahasa tersebut dizahirkan melalui penceritaan yang kreatif dan menarik. Melalui sastera, kita dapat mengajak pembaca memikirkan, menilai dan membincangkan sesuatu isu yang diketengahkan,' katanya.