12 Ogos 2011
KOMENTAR
PANDANGAN
Keunikan puasa Ramadan
Oleh
Maarof Salleh
BAIK dalam sembang mahupun di Internet, terpapar rasa kecewa umat Islam terhadap saudara mereka yang tidak bertatalaku sesuai dengan syiar Ramadan.
Keluhan itu tentu didasari hasrat agar amalan berpuasa Ramadan di watan ini dapat dilaksanakan menepati maksud dan kehendak agama.
Puasa sebenarnya amalan universal. Al-Quran menerusi ayat 183 Surah Al-Baqarah yang memerintahkan ibadah puasa Ramadan menerangkan berpuasa telah juga diperintahkan ke atas 'orang terdahulu'.
Dalam sastera Arab kuno, makna as-shaum (berpuasa) bermaksud menahan diri daripada melakukan kegiatan pada benda, haiwan dan manusia. Misalnya, kuda yang berpuasa ialah kuda yang sedang diam dalam kandangnya.
Di kalangan bangsa Mesir kuno, berpuasa dikaitkan dengan banyak perayaan agama, tetapi tidak dijadikan kewajipan di kalangan awam.
Masyarakat Athens (Greece silam) membataskan kewajipan berpuasa kepada kaum wanita pada hari ketiga Thosmophoria.
Penganut Hindu berpuasa di pelbagai hari perayaan mengikut kumpulan masing-masing.
Berpuasa adalah amalan anjuran agama-agama Samawi (Yahudi, Kristian dan Islam) tetapi dengan tujuan, masa dan cara yang berlainan.
Pembesar gereja pula tidak menilai puasa 40 hari yang pernah dilakukan Nabi Isa as sebagai amalan wajib. Malah, berlaku banyak perselisihan pentafsiran di kalangan tokoh gereja sehingga mengurangkan kepentingan amalan berpuasa dalam agama Kristian. Perintah berpuasa akhirnya hanya dapat berlaku menerusi Akta Parlimen di England yang melarang memakan daging segar pada hari berpuasa.
Kini, terdapat juga trend berpuasa mutakhir tanpa kaitan dengan sebarang tradisi atau agama.
Misalnya, berpuasa beberapa hari atas nasihat tabib (doktor). Atau puasa ahli sukan daripada mengambil bahan tertentu untuk meraih kejayaan dalam sukan yang diceburinya. Berlaku juga berpuasa di kalangan sesetengah aktivis politik atau sosial untuk protes terhadap pemerintah.
Jadi apakah keunikan puasa Ramadan?
Antara lain, menurut Maulana Sulaiman Nadwi, alim besar dari India, terdapat tiga isu penting:
Bila kita berpuasa dan jangka masa berpuasa? (Isu 'masa')
Bagaimana kita berpuasa? (Isu 'cara')
Mengapa kita harus berpuasa? (Isu 'tujuan')
Masa:
Berpuasa harian dalam Islam diperintahkan bermula menjelang fajar dan berakhir selepas terbenamnya matahari.
Inilah masa biasa dalam rutin kehidupan seseorang, iaitu ketika semua pancainderanya beroperasi dan gerakannya aktif.
Berpuasa sunat pula boleh dilakukan di luar Ramadan. Seseorang Muslim tidak perlu mengambil cuti sekadar untuk melaksanakannya.
Ini berbeza bagi puasa yang harus berjalan sepanjang 24 jam terus-menerus yang pasti sukar dilakukan semua lapisan orang.
Tempoh panjang seperti ini mungkin dapat dilakukan oleh segelintir orang, tetapi akan menyusahkan orang awam yang bekerja dan mustahil dapat bertahan meneruskan pekerjaan tanpa makan minum selama masa berpuasa.
Ada pula sesetengah golongan yang berpuasa dalam tempoh yang panjang - berbulan sehingga bertahun dan mengasingkan diri (bertapa). Pengamal sedemikian tidak memerlukan banyak keperluan luar dalam mencapai keselamatan dan kemajuan kerohanian.
Akibatnya, mereka terpisah daripada semua kegiatan sosial, dengan keluarga dan rakan.
Sebaliknya, masa berpuasa dalam Islam mendorong terlaksananya ukhuwah dan jalinan sosial sesama anggota keluarga dan masyarakat yang lebih kukuh dan akrab.
Cara:
Bagi kebanyakan agama, berpuasa sering bermaksud pengasingan diri seperti menjauhi keluarga untuk tinggal di tempat terasing.
Kegiatan sosial dianggap tidak sesuai dengan amalan ketika berpuasa. Maka pengertian 'menjadi suci' menjejas kuat kehidupan sosial orang yang berpuasa.
Amalan berpuasa dalam Islam begitu unik disebabkan orang yang berpuasa dikehendaki mengukuhkan lagi sifat ihsan dan keprihatinan dalam kehidupan sosialnya.
Ketika bersahur, orang yang berpuasa akan bersama keluarganya.
Dalam rutin hariannya pula dia harus mengawal diri agar tidak menyusahkan orang lain.
Ketika bertarawih, Muslim bersama dalam saf membesarkan Allah di samping mengukuhkan ukhuwah bersama jemaah.
Tujuan:
Walaupun berpuasa bukanlah institusi baru, tujuan berpuasa dalam Islam berbeza lantas unik.
Tujuan berpuasa bagi kebanyakan masyarakat kuno ialah menggembirakan tuhan-tuhan mitos mereka.
Ada yang berpuasa untuk menebus dosa. Sebahagian yang lain berpuasa sempena hari kelahiran atau kematian tuhan atau wira mereka.
Tujuan berpuasa dalam Islam pula membawa pengertian maksud lebih syumul - 'agar kamu bertakwa' (ayat 183 Surah Al- Baqarah).
Jadi berpuasa dalam Islam bukan sahaja menahan diri daripada makan minum, bahkan daripada berbuat sebarang keburukan, iaitu bertakwa.
Pada Ramadan juga mula diturunkan Al-Quran yang mengungkapkan seluruh perintah Allah kepada manusia.
Turunnya Al-Quran menandakan detik berlakunya komunikasi langsung antara Khalik dengan makhluknya.
Menerusi amalan seperti tarawih dan tadarus, komunikasi Khalik dan makhluk ini dapat berterusan.
Dengan menjadikan takwa kepada Allah sebagai tujuan, mereka yang berpuasa mengikrarkan puasanya semata-mata agar mendapat keredaan Allah.
Dia juga komited akan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Jelas tiga aspek utama - masa, cara dan tujuan - berupaya menjadikan amalan berpuasa dalam Islam suatu amalan yang unik.
Jadi, semua orang tidak kira taraf sosialnya mudah dan selesa melakukannya.
Tujuan berpuasa untuk bertakwa pula berfungsi membebaskan diri daripada segala keburukan.
Sementara Ramadan masih ada, marilah kita terus memeriksa apakah ibadah berpuasa dan ibadah lain yang kita jalani sekarang masih tegak di landasannya yang benar.
Jika masih terdapat penyimpangan, cepat-cepatlah kembali diluruskan.
Usahlah puasa kita sekadar lapar dan haus saja. Hayatilah erti puasa.
Semoga amalan berpuasa Ramadan kita terus menjadi amalan unik yang diredai-Nya.
No comments:
Post a Comment