Tuesday, August 2, 2011

Sikap Golongan terpelajar kita

GAMBAR HIASAN: Dapatkah anak-anak Melayu yang terpelajar dipertanggungjawabkan untuk menjadi penggerak dan pemimpin masyarakat serta negara?

Mudah cetak
E-mel

31 Jul 2011

KOMENTAR

SIKAP GOLONGAN TERPELAJAR KITA

Jika mereka gagal jadi contoh yang baik, bagaimana dapat kita harapkan anak Melayu yang terpinggir menjadi cemerlang?


RABU lalu, saya bertemu seorang guru lama yang pernah mengajar saya sewaktu di menengah tiga dahulu.

Pertemuan itu memang saya atur untuk mewawancara beliau bagi projek pembukuan buku kenangan Sekolah Menengah Telok Kurau (TKSS), sekolah lama saya yang telah pun ditutup tahun lalu.

Nama guru saya itu ialah Cik Rafeah Buang. Usianya sudah 81 tahun tetapi beliau masih sihat, cergas dan mindanya masih cerdas melebihi sesetengah orang yang 20 tahun lebih muda daripada beliau.

Selain itu, saya tertarik dengan amalan beliau yang sampai sekarang rajin menulis tentang peristiwa seharian dalam diarinya.

Saya lihat, bukan satu atau dua, tetapi rasanya lebih 10 buku diari yang tersusun di atas almari di dalam kamarnya.

Ini mengingatkan saya kepada Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad, tokoh budayawan kita, yang juga rajin merakamkan peristiwa seharian dalam buku diarinya - hampir setiap hari dari dulu sampai sekarang.

Haji Muhammad Arif juga masih cerdas mindanya, dan masih rajin menulis setiap minggu untuk akhbar ini, di sebalik tubuh yang semakin melemah pada usia menghampiri 87 tahun.

Satu lagi yang menarik perhatian tentang mantan guru saya ini ialah tabiat mengumpulkan keratan laporan-laporan akhbar dan disusun elok di dalam fail.

Beliau menunjukkan kepada saya beberapa failnya yang penuh tersusun dengan keratan akhbar mengenai laporan atau rencana mengenai masyarakat Melayu dan juga peristiwa penting yang berlaku di Singapura dan juga Malaysia.

Mungkin ini salah satu sebab mengapa minda mantan guru saya ini sentiasa cerdas dan daya ingatannya tetap kuat di sebalik usia yang melewati 80 tahun - sama seperti Haji Muhammad Arif.

'Jiwa saya ni lain sikit tau...' kata beliau kepada saya.

'Saya suka tengok anak Melayu berjaya. Setiap kali saya baca dalam akhbar ada anak Melayu berjaya, siapa saja mereka, saya cakap 'amiiin...'

'Saya suka orang Melayu maju ke depan,' kata beliau lagi.

Tetapi, kata mantan guru saya ini, ada sedikit rasa kesal yang berbuku dalam jiwanya melihat sikap sebilangan anak muda Melayu sekarang yang sudah berjaya dan menjadi golongan profesional.

Mereka ini, kata beliau, ada yang sombong bagaikan lupa diri bahawa mereka orang Melayu.

Beliau tidak membicarakannya dengan lanjut, tetapi saya faham apa yang beliau maksudkan.

Sebab, saya juga pernah dengar keluhan serupa daripada beberapa orang lain, tentang sikap sebilangan anak Melayu kita ini yang sudah berjaya, sudah jadi karyawan dan mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, tetapi bagaikan memandang rendah kepada masyarakat sendiri.

Saya pernah terima e-mel daripada karyawan yang terang-terang mengatakan mereka bukan sahaja tidak percaya pada pucuk pimpinan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahkan kepada ulama-ulama kita yang lain yang mereka anggap memberi takrif sempit kepada ajaran Islam.

Mereka sebaliknya menyanjung pakar-pakar pengajian Islam di universiti-universiti Barat yang mereka anggap lebih moden dan progresif.

Kemudian, saya lihat ada juga segolongan karyawan yang memilih untuk memberi komen di 'tepi pagar' tentang masyarakat kita, seolah-olah tiada yang betul.

Soalnya, mengapa mereka tidak mahu terlibat secara langsung untuk membetulkan apa yang salah dalam masyarakat kita?

Memang saya akui, masyarakat Melayu kita perlu melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi yang dapat menjadi karyawan dalam pelbagai profesion seperti doktor, peguam, jurutera, pakar teknologi maklumat, teknokrat, dan sebagainya.

Kita perlukan lebih ramai lagi orang sedemikian demi mengukuhkan kedudukan masyarakat kita, agar mampu bersaing dalam zaman globalisasi sekarang ini.

Tetapi, ini sahaja belum tentu mencukupi.

Di samping kita berbangga dengan kejayaan anak-anak kita itu, kita juga perlu bertanya, dapatkah mereka dipertanggungjawabkan untuk menjadi penggerak dan pemimpin masyarakat serta negara?

Kukuhkah peribadi mereka?ÂÂ

Apakah kejayaan-kejayaan yang dicapai sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan yang tinggi itu, telah melunturkan nilai murni Melayu yang mereka warisi?

Apakah kecemerlangan mereka cuma untuk diri sendiri?

Bukan tujuan kita untuk menidakkan pencapaian anak bangsa kita sendiri.

Bahkan, kita mengharapkan mereka yang berjaya ini dapat menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kita dalam mengejar kecemerlangan.

Tetapi, jika golongan Melayu yang berjaya ini tidak berupaya memberikan contoh yang baik, bagaimanakah kita boleh mengharapkan anak Melayu yang terpinggir boleh menjadi cemerlang?

Kita perlu sedarkan golongan yang berjaya ini bahawa setinggi manapun pencapaian mereka, tanggungjawab mereka terhadap masyarakat sendiri tidak boleh berkurang.

Mereka harus diasuh supaya menyayangi bangsa mereka sendiringi.

Mereka perlu menjadi role model atau contoh kepada anak-anak Melayu yang lain.

Inilah kewajipan sebenar golongan terpelajar dan pemimpin Melayu.

Komitmen golongan terpelajar ini dan mereka yang bergelar pemimpin adalah penting, di samping peranan alim ulama yang bertanggungjawab, sebagai kunci kemajuan masyarakat kita umumnya.

Merekalah yang diharap dapat memimpin masyarakat kita dalam menentukan hala tuju dan masa depan kita.

Kita perlu bergerak sepantas kaum-kaum lain untuk menyahut cabaran mencapai kecemerlangan di Singapura ini.

No comments:

Post a Comment