Wednesday, August 17, 2011

Majlis Pusat

17 Ogos 2011

KOMENTAR

Majlis Pusat: Membangun budaya dan tamadun


KAMI merujuk kepada beberapa surat pembaca yang disiarkan dalam Forum Berita Harian mengenai keprihatinan mereka terhadap acara Raya Gemilang yang dianggap tidak sesuai dalam konteks sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas maklum balas pembaca. Kami terima maklum balas ini dan segala kritikan dengan dada terbuka. Ini kerana ia bernas dan membina. Izinkan kami berkongsi beberapa perkara yang mempunyai kaitan dengan hal ini.

Raya Gemilang merupakan salah satu aspek acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai yang dimuatkan oleh MediaCorp Suria atas dasar kerjasama kami dengan mereka. Ada beberapa aspek lagi tentang acara ini seperti hiasan lampu di kawasan Geylang Serai, penganjuran bazar Raya dan kegiatan selama 29 hari sepanjang Ramadan.

Ketika kami berbincang untuk melaksanakan acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai, Majlis Pusat berada dalam kedudukan transisi dengan tekad membuat perubahan pada hala tuju dan tumpuan persatuan.

Memang sekian lama Majlis Pusat dikenali sebagai persatuan yang mempromosikan kegiatan seni. Kami akan teruskan kegiatan ini, tetapi ia akan diolah dalam konteks agenda pembangunan budaya dan tamadun.

Dalam hal ini, apa yang akan kami perjuangkan ialah pembangunan budaya Melayu/Islam dalam pengertian budaya sebagai satu sistem kepercayaan, agama, falsafah, pandangan hidup, nilai, ilmu dan amalan yang dikongsi bersama oleh bangsa dan masyarakat berumpun Melayu dan beragama Islam.

Selari dengan tekad ini, kami mengambil keputusan memastikan agar acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai bukan sahaja menghibur, malah mendidik, merangsang dan membina.

Atas tekad ini juga, kami menyuntik unsur-unsur pendidikan, sosioekonomi dan nilai agama dalam acara ini. Ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan sepanjang 14 tahun Majlis Pusat menganjurkan acara ini.

Justeru, acara tahun ini mendukungi beberapa perwatakan baru. Contohnya, selari dengan konsep penyalaan lampu, Majlis Pusat menganjurkan Projek Cahaya dengan sebanyak 200 lampu meja berjenama Philips yang cekap tenaga (energy-efficient) diagihkan kepada anak-anak keluarga fakir miskin kendalian Persatuan Darul Arqam Singapura.

Sebanyak 300 lampu meja serupa juga diagihkan kepada pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah. Projek Cahaya ini bertujuan membantu menerangi suasana dan sekitaran pembelajaran anak-anak di rumah mereka, di samping membantu keluarga mengurangi kos bil elektrik melalui penggunaan lampu yang menjimatkan tenaga.

Sebanyak 500 lagi lampu meja akan diagihkan sepanjang Ramadan dan seterusnya.

Kami lakukan usaha ini atas dasar memperjuang nilai penimbaan ilmu dan tabiat berhemat, kerana ia adalah antara ciri budaya Melayu/Islam yang penting.

Juga, tersurat dan tersirat dalam acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai ialah usaha kami membangkitkan rasa bangga pada warisan budaya Melayu/ Islam. Contohnya pada tiang-tiang lampu sepanjang Changi Road dan Geylang, kami mempamerkan sebahagian tokoh dunia Melayu/Islam yang telah berbakti kepada agama dan bangsa.

Antaranya ialah Malahayati, seorang wanita dalam zaman kegemilangan Aceh pada penghujung abad ke-15. Beliau memimpin armada yang terdiri daripada balu-balu askar laut Aceh dan berjaya mengatasi banyak serangan laut oleh pihak penjajah, termasuk menumpaskan ekspedisi menjarah Portugis dan Belanda.

Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Laksamana, dan telah menanam bibit keberanian dan dahagakan ilmu serta hak asasi wanita Aceh ke persada dunia.

Juga dipaparkan ialah visual artifak Dunia Melayu Dunia Islam, yang sekali gus menunjukkan bahawa kita orang Melayu sebenarnya satu bangsa yang sekian lama menguasai pelbagai bidang keilmuan dan kemahiran dalam bidang teknologi, pentadbiran, peperangan, penulisan dan pendidikan.

Pada masa yang sama, kami juga menganjurkan Cabaran Perusahaan Belia @ Pencahayaan Ramadan yang bertujuan mendedahkan para belia pada selok-belok berniaga. Acara ini mendapat penyertaan 55 belia Melayu/Islam - sesuatu yang di luar jangkaan kami.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Majlis Pusat turut terlibat dalam agenda perniagaan. Jawapannya, ini kerana perniagaan adalah satu aspek penting dalam peradaban dan kebudayaan masyarakat Melayu/Islam. Nilai-nilai yang berhubung kait dengan perniagaan dan perusahaan bukanlah perkara baru bagi orang Melayu/ Islam.

Sememangnya, sejarah telah merakamkan bahawa orang Melayulah yang mengusahakan Temasek, pusat pelabuhan yang begitu sibuk sekali. Kita adalah bangsa perusahaan, dagangan dan perniagaan. Projek Cabaran Perusahaan Belia @ Pencahayaan Ramadan merupakan satu usaha kerdil kami untuk membangkitkan lagi nilai-nilai ini.

Bahkan, projek ini akan menjadi kegiatan tetap dalam acara Perayaan Lampu Geylang Serai pada masa mendatang.

Banyak lagi kegiatan yang kami anjurkan, yang merupakan sebahagian acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai. Antaranya pementasan mingguan budaya Melayu di Perkampungan Melayu - kami mempamerkan aspek seni Melayu yang 'terkurung' oleh kesopanan termasuk dalam tariannya.

Melalui wadah ini, kami juga mendampingi masyarakat, khususnya golongan tua dan miskin, dengan kami meraikan mereka dalam majlis iftar bersama kumpulan nasyid Hijjaz dan In-Team.

Pada keseluruhannya, acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai memperluas lagi ruang interaksi antara masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu. Ini memberi peluang kepada kita berkongsi nilainilai Melayu/Islam dengan masyarakat di sekitaran.

Namun, dalam usaha kami menyuntik unsur-unsur baru, kami juga menghadapi isu menangani proses perubahan ini. Beberapa kelemahan dan kesilapan telah berlaku di pihak kami, termasuk ketidakpekaan kami dalam menangani beberapa aspek dalam pementasan Raya Gemilang.

Oleh kerana kesilapan ini, kami memohon maaf dan bertekad memperbaiki hal ini dalam acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai yang akan datang.

Acara Perayaan Lampu Raya Geylang Serai merupakan satu wadah yang membolehkan kita menonjolkan ciri-ciri budaya Melayu/Islam kepada golongan muda serta masyarakat umum.

Kebudayaan yang kami ertikan di sini ialah cara hidup ciptaan manusia yang meliputi nilai, ilmu dan amalan yang merangkumi resam yang dikongsi sesebuah bangsa dan masyarakat. Setiap bangsa atau masyarakat wajar berbangga dengan kebudayaannya yang mencerminkan jati dirinya.

Begitu juga dengan budaya Melayu. Kita merupakan antara rumpun besar kemanusiaan, sekitar 300 juta jiwa di rantau ini dan tersebar dari Afrika Selatan ke Surinam dan gugusan kepulauan Pasifik. Namun, yang dinamakan 'Melayu' ialah kaitannya dengan Islam sebagai pencorak keadilan dan peradaban.

Kami akur Perayaan Lampu Raya Geylang Serai seharusnya mendidik, merangsang dan menyatu, bukan sekadar menghibur. Kami akur Majlis Pusat seharusnya pun begitu, dan kami bertekad akan menggerakkan titik permulaan perubahan ini sekarang.

Zulkifli Mohammed
Presiden Majlis Pusat

No comments:

Post a Comment