1 Feb 2011
EKSTRA!
Menuju puncak...
Penulis seronok takluki Gunung Kinabalu walau teruji daya mental dan fizikal
Oleh
Srinurainn Darmawan
PENGALAMAN berkunjung ke Sabah adalah suatu pengalaman yang tidak dapat diperolehi dan dialami di Singapura.
Pengalaman yang manis akan sentiasa kekal di ingatan.
Saya dan rakan-rakan seramai 20 orang disertai lima guru dan seorang ketua rombongan berjaya mengatasi segala rintangan sehingga berjaya menakluki Gunung Kinabalu di Sabah.
Kapal terbang JetStar yang rombongan kami naiki berlepas dari lapangan terbang Changi pada 10.35 pagi. Penerbangan kami memakan masa selama kira-kira dua jam.
Setibanya di lapangan terbang Sabah, perasaan tenang terus menyelubungi kami, selain nikmat pemandangan indah yang diwarnai kecantikan alam semula jadi.
Kami terus menuju ke restoran Sri Melaka untuk menjamu selera selepas perjalanan kami yang memakan masa selama dua jam.
Selepas menjamu selera, kami menuju ke destinasi kami di Rose Cabin untuk merehatkan tubuh yang letih.
Hari pertama kami di Sabah merupakan hari untuk kami berehat kerana kami akan mendaki Gunung Kinabalu pada keesokan hari.
Kami sedar betapa pentingnya kami mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum pendakian bermula.
Pengembaraan mendaki Gunung Kinabalu bermula pada 7 pagi. Kami dibahagi kepada empat kumpulan, sebelum memulakan objektif pertama - mendaki ke pertengahan gunung setinggi 4.5 kilometer.
Ketua rombongan kami, Joe, mengingatkan bahawa kami harus sampai ke destinasi seterusnya, Pandant Hut, sebelum matahari terbenam.
Mujur, semua empat kumpulan berjaya tiba di Pandant Hut pada waktu yang ditetapkan. Di situ kami bermalam sebelum bermulanya objektif yang kedua - mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Pendakian ke puncak merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan amat mencabar kerana kami harus meneruskan pendakian dalam keadaan yang mengantuk dan letih yang amat sangat. Bayangkan, kami memulakan pendakian pada 2 pagi.
Perjalanan ke puncak gunung sungguh menguji daya kekuatan mental dan fizikal masing-masing kerana dalam perjalanan kami ada beberapa laluan yang becak dek hujan.
Kekuatan dan kemantapan tangan kami juga diuji kerana kami harus menggunakan tali untuk meneruskan pendakian ke puncak.
Terus terang saya katakan, ia sungguh mencabar sebab kami bukan sahaja menarik berat badan sendiri, malah harus menarik beg kami yang amat berat untuk ke sampai ke puncak.
Misi pendakian tersebut adalah sampai ke puncak sebelum 6 pagi.
Kumpulan saya sahaja yang berjaya mengharungi cuaca yang sangat sejuk iaitu paras suhu 10 darjah Celsius.
Kami sungguh terpegun dan diam terpaku sejurus sahaja kami melihat keindahan terbitnya matahari.
Sungguh indahnya pada saat itu!
Itulah kali pertama dalam hidup kami dapat melihat matahari terbit dengan jelas.
Yang membuat pengalaman tersebut suatu yang tidak dapat dilupakan ialah kami menyaksikannya di atas gunung tertinggi di Asia.
Perjalanan menuruni gunung adalah satu lagi kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana kami seolah-olah sedang berjalan di bulan!
Kami terhuyung-hayang apabila berjalan menuju ke destinasi seterusnya.
Mungkin disebabkan ketinggian gunung dan mungkin juga keletihan yang amat sangat di kaki kami!
Akhirnya, kami berjaya mengakhiri perjalanan turun ke bawah pada 8 malam.
Dalam keadaan yang letih dan mengantuk, kami singgah sebentar di Rose Cabin untuk mengambil beg yang kami tinggalkan pada siang hari. Kemudian kami terus menuju ke bandar untuk ke tempat penginapan kami yang terakhir di Sabah, Borneo Backpackers.
Aktiviti terakhir kami ialah berakit di sungai - satu aktiviti yang memerlukan kami merentasi sungai yang begitu deras. Sungguh menggerunkan!
Namun, kami dapat mengatasi perasaan gerun itu kerana segala-galanya yang gerun bertukar menjadi perasaan seronok yang sukar digambarkan.
Rasa pilu menyelubungi hati kami apabila tiba masa kami mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah.
Pengalaman yang dilalui di sana tidak akan pudar daripada ingatan kami kerana percutian ke Sabah beramai-ramai ini mungkin peluang yang datang hanya sekali dalam hidup kami.
Nota: Penulis seorang pelajar berusia 16 tahun.
No comments:
Post a Comment