30 Jan 2011
FORUM
Melayu perlu ada rasa cinta pada bahasa ibunda
SEBAGAI bekas pendidik yang mengajar bahasa Melayu selama 42 tahun, saya ingin berkongsi pengalaman saya di samping memberi respons mengenai masalah penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Guru-guru seangkatan saya berasa tersangat sedih dan prihatin mendengar keluhan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin mengenai isu ini. Ada yang mengajar semula setelah pencen demi anak didik bangsa.
Beberapa tahun lalu, Bahasa Melayu adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling mudah untuk memperolehi A*/A bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan A1/A2 bagi peringkat menengah. Ada yang terus dapat menguasainya dengan cemerlang hingga kini.
Semenjak bahasa Inggeris dan matematik dititikberatkan, ramai di kalangan masyarakat Melayu kita mengambil ringan tentang kepentingan bahasa Melayu, bahasa ibunda kita, sehingga timbul masalah penguasaan bahasa ibunda itu.
Setiap penyakit ada ubatnya.
Segera berubat jika terdapat tanda-tanda sesuatu penyakit. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kita patut bertindak segera.
Jika kita sibuk berusaha gigih untuk mengubati sakit lemah jantung, kini kita diserang pula penyakit lemah semangat! Semangat yang saya maksudkan ialah lemah semangat kebangsaan, kekitaan dan perjuangan.
Bukankah bahasa itu merupakan satu ciri penting sesuatu bangsa?
Bahasa adalah jiwa satu-satu bangsa. Ada di antara mereka yang tidak menghiraukan langsung atau rasa bersalah jika anak mereka lemah dalam bahasa ibunda. Ini membuktikan mereka tidak cintakan bahasa ibunda sendiri.
Para pencinta bahasa berusaha gigih menaiktarafkan bahasa ibunda di sekolah dengan pelbagai inisiatif dan program. Badan-badan bahasa dan budaya pula menganjurkan pelbagai aktiviti. Pemerintah mengadakan pelbagai latihan bagi guru dan kini gigih dalam usaha pengambilan guru baru.
Ini selain menaikkan gaji para guru dan menyuntik jutaan dolar bagi menggalak dan menjayakan terus penggunaan bahasa ibunda.
Adakah matlamat kita ini akan tercapai?
Pada pendapat saya, jika para ibu bapa dan pendidik tidak tersemat rasa cinta pada bahasa ibunda serta punya semangat perjuangan dan pengorbanan, usaha akan tersiasia.
Rasa cinta pada sesuatu perkara itulah yang menjadi pemangkin dalam diri setiap individu untuk berjaya dalam apa yang dicita-citakannya.
Saya sokong perubahan yang dibuat pihak kementerian. Ini hanya dimulakan pada 2013. Hasilnya akan dilihat dalam peperiksaan 2017.
Bagaimana pula nasib murid-murid masa kini yang lemah, yang sedang sakit dan yang parah dalam bahasa ibunda?
Adakah apa-apa perubahan drastik dibuat untuk mereka? Adakah kita akan tetap teruskan apa yang telah dirancang hingga mereka mengalami barah pula dalam bahasa ibunda? Kita di Singapura ini terlalu menekankan soal ekonomi dan keputusan peperiksaan!
Aminah Ali
No comments:
Post a Comment