Wednesday, January 5, 2011

Menilai Soal Adat Yang Merugi oleh M. Effendy A. Hamid

5 Jan 2011

KOMENTAR

E-MEL DARI HAWAII
Menilai soal adat yang merugi

Oleh
M. Effendy A. Hamid
SEKIRANYA ada mesin waktu, ke detik bersejarah yang mana hendak dituju? Itulah pertanyaan agak aneh teman saya tidak lama dulu. Katanya, beliau telah membaca beberapa teori menarik tentang waktu.

Tambahnya, insan hanya perlu bergerak lebih cepat daripada cahaya untuk mengejar waktu.

Agaknya, kawan saya banyak menonton filem dokumentari or filem cereka sains seperti Terminator yang dibintangi Arnold Schwarzenegger.

Namun, dalam filem Hang Tuah versi moden buatan Malaysia, terdapat kisah pahlawan Melayu boleh melompat dari waktu silam ke zaman moden.

Bagi saya seorang penuntut sejarah, sekalipun ada mesin waktu yang berkesan, ia mungkin berguna dari segi memahami tawarikh saja.

Hakikatnya, saya produk zaman tertentu. Fikiran dan sikap saya tentu berbeza daripada, katakanlah, insan abad ke-17 Masihi.

Namun, apakah isu yang menjadi titik tolak perubahan insan dalam sejarah?

Soalan ini juga menyangkut bidang sosiologi, politik, ekonomi, agama sehingga antropologi. Bagi setiap bidang, jawapannya tentu berbeza.

Hakikatnya, kita sudah memasuki tahun baru. Apakah unsur perilaku manusia yang akan berulang dan mengapa?

Mengenai masyarakat Melayu di Singapura dan Semenanjung Malaysia, saya teringat hujah seorang teman bahawa ada kesinambungan (continuity) dalam perilaku Melayu hari ini dengan masa lalu.

'Mungkin itu adalah tugas yang sangat penting untuk mengenal pasti ciri-ciri lama yang telah membentuk pemikiran dan perilaku masyarakat Melayu di Singapura yang masih sukar bersaing dengan masyarakat lain,' hujahnya.

Kawan ini menyimpan rasa tidak puas hati kerana begitu sarat masalah Melayu di negara ini - daripada kes jenayah, bunuh bayi kepada perceraian dan sebagainya sedangkan kejayaannya masih boleh dibilang jari.

Apakah sifat-sifat negatif tersirat dalam sedar bawah orang Melayu sejak dahulukala?

Mungkin kita harus faham akan 'pemikiran pihak yang berkuasa' dalam masyarakat Melayu Singapura. Apakah ia berunsurkan masalah yang berkaitan dengan sistem nilai (value sustems)? Benarkah ada 'nilai Melayu' yang negatif dan kalau boleh dihapuskan dengan segera kerana didapati memudaratkan masyarakat?

Kalau begitu kita harus cukup arif mengenai sistem nilai dan peranannya dalam menentukan perilaku masyarakat pada masa lalu dan kini.

Saya menyemak laporan penjajah British hasil pertemuan mereka dengan sultan-sultan Melayu dalam abad ke-19 Masihi.

Ciri-ciri utama daripada laporan sedemikian menceritakan tentang usaha mereka untuk memahami 'adat' yang merupakan prinsip utama yang mengatur masyarakat Melayu ketika itu.

'Adat', kepada British, ialah sebuah dasar kuasa raja Melayu. Mungkin mereka menghormatinya. Namun, pada saya ia sebuah strategi pihak British untuk menguasai raja-raja Melayu.

Mereka berpura- pura menghormati 'adat' tetapi tujuan utamanya ialah mempengaruhi dan mengampu sultan untuk berasa 'berdaulat' sehingga membiarkan British melanjutkan agenda ekonomi dan politik mereka.

Semua adat bikinan manusia kecuali adat yang bersendikan syarak. Jadi adat yang ditentukan raja dengan sewenang-wenangnya hanya merugikan masyarakat Melayu. Lagipun, selagi 'adat' itu tidak menjadi ancaman kepada kepentingan politik dan ekonomi British ketika itu, jadi mengapakah bersusah payah mengubahnya?

Saya tersenyum pahit menginsafi hal ini ketika sekali-sekala menemui bahan sejarah seperti makalah di harian Singapura, The Singapore Free Press (1835-1946), dalam bahagian atau pojok Mercantile Advertiser bertarikh 17 Jun 1931.

Laporan tersebut menceritakan seorang cendekiawan dan tokoh masyarakat, Dr K.M. Ariff (mendapat gelar Jaksa Pendamai atau JP), yang memberikan ceramah mengenai Asal usul orang Melayu di Province Wellesley (Seberang Perai) pada 1931.

Beliau menasihati orang Melayu agar berhemat dalam soal majlis perkahwinan sehinggalah pengebumian. Amalan berbelanja besar bagi acara adat sedemikian hanya merantai orang Melayu yang rata-rata hidup miskin sehingga terpaksa berhutang.

Amalan-amalan begini wajar dihentikan, seru beliau. Sebaliknya, lebihkan berbelanja demi pendidikan tinggi anak Melayu agar dapat bersaing. Adat berbelanja untuk mencari ilmu perlu dikembangkan, katanya.

Tegasnya, 'adat' Melayu pada 1930-an itu tidak logik dan perlu dihentikan.

Sehingga kini, orang Melayu masih berbelanja besar dari segi perkahwinan. Mas kahwin dan hantaran kini paling rendah sekitar $20,000.

Aspek perkahwinan yang utama ialah pernikahan saja. Yang lain tidak penting. Rasulullah saw sendiri menikahkan puterinya, Fatimah ra, dengan sepupunya, Ali ra, secara amat sederhana. Mengapa tidak diikuti cara sederhana baginda yang memang anjuran Islam?

Jadi, isu 1931 hingga 2011 - soal belanja kahwin berlebihan - sudah berusia 80 tahun. Mengapakah masyarakat kita tidak mahu berubah?

Agaknya, orang Melayu memerlukan mesin waktu untuk kembali ke zaman lampau untuk membetulkan punca masalah, usik kawan saya.

Hakikatnya, balik ke zaman lalu hanyalah cetusan minda. Yang penting ialah masa depan yang kita harus bentuk dari sekarang - dengan yakin, tepat terancang, tidak mengulangi kesilapan dan pelaksanaan gigih sehingga berjaya.

No comments:

Post a Comment