Thursday, January 20, 2011

Mengangkat Martabat Tulisan Jawi

19 Jan 2011

EKSTRA!

Mengangkat martabat tulisan Jawi

Oleh
Mohd Kamil Yusuff
TULISAN Jawi bukan sesuatu yang baru di negara ini. Ia telah bertapak lebih 700 tahun lalu sejak penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada tahun 1303. Kewujudannya lebih awal daripada tulisan Rumi yang dibawa oleh penjajah Barat sekitar abad ke-15 Masihi.

Kehadiran tulisan yang berasal daripada tulisan Arab ini amat bermakna kerana selain menjadi salah satu warisan dunia Melayu yang bersejarah, ia juga sekali gus mengubah senario bangsa Melayu dalam pelbagai aspek, baik agama mahupun budaya.

Peri pentingnya tulisan Jawi ini terbukti apabila ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penjajahan British.

Perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris juga menggunakan tulisan Jawi.

Pendek kata, sejarah merakamkan bahawa tulisan ini pernah memainkan peranan penting dalam masyarakat apabila digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Tetapi kini, semua itu menjadi sisa-sisa kenangan manis untuk diingat.

Tulisan kebanggaan bangsa Melayu suatu waktu dahulu, kini semakin terpinggir di bumi Melayu sendiri.

Satu-satunya 'warisan' tulisan Jawi yang masih kekal hingga ke hari ini ialah akhbar Jawi Utusan Melayu Mingguan.

Sehubungan itu, kita bukan sahaja perlu memulihkan tulisan warisan orang Melayu ini, malah mengangkat semula martabatnya ke satu tahap sewajarnya dengan apa cara sekalipun, sesuai dengan keagungan dan ketinggian 'darjatnya' suatu waktu dahulu.

Ini penting kerana tulisan Jawi adalah sebahagian daripada cara hidup kita, cara kita berbudaya dan skrip agama kita.

Kita menjunjung kasih yang tidak terhingga kepada Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah, yang mengajak orang Melayu mempertahankan tulisan Jawi supaya terus hidup dan tidak pupus kerana ia merupakan satu perjuangan bangsa.

Antara perintah baginda yang perlu menjadi ingatan semua orang Melayu adalah, 'meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa, tahu menghargai khazanah bangsanya dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca'.

Perintah baginda itu perlu dijadikan azimat untuk kita semua kembali berjuang memperkukuh dan mempertahankan warisan bangsa itu daripada pupus.

Tibalah masanya untuk kita segera bertindak mempertahankan tulisan zaman-berzaman itu kerana ia bukan setakat menjadi tulisan warisan bangsa, tetapi turut melambangkan kekuatan jati diri kita sebagai orang Melayu.

Jika perlu membuat perubahan kepada dasar pendidikan negara, lakukan segera ketika kuasa politik masih ada.

Jawi perlu diletakkan sebagai satu pengajian yang tinggi tahapnya, bukan setakat tempelan sahaja. Hendak seribu daya!

Nota: Rencana ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia

1 comment:

  1. Orang Melayu harus malu menggunakan Rumi di tempat Jawi.
    http://70.32.105.174/node/74436

    ReplyDelete