Tuesday, January 4, 2011

Menghadapi Kemelut Remaja Liar oleh Jyh Wee Sew

4 Jan 2011

KOMENTAR

PANDANGAN
Menghadapi kemelut remaja liar

Oleh
Jyh Wee Sew
TAHUN 2010 meninggalkan kita dengan peringatan menghiris mengenai perilaku hodoh remaja kita.

Kes pergaduhan samseng mengakibatkan seorang pemuda dibelasah di Downtown East dan kemungkinan hidup buta. Kemudian berlaku rentetan kes belasah remaja sehingga pada malam Natal di Orchard Road.

Semua kes ini menunjukkan ada yang tidak kena pada remaja kita. Menurut para ahli bekas samseng, kelakuan mereka tidak menunjukkan tradisi samseng lama. Sebaliknya, mereka bergaduh tanpa sebab yang masuk di akal. Mengapa?

Adakah ini disebabkan remaja itu menjadi liar dan ingin tunjuk kuat kerana tidak tertahan hidup tertekan atau stres di Singapura? Atau mereka bertindak sebagai protes terhadap ibu bapa dan masyarakat? Atau ada sebab-sebab lain yang perlu dikaji?

Di tengah-tengah hiruk-pikuk di pusat hiburan rasa cemburu pasti terbit kalau mereka berperangai megah, asyik berdua-duaan di khalayak ramai atau bercakap besar dengan suara lantang. Bahaya mungkin mengundang kalau anak muda saling membuat tafsiran semiotik yang negatif ke atas siri aktiviti ini.

Antara yang boleh difikirkan ialah mangkin sampingan jangka panjang perangai liar. Misalnya, permainan komputer kegemaran anak muda yang mendedahkan sifat keganasan menjadi sasaran. Pendedahan permainan komputer yang penuh dengan aksi bergasak dan keinginan menghapuskan penentang membiakkan sifat pemusnah dalam sanubari pemuda yang suka permainan komputer ganas.

Sebagai contoh, permainan komputer berakhir dengan pembunuhan ibu kandung dan diri telah berlaku ke atas seorang anak remaja berusia 15 tahun di Busan, Korea Selatan, pada November 2010.

Ancaman mekanistik ke atas umat manusia di dalam dunia pascamoden terus terasa. Telefon bimbit kini menjadi tempat anak muda mengadu hati dan bukannya ibu bapa atau penjaga.

Telefon bimbit juga punca anggota keluarga menyendiri untuk menukil sepi di skrin pipih genggaman tangan. Telefon bimbit sebagai alat komunikasi jarak jauh juga memudahkan serta menambahkan kekerapan pemuda-pemudi berkumpul di luar rumah, sama ada siang atau malam.

Beberapa langkah kawalan boleh disarankan. Terapi pembacaan dan penghayatan buku berperikemanusiaan termasuk buku cerita kanak-kanak di sekolah adalah penting untuk menghindari sikap liar dan ganas.

Pihak perpustakaan dan sekolah mungkin boleh bekerjasama dalam kempen pemupukan nilai murni di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Di samping itu, remaja yang telah menunjukkan sifat ganas boleh diwajibkan untuk menghadiri kelas agama secara paksa oleh ibu bapa atau pihak sekolah. Asuhan agama dapat membersihkan kebencian dan dendam dalam sanubari setiap orang. Sembahyang akan menyucikan cita rasa seraya mengikis rasa khianat.

Ketiga, hari kelepasan am boleh dijadikan masa berkumpul mesra bagi seisi keluarga agar waktu itu tidak dipersia-siakan. Usaha ibu bapa sendiri mustahak kerana anak yang dibiarkan berpelesiran pada waktu lewat malam mungkin terus tidak akan pulang atau balik dengan cedera parah.

Semoga tahun 2011 memperlihatkan perilaku remaja yang lebih sopan.

Namun, ini bukan tugas pemerintah saja yang telah melancarkan strategi besar-besaran, bahkan juga ibu bapa, sekolah dan setiap anggota masyarakat dalam membangunkan sebuah watan yang beradab sopan.

No comments:

Post a Comment