27 Jun 2010
FORUM
Cara bina prestasi guru bahasa Melayu
ISU penguasaan bahasa ibunda yang kian merosot dalam kalangan pelajar Melayu bukanlah soal baru atau memeranjatkan. Saya sudah melihat keadaan ini sebelum saya mula menjadi guru bahasa Melayu lebih tujuh tahun lalu.
Saya masih berhadapan dengan pelajar yang menghadapi kesukaran dalam usaha mereka menguasai bahasa Melayu. Izinkan saya berkongsi pengalaman.
Pertama-tama, saya berpendapat kebanyakan pelajar yang berbangsa Melayu tidak melihat faedah di sebalik mempelajari bahasa Melayu kerana orang di sekeliling mereka tidak dapat menunjukkan kepada mereka faedah itu. Pendek kata, tidak ada contoh teladan bagi mereka.
Ibu bapa, sebagai guru terawal setiap insan, seharusnya menunjukkan teladan dalam menekankan peri penting menimba ilmu termasuk ilmu perhubungan (komunikasi) termasuk bahasa.
Saya sedar ada ibu bapa yang menunjukkan sikap tidak menghormati guru bahasa Melayu kerana memandang rendah kedudukan bahasa Melayu di sini.
Selain itu, ada ibu bapa yang tidak menggunakan bahasa Melayu langsung di rumah dalam sembang dengan anak-anak mereka atau mencampuradukkan bahasa Melayu yang paling mudah dan rendah mutunya dengan bahasa Inggeris.
Kedua, kebanyakan pelajar berpendapat guru bahasa Melayu mereka tidak dapat menarik perhatian mereka atau tidak dapat menunjukkan teladan kepada mereka. Bahkan, ada pelajar beranggapan guru bahasa Melayu mereka hanya mahir dalam bahasa Melayu.
Oleh itu, guru bahasa Melayu perlu meningkatkan kemahiran dalam pengajaran bahasa Melayu dengan menggunakan kemudahan teknologi maklumat terkini untuk dapat memancing minat pelajar.
Contohnya, menggunakan YouTube yang menunjukkan kemampuan orang bukan Melayu dari 25 buah negara berpidato dalam bahasa Melayu sebagai wakil negara mereka dalam Peraduan Pidato Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Selain itu, guru bahasa Melayu perlu meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris. Kemahiran dwibahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) menempatkan guru bahasa Melayu sebagai insan contoh bagi pelajarnya.
Selain kelas bahasa Melayu, bilakah dan di manakah pelajar Melayu dapat melazimkan diri menggunakan bahasa Melayu yang betul?
Selain akhbar ini, yang dilanggani sejumlah sekolah, adakah lagi bahan bacaan dalam bahasa Melayu yang dibaca pelajar kita?
Kementerian Pendidikan perlu 'turun padang' dan menerima hakikat bahawa latar dan persekitaran penggunaan bahasa Melayu sudah melalui perubahan amat ketara. Oleh itu, diperlukan strategi pengajaran dan pemeriksaan bahasa Melayu yang dapat mencerminkan perubahan itu.
Saya syorkan penekanan diberikan pada kemahiran lisan dalam keadaan berbeza-beza dalam kehidupan sebenar pelajar - daripada peringkat paling rendah (tadika) kepada peringkat paling tinggi (alam pekerjaan).
Kemudian, penekanan diberikan kepada kemahiran penulisan dalam media massa seperti berita di televisyen dan radio, buku, akhbar, majalah, laman Internet, drama, filem dan lagu.
Bagi pelajar yang berkemahiran tinggi dalam bahasa Melayu, berikan pendedahan dan bimbingan dalam kesusasteraan Melayu.
Bukan mustahil menangani isu kelemahan bahasa Melayu. Pokoknya, kerjasama dan ikhtiar semua pihak secara berterusan dan bersungguh-sungguh amat diperlukan.
Jangan sampai nanti apabila kita ditanya orang bukan Melayu, lidah kita menjadi kelu:
"Wajah dan nama awak menunjukkan awak orang Melayu tetapi mengapa awak tidak boleh bercakap Melayu?"
Tidak malukah kita?
Fazila Hadi
No comments:
Post a Comment