Saturday, July 10, 2010

Pantun Warisan

1 Jul 2010

EKSTRA!

PANTUN WARISAN
Berbudi dan berbahasa

Luahan mengenang budi menerusi coretan pantun

Oleh
Mohd Ashik
Semarak budaya berjiwa bangsa,
harum kenanga kembang serumpun;
bersempena kita di Bulan Bahasa,
mari bersama melestari pantun.

SEMPENA dengan Bulan Bahasa 2010, saya ingin mengajak anda menilai apa yang tersurat dan tersirat dalam pantun pusaka lama, yang tidak asing lagi didengar di seluruh nusantara kita.

Pantunnya berkenaan dengan budi ikhlas, budi luhur dan curahan budi yang tidak minta dibalas, lantaran kemurnian hati sanubari.

Pantun budi yang saya maksudkan, berbunyi begini:

Pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Cuba sama-sama kita analisis, pembayang maksud pantun pusaka tadi.

Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti.

Kalau dikatakan masak sebiji, tentulah pisang yang dibawa belayar itu adalah setandan. Tetapi mengapa sebiji saja yang masak, mengapa tidak semua? Pengertiannya begini, mungkin setandan itu diumpamakan seperti masyarakat ramai yang berbagai budi pekerti dan isi hatinya, dan kalau dikatakan pisang emas, tentunya daripada golongan ningrat atau berada.

Jadi, dalam masyarakat yang ramai itu, ada seorang saja yang baik budi hatinya, yang suka berjasa dan mencurahkan bakti tanpa mengharap balas, sehingga diumpamakan seperti sebiji pisang emas yang masak.

'Dibawa belayar' bermaksud pisang emas setandan itu dibawa mengembara jauh ke rantau orang dan diharapkan jauh perjalanan banyak pandangan, jauh mengembara banyak pula pengalaman.

Harap-harap apabila berada di rantau orang, pandai-pandailah membawa diri, yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan. Apa yang disebutkan tadi, adalah pembayang maksud pantun yang ada kaitannya dengan maksud pantun. Itulah pantun bermutu.

Kini maksud pantunnya pula:

Hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Bagi orang yang ditakdir berubah nasib, lantas mewah dan kaya raya harta bertimbun, apa ada pada hutang emas, pasti mudah saja boleh dibayar.

Tetapi hutang budi pula, bagi orang yang benar-benar ikhlas berbudi dan berjasa, tentunya tidak mengharap balas, walaupun si penerima budi itu, mati-matian ingin membalas, namun si pemberi budi itu betul-betul tidak mahu menerimanya, sehinggalah beliau mati atau meninggal dunia.

Jadi si penerima budi tadi akan terus mengenang budi orang sehingga ke mati. Demikian pantun pusaka Pisang Emas Dibawa Belayar, yang mempunyai makna tersirat, lagi bermutu.

Indah menawan halaman kota,
pohon nan rimbun disinar mentari;
setakat ini pertemuan kita,
mohon saya mengundur diri.

Nota: Penulis ialah mantan penyiar dan terkenal dengan gelaran 'Raja Pantun' di radio.

No comments:

Post a Comment