Thursday, August 21, 2014

Memartabat Melayu Jadi Bahasa Dunia

Bahasa

Memartabat Melayu jadi bahasa dunia

  
BILANGAN MENINGKAT: Jumlah penutur bahasa Melayu terus meningkat – sekitar 300 hingga 350 juta kini – dengan kian ramai juga meraih pencapaian cemerlang dalam bidang Pengajian Melayu seperti warga Singapura, Cik Noraini Mohamed Yusope (kanan), yang mendapat kepujian kelas pertama dari Universiti Malaya.
Mohd Raman Daud
DAPATKAH bahasa Melayu menjadi bahasa dunia? Persoalan ini bukanlah baru.
Dalam wawancara akhbar ini baru-baru ini dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor Dr Haji Awang Sariyan, beliau mengutarakan erti penting usaha gigih untuk ‘mengantarabangsakan’ bahasa Melayu.
Umumnya, beliau mengungkapkan usaha di pihak rumpun Melayu yang sekitar 350 juta jiwa dan lobi di peringkat antarabangsa.
Bagi rumpun Melayu, hujahnya, perlu ada visi dan tekad politik terutama di pihak tiga negara – Indonesia, Malaysia dan Brunei – agar bahasa Melayu dapat digunakan di forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia tentulah menuntut usaha menghasilkan sebanyak mungkin bahan berilmu dalam bahasa Melayu dan dasar pemerintah yang sentiasa mengutamakannya sebagai pengantar dalam perhubungan awam dan swasta, di samping terus merakyat dengan rapi.
Apakah bahasa dunia?
Bahasa dunia ialah bahasa yang dituturkan di peringkat antarabangsa dan dipelajari ramai orang sebagai bahasa kedua. Bahasa dunia tidak dicirikan dengan jumlah penuturnya (penutur asli atau penutur bahasa kedua) sahaja, bahkan juga tebaran menurut kawasan (geografi) dan hubungan diplomatik.
Dalam banyak hal, kebanyakan bahasa dunia menonjolkan bahasa asal Eropah, iaitu Inggeris, Perancis dan Sepanyol.
Sebabnya dari segi sejarah, sudah berlaku pengembangan kuasa Eropah menerusi penaklukan dan penjajahan di banyak bahagian dunia.
BAHASA DUNIA
Bahasa yang terluas digunakan di dunia ialah Inggeris, yang dipercayai digunakan lebih 1.8 bilion orang, terutama sejak kehadiran Internet dan media antarabangsa.
Bahasa Arab juga ketara sebagai bahasa dunia kerana sebab sejarah – peluasan Islam yang membawa bersamanya bahasa Arab di seluruh Timur Tengah, utara Afrika dan negara yang mempunyai penduduk Muslim di luar Dunia Arab.
Bahasa Arab memang mempunyai pelbagai dialek, seperti Mesir, namun yang digunakan sebagai standard atau berpiawai ialah fusaha.
Bahasa Cina standard dipanggil Mandarin atau Putonghua (bahasa awam) yang mengganti bahasa Cina Klasik yang sebelum ini digunakan di Timur Jauh sehingga awal abad ke-20 Masihi.
Bahasa Mandarin digunakan di kalangan majoriti China keturunan Han dan bukan Han, juga di diaspora kaum Cina seberang laut, seperti di Malaysia dan Singapura.
Memandangkan penduduk China terbesar di dunia, 1.32 bilion jiwa, maka sekali gus ia mencerminkan kekuatan bahasa Mandarin.
Bahasa Russia digunakan secara meluas dalam empayar Russia dan kemudian di Soviet Union (dikuasai Russia, 1917-1991) dan juga di Eropah Timur.
Walaupun sesudah kejatuhan Soviet, bahasa Russia masih terus digunakan terutama di Russia iaitu negara terbesar dari segi saiznya di dunia (17 juta km persegi).
Bahasa Jerman pula pernah menjadi bahasa pengantar atau ‘lingua franca’ di sebahagian besar benua Eropah, terutama Empayar Rom Kudus dan kemudian Empayar Austro-Hungary. Ia merupakan bahasa kedua terpenting di bahagian Tengah dan Timur Eropah dan di kalangan masyarakat saintifik antarabangsa.
Terdapat bahasa utama yang tidak luas digunakan antara benua tetapi penting daripada bahasa pengantar kerana kaitan sejarah. Ini termasuk bahasa Greek ketika zaman kekuasaan Hellenistik, seperti penaklukan Alexander Yang Agung dan di wilayah Empayar Byzantin.
Bahasa Latin kini dianggap ‘mati’ tetapi pernah menjadi bahasa utama Empayar Rom, bahasa keagamaan bagi mazhab Katolik.
Bahasa Parsi meluas ketika Empayar Parsi berkembang dalam zaman silam dari Mediterranean sehingga utara benua India. Bahkan Parsi pernah digunakan sebagai bahasa pengantar kedua selepas bahasa Arab di banyak negeri majoriti Muslim.
Sanskrit, atau Sanskerta, luas digunakan dalam zaman silam di Asia Selatan (Pakistan, India, Sri Lanka), Asia Tenggara, Asia Tengah. Ia merupakan pengantar bagi agama Hindu dan Buddha. Namun seperti Latin, Sanskerta dianggap bahasa mati kerana jarang dituturkan.
Banyak bahasa utama di benua kecil India boleh dianggap bahasa penting kerana dituturkan ratusan juta orang.
Namun bahasa Hindustan dan Tamil lebih menonjol di benua ini, selain Urdu, yang merupakan bahasa rasmi di Pakistan, yang mempunyai 180 juta penduduk.
Bahasa Bengali (bahasa ibunda Rabrindranath Tagore, orang Asia pertama menerima Hadiah Nobel bagi Sastera) lebih besar bilangan penutur berbanding bahasa Perancis. Terdapat 230 juta penutur bahasa Bengali, iaitu keenam di dunia.
Namun bahasa Perancis sudah lama dianggap bahasa diplomatik sehingga ditancapkan sebagai bahasa dunia.
Bahasa Sepanyol tersebar luas hasil penjajahan Sepanyol di Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan sedikit sebanyak di Filipina.
Terdapat usaha sedar di peringkat antarabangsa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia kerana busana, makanan dan pelbagai aspek budaya Melayu kian diterima di peringkat sejagat.
Memang banyak manfaat apabila bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa dunia. Antara lain, kian banyak orang bukan Melayu atau bukan penutur asli yang menggunakannya sebagai bahasa kedua.
Selanjutnya, karya asal Melayu daripada muzik sehingga buku berisi bahan ilmu dan teknologi akan diterjemah sehingga istilah Melayu turut digunakan dalam bahasa-bahasa dunia lain.
Sekali gus ini bermakna sumbangan rumpun Melayu daripada adab, ilmu dan tamadunnya akan turut mencorak jagat.

* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 1 Jun 2013.
- See more at: http://beritaharian.sg/gah/sastera/memartabat-melayu-jadi-bahasa-dunia#sthash.ngsTAjZU.dpuf

Sejarah Keluarga Diraja

Budaya

SEJARAH KELUARGA DIRAJA

  

Penulis autobiografi ‘Hikayat Abdullah’ ini juga dikenali sebagai Munsyi Abdullah. Buku hasil tangannya ini antara historiografi Melayu yang penting dalam membuat kajian mengenai orang Melayu. – Foto fail
DR. HADIJAH RAHMAT

ISU Rumah Bendahara, atau Gedung Kuning, yang timbul baru-baru ini menarik perhatian umum.
Antara lain, selaku masyarakat Melayu, kita bak didorong supaya memikirkan dan merenung kembali sejarah keluarga diraja yang membina bangunan itu dan kerajaan-kerajaan Melayu di Singapura dan rantau ini yang melatari dan mempengaruhinya.
Terdapat banyak kajian mengenai sejarah kerajaan Melayu Singapura, atau Kerajaan Johor-Riau, oleh pengkaji tempatan seperti Kwa Chong Guan, Manogaran Suppiah, Timothy P. Barnard, Syed Muhd Khairuddin Aljunied dan Imran Tajudeen serta pengkaji luar seperti R.O. Winstedt, Leonard Andaya John Bastin, Haji Buyong Adil, A. Samad Ahmad, Khoo Kay Kim dan John Miksic.
Semua tulisan pengkaji itu memberi tafsiran yang pelbagai tentang warna-warni sejarah kerajaan Melayu Singapura ini.
Namun, apa jua kajian mengenai orang Melayu tidak lengkap tanpa mengambil kira teks historiografi Melayu yang penting seperti Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Johor, Hikayat Pahang, Salasilah Melayu Bugis, Hukum Kanun Melaka dan beberapa syair yang dihasilkan pada abad ke-19.
Sayangnya, teks historiografi Melayu sering diketepikan kerana dianggap tidak saintifik. Padahal, maklumat sejarah yang terdapat di dalamnya amat banyak dan penting dirujuk, apatah lagi jika maklumat ini juga disokong oleh tulisan sejarawan.
Penilaian sejarah perlu seimbang berdasarkan sumber dalaman bagi melihat perspektif masyarakat yang dikaji dan merujuk sumber luar masyarakat tersebut yang biasanya memberikan penilaian yang agak berbeza kerana perbezaan ideologi atau budaya.
Malangnya, pendekatan pelbagai sumber ini masih kurang dilakukan semasa mengkaji sejarah rumpun Melayu kerana tidak ramai yang berminat dan mempunyai keahlian membaca dan mentafsir teks historiografi yang menggunakan bahasa klasik dan gaya penulisan yang tidak mudah difahami.
SEBELUM STAMFORD RAFFLES
Sebelum kedatangan Stamford Raffles pada 1819, negeri Singapura berada di bawah pemerintahan Kerajaan Johor-Pahang-Riau dan Lingga.
Kerajaan ini terbentuk selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511 sehingga menyebabkan raja Melaka, Sultan Mahmud, melarikan diri ke Johor dan meneruskan pemerintahannya di Johor Lama (15111528). Keturunan Sultan Melaka yang terakhir memerintah ialah Sultan Mahmud Syah II – yang lebih dikenali sebagai Marhum Mangkat Dijulang – telah dibunuh pada 1699 dan dimakamkan di Kota Tinggi, Johor.
Sultan Mahmud Syah II tiada zuriat. Maka itu, kerajaannya diambil alih oleh Bendahara Pahang, Tun Abdul Jalil, yang bergelar Sultan Abdul Jalil IV dari 1699 hingga 1718.
Wilayah takluk Kerajaan Johor ini amat luas merangkumi Pahang, Johor, Singapura, kepulauan Riau dan Lingga. Sultan Abdul Jalil bersemayam di tepi Sungai Johor di tempat bernama Panchur.
Hanya dalam pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812), Raja Johor-Pahang-Riau-Lingga bersemayam di Pulau Lingga (Daik). Sultan dibantu oleh Yamtuan Muda, iaitu Daing Kemboja, yang bersemayam di Pulau Riau bersama-sama Raja Haji sebagai penolongnya.
WARISAN MELAKA
Kerajaan Melaka mempunyai struktur politik yang tersendiri yang dijelaskan oleh kitab Undang-Undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka (HKM) seperti berikut:
Raja merupakan “tunggak pemerintahan sesebuah negara yang menjadi ketua dari segi pentabiran tetapi ‘memegang nyawa’ setiap rakyat di bawahnya”, menurut Abu Hassan Sham dan Mariyam Salim dalam buku Sastera Undang-Undang (DBP, 1995).
Raja melantik para pembesar di bawahnya. Empat pembesar utama ialah Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Syahbandar. HKM juga menetapkan:
“Adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan bendahara, kedua menjadikan temenggung, ketiga menjadikan penghulu bendahari, keempat menjadikan syahbandar, maka terpeliharalah segala raja-raja itu dengan segala rakyatnya.”
 Bendahara: Bendahara ialah tokoh kedua penting selepas raja. HKM menyatakan bahawa peranan Bendahara adalah:
“Adapun hukum yang diserahkan kepada bendahara itu seperti hukum orang berjabatan dan segala tuan-tuan dan segala sida-sida dan segala anak orang besar-besar.”
Sejarah Melayu menjelaskan lagi peranan Bendahara melalui tokoh Bendahara Paduka Raja dan Bendahara Seri Maharaja. Mereka bukan sahaja menjadi penasihat raja, mengetuai pentadbiran dan memangku jawatan raja jika raja tiada dalam negeri, malah kedua-dua Bendahara ini juga mengetuai tentera Melaka menyerang negeri-negeri luar atau mempertahankan Melaka daripada serangan musuh. Dalam daerah petempatan dan perintahnya, Bendahara berkuasa penuh. Ia boleh menjatuhkan hukuman bunuh tanpa memberitahu raja. Bendahara boleh juga dianggap raja jika raja masih kecil atau jika raja tiada dalam negeri.
 Temenggung: Selepas Bendahara, Temenggung orang ketiga penting dan berkuasa. Temenggung boleh dianggap sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri, termasuk menyiasat dan menangkap orang jahat. Semasa bertugas Temenggung diberi kuasa membunuh seseorang tanpa menunggu titah raja.
 Penghulu Bendahari: Penghulu Bendahari menjaga hal kewangan dan harta benda negara di samping mengurus persiapan logistik majlis atau kegiatan di istana.
 Syahbandar: Syahbandar bertugas menjaga segala hasil-mahsul dan cukai yang masuk melalui pelabuhan. Syahbandar juga menjaga segala pedagang yang ada di pelabuhan negeri. Beliau juga diberi kuasa untuk menghukum atau membunuh seseorang yang tidak menurut perintahnya terutama pedagang yang sedang membawa perahu atau kapal.
Singapura masih dalam daerah takluk Kerajaan Melaka dalam abad ke-15 ini dan pembesar kerajaan yang ditugaskan memegang perintah di Singapura, menurut Sejarah Melayu, ialah Seri Bija Diraja, atau namanya Tun Kerutup, hujah sejarawan Buyong Adil.
 Pembesar lain: Selain empat pembesar ini, terdapat juga jawatan lain seperti Laksamana. Kerajaan-kerajaan Melayu yang timbul kemudian seperti Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan meneruskan struktur asas politik yang diamalkan dalam Kerajaan Melaka ini. Namun, kerajaan-kerajaan tersebut turut memperkenalkan berbagai-bagai jawatan baru sesuai dengan konteks atau keperluan politik setempat (local variations).
Kerajaan Melayu Johor-PahangRiau-Lingga masih bersandarkan sistem politik yang dilaksanakan di Melaka, tetapi membuat perubahan dari segi struktur dengan memperkenalkan status/jawatan dan gelaran baru untuk pemimpin politik dalam daerah takluk kerajaannya.
Sistem empat pembesar yang memegang kuasa di empat daerah takluk masing-masing telah diperkenalkan:
1. Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar atau Raja yang bersemayam di Lingga.
2. Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda atau Raja Muda yang bersemayam di Riau.
3. Bendahara yang memegang Pahang.
4. Temenggung yang memegang Singapura dan Johor.
PENGARUH BUGIS
Status Yamtuan Muda atau Raja Muda diadakan khas untuk raja-raja Bugis lima saudara (Upu Daeng Perani, Upu Daeng Menambun, Upu Daeng Merewah, Upu Daeng Celak dan Upu Daeng Kemasi) dan keturunannya yang membantu Sultan mengalahkan Raja Siak yang telah merampas takhta kerajaan.
Jawatan ini adalah sebagai suatu penghargaan dan tanda “sumpah setia” Raja Melayu terhadap jasa bakti pemimpin Bugis ini yang telah membantu Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah dan keluarganya.
Upu Daing Merewah atau bergelar Kelana Jaya Putera adalah Raja Muda Bugis atau Yamtuan Muda Riau yang pertama. Ini bererti telah berlaku perkongsian kuasa antara raja Melayu dengan raja Bugis dalam Kerajaan Johor-Riau.
Hubungan politik ini dikukuhkan lagi dengan jalinan hubungan kekeluargaan apabila berlaku beberapa ikatan perkahwinan antara golongan diraja Melayu dengan raja-raja Bugis itu.
Kedudukan mulia raja dan tiga pembesar Melayu-Bugis ini dijelaskan dalam kitab Tawarikh al-Wusta yang disalin dan disusun oleh Raja Khalid ibni Raja Hassan al-Haji, cucu Raja Ali Haji, menurut sejarawan A. Samad Ahmad.
Kerajaan Melayu Johor-Riau ini mula tergugat pada awal abad ke-19 akibat perpecahan dalaman serta tewas dalam genggaman British dan Belanda – dua kuasa Eropah yang bersaing untuk mencapai matlamat ekonomi dan muslihat politik penjajahan masing-masing di Alam Melayu.
 Nota: Penulis Profesor Madya dan Timbalan Ketua, Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang.

* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 2 Jun 2013

Monday, January 20, 2014

jatuh dan ajar

Jatuh dan Ajar

Dec 30, 2013 | 6:00AM -- hermes
Cuba teliti ayat berikut:
Pesalah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah.
Tepatkah ayat tadi?
Jawapannya: Kesalahan ayat tersebut adalah pada katadijatuhkan.
Ayat tersebut jika diaktifkan akan menjadi:
Hakim menjatuhkan pesalah itu hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.
Ayat ini bermakna bahawa yang jatuh ialah pesalah, bukannya hukuman gantung sampai mati.
Sepatutnya, yang jatuh ialah hukuman dan pesalah yang menerimanya. Ayat tersebut sepatutnya:
(a) Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah.
(b) Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan oleh hakim kepada pesalah itu kerana mengedar dadah.
Selanjutnya, cuba teliti ayat yang menggunakan kekata kunci 'ajar':
(a)Cikgu Ali mengajarkan Sejarah di Sekolah Menengah Bedok.
(b) Cikgu Ali mengajar Sejarah di Sekolah Menengah Bedok.
Antara ayat (a) dengan ayat (b), yang manakah yang betul?
Jawapan: Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM (2002:7), kata mengajarkan bermakna memberikan sesuatu sebagai pelajaran kepada seseorang.
Kata mengajar pula (Kamus Dewan, 1994 : 16) bermakna:
1. menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dsb.) kepada orang lain, mendidik, melatih, memberikan petunjuk-petunjuk kepada;
2. membaiki kelakuan dengan memberi nasihat dsb., mendidik;
3. membuat seseorang melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman dsb. yang telah diperolehnya;
4. memarahi (memukul seseorang) supaya jera (tidak melakukan sesuatu).
Jadi, jika dilihat pada makna, ayat (a) adalah paling tepat kerana kata mengajar seharusnya diikuti objek hidup (manusia).
Jadi, ayat (b) mengikut makna 1. dan 2. akan memberikan makna Cikgu Ali mendidik atau melatih Sejarah, sedangkan Sejarah bukannya manusia (yang boleh dididik).
Dipadankan daripada Pedoman Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia

raungan pena selepas perpisahan

Raungan pena selepas perpisahan

Dec 30, 2013 | 6:00AM -- hermes
PERPISAHAN Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 menimbulkan trauma kepada orang Melayu, terutama di Singapura.
Antara penulis besar yang memaparkan kesedihan itu ialah Haron Mohd Amin (Harun Aminurashid atau Pak Har, 1906-1986) yang ketika perpisahan diumumkan sedang berada di Kampung Daling Besar, Kuantan, Pahang.
Seperti ramai orang dewasa ketika itu, beliau tidak dapat tidur memikirkan kesan politik dan penakatan selepas itu.
Bumi Melayu, menurut Pak Har, ibarat pohon kelapa yang banyak kegunaannya. Jadi, apabila perpisahan itu berlaku, Singapura yang majmuk dan dihuni orang Melayu yang kecil bak mumbang kelapa yang jatuh ke bumi selepas dimakan tupai.
Demikian tulisnya dalam buku Mengesan Jejak Pelayaran Munshi Abdullah (1966) yang mengungkap rasa kekosongan jiwa Melayu.
Walaupun Pak Har diangkat sebagai antara tokoh besar kemerdekaan di Malaya, beliau memilih untuk terus tinggal di tanah airnya Singapura.
Sehingga kini pencapaian penulisannya, terutama buku novel sejarah, masih belum dapat diraih mana-mana penulis Melayu.
Menurut Dr Hadijah, sekurang-kurangnya trauma tadi turut dipaparkan dalam dua buah novel iaitu Batas Langit (1996) karya Mohd Latif Mohd dan Satu Bumi oleh Isa Kamari.
Raungan pena Mohd Latif pada sebuah kampung di Geylang Road menjelang merdeka.
Watak utama ialah Adi, anak yatim (ayahnya penjudi yang akhirnya mati). Watak Adi yang merupakan lulusan sekolah Melayu dan Abang Dollah yang lulus aliran Inggeris (Senior Cambridge) mencerminkan kedewasaan berfikir terpapar dalam novel ini yang mengupas keperihan hidup sesudah perpisahan, kemiskinan dan keterabaian serta pelbagai masalah sosial.
Pohon jejawi (sejenis pohon pasilan iaitu pokok yang tumpang hidup di atas pokok lain dan lama-kelamaan membesar dan menggantikan pokok yang ditumpangi) dipaparkan secara simbolik.
Adi perlu pindah daripada kampungnya yang memberi jalan kepada pembangunan bandar. Dia mengukir kekata 'Malaysia' pada pokok itu yang tidak dapat dipeluknya kerana terlalu besar.
Selain novel tadi, Mohd Latif juga menyampaikan keperihan hatinya dalam melihat perbezaan orang Melayu di Singapura dan negara lain lewat puisinya yang terkenal, Melayuku Melayumu.
Isa Kamari memaparkan watak Irman, seorang jurutera, menemui Yassir, seorang penggali di Kuburan Bidadari yang terjejas oleh pembangunan bandar. Kubur neneknya, Aminah (@Swee Mei) akan dipindahkan.
Yassir yang berasal dari Nusa Utara (Malaya) menceritakan kisah perjuangannya dalam siasah di Nusa Selatan (Singapura).
Selepas dikecewakan Parti Keris, Yassir beralih ke Parti Angkatan Baru, tetapi dikecewakan lagi. Menurut Dr Hadijah, seimbas lalu watak Yassir seolah-olah mencerminkan almarhum Dr Yaacob Mohammed (1925-1989).
Aminah merupakan anak angkat Cina kepada Pak Durhakim. Dia rajin dan sanggup menyamar menjadi kuli wanita untuk mencari rezeki. Namun Aminah dibenci kaumnya sendiri - diperkosa sampai membawa mati ketika rusuhan pada perarakan Maulud Nabi. Durhakim juga terkorban.
Tinggallah anaknya Ilham (bapa Irman) dalam kedukaan tetapi dengan jiwa besar untuk membangunkan diri dan keluarganya.
Menurut Dr Hadijah, nada pesimisme merantai penulisan sastera Melayu di Singapura buat beberapa lama akibat kesan perpisahan.
Namun nada ini lebih pada generasi penulis aliran Melayu sebelum 1965 seperti Mohd Latif yang berasa tertipu dan tersingkir.
Sesudah detik itu, apabila aliran Melayu kian pupus, generasi penulis Melayu mula dididik dalam aliran Inggeris dan mula menampakkan tekad untuk bangkit membina jati diri.

Bangun Jatuh Sastera Watan

Bangun jatuh sastera watan

Dec 30, 2013 | 6:00AM -- hermes
SEKITAR 15 tahun sesudah perpisahan dengan Malaysia pada 1965, persuratan Melayu di Singapura telah bangkit kembali dengan bertenaga.
Kebangkitan itu berlaku selepas melalui trauma perpisahan dan mengatasi rasa pesimisme.
Demikian menurut Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, 56 tahun, ketua Unit Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Kebangsaan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam makalah terpanjang (42 halaman) pada Persidangan Serantau Kesusasteraan Melayu Malaysia-Singapura Dalam Dimensi Pasca 1965.
Makalahnya merupakan ucap utama kedua pada sidang sehari 11 Disember lalu di Universiti Sains Malaysia (USM). Kesemuanya 17 makalah dibentang termasuk dua ucap utama.
"Rasa kehilangan adalah kesan psikologi yang ditimbulkan oleh perkembangan politik ini, yang telah mempengaruhi isi, corak dan nada penulisan yang dihasilkan selepas titik bersejarah 9 Ogos 1965," katanya dalam pembentangan pandang dengar yang menarik di Dewan Persidangan USM.
NGAUM SINGA
Sebelum perpisahan dengan Malaysia, kata Dr Hadijah, Singapura atau kota Singa melalui lima tahap perkembangan:
  • Zaman klasik (abad ke-13 sehingga ke-14 Masihi);
  • Zaman penjajahan British (1819-1900);
  • Zaman sebelum Perang Dunia II (1900-1942);
  • Zaman selepas Perang Dunia II (1945 sehingga kini); dan
  • Zaman kemerdekaan.
Dari segi zaman klasik, Dr Hadijah menyatakan berdasarkan dapatan almarhum Dr Teuku Iskandar (ketua pasukan penyusun Kamus Dewan), Singapura pernah menjadi pusat tamadun di Alam Melayu, termasuk kegiatan sastera.
Raja kelima Singapura, Parameswara, melarikan diri selepas Singapura diserang tentera Majapahit, dan telah membangun Melaka sebagai kesultanan baru dalam abad ke-15.
Namun Singapura masih penting sebagai antara wilayah empayar Melaka, menurut Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Sesudah Melaka tewas di tangan Portugis, nama Singapura terus lenyap dan hanya timbul semula 400 tahun kemudian - apabila Kompeni Hindia Timur British cuba mencari tempat sesuai untuk dijadikan pelabuhan demi menyaingi kuasa Belanda di Nusantara.
Dalam zaman British, Singapura muncul kembali sebagai pusat percetakan bagi Nusantara. Ini bermula dengan usaha rintisan dan kegigihan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang disifatkan oleh Dr Hadijah sebagai 'perakam sejarah' dan penyumbang penting kepada pemodenan persuratan Melayu.
Kehadiran cendekiawan Melayu telah mendorong Singapura menjadi pusat penerbitan akhbar sehingga membawa kepada industri perfileman dan muzik.
Menurut sarjana Australia, mendiang Dr Ian Proudfoot, Singapura merupakan pusat penerbitan Islam Asia Tenggara terutama antara 1860 sehingga 1920 kerana pulau ini merupakan pusat utama pentadbiran British, pelabuhan bebas, pusat persinggahan jemaah haji dan mempunyai dasar politik yang longgar. Namun Singapura menghadapi persaingan buku import dari Bombay, Makkah, Kahirah dan Istanbul.
Akhbar Jawi Peranakan (1876), antara akhbar Melayu terawal di dunia, telah terbit di Singapura. Antara 1876 sehingga 1941, terdapat 147 akhbar.
Para penerbit akhbar terdiri daripada India Peranakan dan Arab serta Baba Peranakan yang menerbitkan akhbar, seperti akhbar Bintang Timor di Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Kebanyakan akhbar tertumpu di Singapura (68 buah) dan Pulau Pinang (36 buah).
Singapura telah melahirkan 'Bapa Kewartawanan Melayu' iaitu Mohd Eunos Abdullah, yang mengasuh akhbar Utusan Melayu pada 1907.
Eunos merupakan pemimpin masyarakat, tokoh Melayu pertama dalam Dewan Perundangan Singapura dan pengasas serta ketua Kesatuan Melayu Singapura yang ditubuhkan pada 1926.
AKHBAR JIWA MELAYU
Namun impian untuk melahirkan akhbar dengan suara Melayu yang tulen bermula apabila Onn bin Jaafar (pengasas Umno) menjadi editor Warta Melayu (1930-1941).
Akhbar ini kemudian diambil alih para anggota Kesatuan Melayu Singapura dan dinamakan Utusan Melayu pada 1939 (sempena akhbar Melayu yang diasuh Mohd Eunos Abdullah). Utusan pernah diuruskan Yusof Ishak yang kemudian menjadi Yang Dipertuan Negara dan Presiden pertama Singapura.
Ketika zaman Pendudukan Jepun (Perang Dunia II, 1942-45), Malaya dan Sumatera disatukan tentera Jepun di bawah satu pentadbiran. Maka terbentuk Berita Malai (hasil gabungan Warta Malaya dan Utusan Melayu).
Semangat kebangsaan Melayu meningkat meskipun dalam zaman kekejaman Jepun. Ketika ini, sajak Melayu dirintis Masuri SN lewat karyanya 'Bunga Sakura' dan 'Rosku Puja'.
Sesudah British kembali, kegigihan meraih kemerdekaan berterusan. Asas '50 ditubuhkan, menurut Dr Hadijah, yang meniupkan semangat kesedaran luar biasa menerusi bahasa dan persuratan.
Malaya merdeka menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan diikuti dengan gagasan Malaysia. Bahasa Melayu menjadi kian penting dalam dasar pemerintah sendiri Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menyertai Malaysia. Ini menjadi kenyataan tetapi dalam tempoh singkat 1963-65.
Dr Hadijah menampilkan semangat Malaysia dalam lagu 'Malaysia Baru' gubahan Kassim Masdor dengan lirik Omar Rojik serta didendangkan Aziz Jaafar dalam filem Kasih Tanpa Sayang (1963).
Namun segala harapan untuk percantuman tadi berkecai bak terpapar dalam lagu 'Sumbangsih' gubahan Zainal S Abbas yang dicipta khas untuk drama karya Rahman B dengan nama yang sama.
Arahan Bani Buang, drama ini dipentaskan di Panggung Victoria beberapa bulan selepas perpisahan (akhir 1965).
Bahagian kedua minggu depan: Tekad kebangkitan sastera Melayu Singapura
Category: 
Sastera [1]
Author: 
Mohd Raman Daud

usaha Spura paut sastera serumpun

Usaha Singapura paut sastera serumpun

Jan 06, 2014 | 6:00AM -- hermes
IKATAN sastera antara Singapura dengan Malaysia masih berterusan walaupun sesudah perpisahan kerana adanya lima jalur perhubungan.
Fenomena ini bak didambakan almarhum Sasterawan Negara Malaysia, Dr Usman Awang (1929-2001), antara anggota penting Asas '50:
"Politik boleh memisahkan kita, peta sempadan boleh memagari kita, pasport boleh menahan keluar masuk negara, tetapi kebudayaan akan terus menyatukan kita. Bahasa dan sastera akan melampaui semua ini kerana ia adalah pengucapan batin yang mempertemukan hati nurani rakyat negara-negara kawasan Nusantara."
Menurut Dr Hadijah Rahmat, ramalan Dr Usman (eseinya pada Dewan Sastera, Januari 1978, berjudul 'Denyut Nadi Pertemuan Nusantara I: Tanjong Katong Airnya Tidak Biru') telah berlaku.
"Jalinan sastera Singapura bukan saja dengan Malaysia, bahkan seluruh Nusantara," hujah Dr Hadijah yang menelusuri 50 tahun ikatan tadi. Terdapat lima jalur jalinan:
  • Kegiatan Pertubuhan
Asas '50 telah merintis Pertemuan Sasterawan Nusantara pada 1977, diikuti Persatuan Kemuning mengadakan Pesta Drama Tiga Negara Asean (1980) dan Pesta Drama Nusantara (1982); Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) menganjurkan Pertemuan Guru Nusantara (1985); dan Persatuan Wartawan Melayu Singapura pula mengadakan Pertemuan Wartawan Nusantara pada 1988. Kini hanya Asas '50 dan KGMS saja meneruskan jalinan tadi dengan badan serantau seperti Gabungan Penulisan Nasional Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim.
  • Wadah Penerbitan
Karya-karya penulis Singapura mendapat tempat di media cetak Malaysia terutama Dewan Sastera. Malah banyak karya penulis Singapura seperti Isa Kamari dan Johar Buang, mendapat pasaran di sana. Suratman Markasan telah menyusun buku 'Cerpen Nusantara Mutakhir' dan Rohani Din pula mengumpulkan puisi penulis muda tiga negara, 'Bebas Melata Melantun Kasih' dan 'Bebas Melata Mesra Serumpun'.
  • Sistem Pendidikan
Teks sastera (puisi, cerpen dan novel) Malaysia (seperti novel Salina) dan Indonesia (novel Atheis) dikenali Singapura pertama-tama lewat subjek sastera di aliran Melayu (terhenti dalam lewat 1970-an).
Hanya dalam 2013, barulah Kementerian Pendidikan Singapura menyediakan karya sastera penulis Singapura bagi mata pelajaran sastera iaitu Tekad dan Begitulah Kata-kata.
Program khas kesusasteraan (EMAS dan MLEP) telah mengukuhkan jalinan lewat darmawisata pelajar/guru Singapura ke Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Di peringkat universiti pula, ilmuwan dan sasterawan Indonesia seperti Dr Budi Dharma dan dari Malaysia seperti Mana Sikana (Dr Abdul Rahman Napiah) pernah mengajar di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura.
  • Wadah Pemerintah
Projek sastera Asean turut melibatkan penulis Singapura. Adanya Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) kurnia kerajaan Thailand merapatkan lagi hubungan sastera serantau. Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC) bekerjasama dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dari segi penerbitan karya penulis dua negara.
Kini Majlis Bahasa Melayu Singapura pula dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia meneroka persidangan sastera serantau, bermula di Pulau Pinang.
  • Akar Karya Melayu Klasik
Para penulis Singapura, tegas Dr Hadijah, tidak melupakan akar budaya yang dikongsi para penulis serumpun lewat karya agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Abdullah dan sebagainya.
Dr Hadijah tidak menolak kemungkinan ikatan ini akan lebih meluas menerusi media sosial yang menampilkan karya sastera penulis Nusantara.
Category: 
Sastera [1]
Author: 
Mohd Raman Daud

Dari terpinggir ke tekad besar

Dari terpinggir ke tekad besar

Jan 06, 2014 | 6:00AM -- hermes
SELEPAS perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, terdapat tiga tahap suasana jiwa dan pemikiran dalam sastera Melayu di Singapura.
Demikian menurut Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat dalam ucapan utama keduanya pada Persidangan Serantau Kesusasteraan Melayu Malaysia-Singapura Dalam Dimensi Pasca '65 di Pulau Pinang pada 11 Disember lalu.
  • Tahap Kehilangan
Peringkat ini dirasai dalam 15 tahun (1965-1980) - suatu tempoh genting kerana orang Melayu berasa pergolakan politik telah meminggirkan mereka. Rasa kehilangan bersalut rasa sedih, pedih, marah dan luka.
Dalam pada itu berlaku perubahan besar pada rupa darat Singapura - kampung perlu dipugar untuk memberi jalan kepada pembangunan negara. Para penulis tempoh ini termasuklah Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS), Masuri S. N., Suratman Markasan, Noor S. I. dan A. Ghani Hamid - kesemuanya penulis veteran yang pernah menerajui Asas '50.
Misalnya, sajak Suratman, 'Jalan Permulaan':
Laut tempatku menangkap ikan
Bukit tempatku mencari rambutan
sudah menghutan dilanda batu-bata
Pak Lasim tidak bisa jadi penghulu
pulaunya sudah dicabut dari peta kepalanya
anak buahnya sudah terdampar
di batu-bata dan pasir-masir hangat
Terdapat nada pesimisme dalam karyanya akibat rasa kehilangan tadi. Hal ini telah mendorong Masuri S. N., penyair besar Singapura, menyeru dan menasihatkan para penulis Singapura agar bangkit dan menyalurkan pandangan yang membina seperti terdapat dalam esei sasteranya dan juga sajaknya berjudul 'Kita Tidak Bakal Balik' :
Ke mana kita
Dan segala anak cucu segala
Kita bakal didakwa
Pewaris putus asa
Yang memuliakan semangat papa
Dalam pada itu, Asas '50 juga disaingi dengan kehadiran kumpulan penulis baru seperti Grup Gelorasa, Kupuja dan Kamus yang menunjukkan semangat besar untuk merubah keadaan.
  • Tahap Pencarian
Dalam peringkat selanjutnya, terpapar pergelutan antara para penulis yang sinis dan pesimis dengan para penulis yang ingin menciptakan zaman baru dalam persuratan Melayu.
Sajak 'Melayuku, Melayumu' karya Mohd Latiff Mohd yang terbit di Dewan Sastera pada Mac, 1983 masih lagi menceritakan rasa kesal:
Melayumu adalah bulan purnama
harum cempaka wangi cendana
Melayuku adalah pelamin yang patah
pusara yang legam
dan malam yang pasrah
Dibandingkan pula dengan sajak penuh semangat Hadijah Rahmat juga pada tahun yang sama berjudul di 'Tengah Alam' (Berita Minggu, 8 Mei 1983):
Bagaimana dan bila
manusia seperti aku dari bangsa kerdil
di tengah negara kecil
akan lebih bererti dan disedari di peta dunia
dapat mengukir sebuah bekas di jalanan sejarah
menggantung sebutir kejora di dada cakerawala
sambil mengecap keredhaan Allah!
  • Tahap Pembinaan Semula
Sejak tahun 2000 sehingga kini, persuratan Melayu di Singapura mula diisi karya penulis baru yang lazimnya berpendidikan aliran Inggeris. Mereka bertekad besar dan membawa nafas baru dalam mengungkapkan fikir dan rasa tanpa banyak memikul 'beban sejarah' yang ditanggung generasi awal.
Suara mereka terpapar dalam karya-karya Alfian Saat, Rafaat Hamzah, Alin Mosbit, Noor Hasnah Adam, Noridah Kamari dan banyak lagi.
Menurut Dr Hadijah, sajak Noor Hasnah berjudul 'Pasak Temasik' memaparkan usaha untuk melepaskan beban sejarah itu dan mengukir suatu yang baharu:
Biar beratus tahun berlalu
Binatang itu tak pernah beradu
Pasak itu hanya membisu
Istana itu telah lama tak berlampu
Dan pulau ini masih dara bersemu.
Apakah laluan selanjutnya bagi persuratan Melayu di Singapura?
Menurut Dr Hadijah, ketua Unit Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kesinambungan akan mencirikan sastera Melayu di Singapura.
Ikatan serumpun turut mewarnai sastera Melayu Singapura, mentelah sudah ada kerjasama di peringkat serantau seperti Majlis Sastera Asia Tenggara.
Dalam ulasannya pula, Profesor Dr Md Salleh Yaapar yakin keadaan tertekan yang dialami Melayu di Singapura telah mencetuskan pelbagai idea kreatif untuk bangkit lagi.
"Tidak dapat dinafikan kerana keadaan terdesak, orang Melayu Singapura yang merintis usaha mengadakan kegiatan bersifat Nusantara dari pertemuan sasterawan sehingga guru. Inilah kelebihan pada diri mereka yang tidak mengaku kalah oleh suasana yang mencabar selepas perpisahan."
Majlis Bahasa Melayu Singapura akan menjadi tuan rumah persidangan selanjutnya yang bakal disokong Universiti Sains Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Category: 
Sastera [1]
Author: 
Mohd Raman Daud