Showing posts with label beijing. Show all posts
Showing posts with label beijing. Show all posts

Sunday, October 16, 2011

Bahasa Melayu penting untuk negara China







PROFESOR WU ZHONGYU: Menganggap perjuangannya belum selesai untuk mengembangkan pengajian bahasa Melayu di China. Menurutnya, martabat bahasa Melayu mesti dijaga dan ia tidak sekali-kali harus dipandang rendah. - Foto MLCS

Mudah cetak
E-mel

16 Okt 2011

SINGAPURA

Bahasa Melayu penting untuk negara China

Profesor : China mesti galak pengajaran bahasa Melayu sebagai satu langkah bersahabat dengan Dunia Melayu


BELIAU begitu fasih bertutur dalam bahasa Melayu, dengan telornya yang benar- benar seperti orang Melayu kita.

Selama hampir dua jam berceramah , beliau hanya merujuk kepada nota sekali dua sahaja.

Apa yang mengagumkan ialah beliau merupakan seorang warga China yang mengajar bahasa Melayu di negaranya.

Profesor Wu Zhongyu merupakan antara perintis dalam penubuhan Jurusan Bahasa Melayu di Fakulti Bahasa-Bahasa Asia-Afrika di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China.

Dalam ceramahnya yang berjudul Mengembangkan Bahasa Melayu Di Negara China: Perjuanganku Belum Selesai di sesi Ceramah Arif Budiman anjuran Pusat Budaya Melayu Singapura (MLCS) semalam, Profesor Wu menegaskan bahawa penekanan kepada bahasa Inggeris tidak bermakna kita harus memandang rendah kepada bahasa Melayu.

'Bahasa Inggeris menjadi bahasa asing yang penting. Dalam kegiatan ekonomi antarabangsa, kebanyakan negara menggunakan bahasa Inggeris,' kata Profesor Wu.

'China mahu mewujudkan dunia harmoni dan tentunya China mahu bersahabat dengan dunia Melayu, maka itu China mesti mementingkan pengajaran bahasa Melayu.

'Kita perlu menguasai bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan orang asing tapi janganlah lupa pelihara martabat bahasa Melayu dan jangan sekali-kali memandang rendah pada bahasa Melayu.'

Menurutnya lagi, semakin ramai pelajar China yang mengikuti Jurusan Bahasa Melayu di negara itu sejak awal tahun 1960-an lagi.

Mereka biasanya menguasai tiga bahasa - bahasa Cina, Inggeris dan Melayu.

Meskipun bukan mudah untuk menguasai tiga bahasa, beliau berkata pelajar berkenaan berani menghadapi cabaran zaman.

Profesor Wu sendiri memilih untuk belajar bahasa Indonesia di Universiti Peking pada tahun 1956 setelah tertarik pada muzik Melayu dan Indonesia.

Selepas tamat pengajiannya, beliau dilantik sebagai penolong dalam Jurusan Bahasa Melayu di bawah Fakulti Bahasa-Bahasa Asia- Afrika di BFSU yang ditubuhkan pada 1961.

Namun, apabila pakar bahasa Melayu dari Malaysia tidak tiba untuk mengajar, Profesor Wu diberi tugas menyusun bahan pengajarannya sendiri dan mengambil alih sebagai pensyarah.

Menyingkap kembali penglibatan awalnya dalam pengajaran bahasa Melayu, beliau berkata:

'Saya tiada bahan rujukan, kamus, pengalaman mengajar, guru yang terlatih dalam bahasa Melayu, dan saya tidak tahu apa bezanya antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia.

'Mulanya, banyak soalan pelajar yang tidak dapat saya jawab. Apabila murid saya bertanya apa makna 'bunga telur', saya jawab ia sejenis bunga yang bentuknya seperti telur.'

Namun, beliau gigih menghadapi cabaran-cabaran itu dan tidak berhenti berusaha dalam perjuangannya mengembangkan bahasa Melayu di China.

'Hari ini, perjuangan saya bukan sahaja belum selesai, malah ia tidak akan selesai,' ujar beliau, yang sudah lebih 50 tahun berjuang untuk mengembangkan bahasa Melayu di China.

Menurut Profesor Wu, apabila beliau melawat Malaysia sebagai jurubahasa pada 1987, beliau memanfaatkan peluang itu sepenuhnya.

'Saya merakamkan siaran Radio Malaysia supaya dijadikan bahan pendengaran. Saya menyimpan bahan-bahan yang ditulis dalam bahasa Melayu, bahkan sekeping pembungkus gula-gula pun dikumpulkan,' katanya.

Usaha-usaha beliau seterusnya dalam memperjuangkan bahasa Melayu di China, antara lain, termasuk mengundang sarjana-sarjana bahasa Melayu dari pelbagai negara menyertai seminar antarabangsa bahasa Melayu di China.

Beliau juga giat berkongsi ilmu dan kepakarannya dalam jurusan-jurusan bahasa Melayu yang kian berkembang di beberapa universiti lain di China.

'Kalau di China cuma ada jurusan bahasa Melayu di BFSU sahaja, pelajar kami akan mudah berasa puas hati dan fikiran mereka akan menjadi cetek seperti katak di bawah tempurung,' ujar Profesor Wu lagi.

Thursday, January 20, 2011

cinta bahasa bukan satu paksaan

19 Jan 2011

EKSTRA!

Cinta bahasa bukan satu paksaan

Pelajar Beijing didedahkan dengan seberapa banyak sekitaran bahasa Melayu

Oleh
Roslie Sidik
RASA cinta pada bahasa tidak boleh dipaksa. Tetapi benih-benih cinta pada bahasa boleh disemai dengan memperlihatkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Baru-baru ini rombongan seramai 24 orang guru Singapura, yang berperanan sebagai penggerak utama bahasa Melayu di sekolah masing-masing, telah menyertai Program Penyerapan Bahasa dan Budaya ke Beijing anjuran Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM).

Program lawatan Disember lalu itu mendapat sokongan dana daripada Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Umumnya, kami begitu kagum dengan kesungguhan para pelajar di sana mempelajari bahasa Melayu dengan berpantun, bersajak, berlakon dan menyanyi.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan para pelajar lebih berminat mempelajari bahasa Melayu, bahkan sekali gus membantu mereka agar tidak berasa canggung dalam pengucapan bahasa mereka.

Bahasa itu pertuturan dan bukan tulisan semata.

Para pelajar di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) disuntik mengenai kesedaran ini sejak awal lagi.

Pembelajaran bahasa Melayu di sana tidak berakhir di bilik kuliah, para pelajar akan terus mempelajarinya dengan saling berinteraksi menggunakan bahasa Melayu di luar kelas.

Mereka gigih berlatih bertutur bahasa Melayu bersama teman-teman di kampus khususnya yang datang dari Malaysia. Satu kaedah yang menarik, mereka juga menghubungi rakan-rakan mereka dengan menggunakan SMS dalam bahasa Melayu.

Dalam satu ceramahnya yang dihadiri oleh para guru Singapura di sana, Profesor Dr Awang Sariyan, Penyandang Kerusi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), sempat menekankan bahawa strategi pengajaran yang hanya menekankan kemahiran linguistik akan menyebabkan bahasa kehilangan fungsi sosialnya.

Untuk memperoleh penguasaan bahasa, kemahiran linguistik dan komunikatif yang seimbang perlu dicapai.

Pembelajaran bahasa Melayu tidak harus dilihat sebagai satu pencapaian akademik di sekolah ataupun untuk sekadar memiliki satu bidang ilmu pengetahuan sahaja tetapi daripada sudut realitinya tidak akan digunakan langsung.

Sudah sampai masanya, kita tidak sekadar melaungkan slogan mencintai bahasa.

Kita perlu benar-benar berusaha untuk terus-menerus mencari ruang dan peluang agar para pelajar benar-benar diberikan kesempatan berbahasa dengan sebaiknya.

Kehidupan di Singapura sering membuat kita tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu.

Para guru juga tidak terkecuali melakukan kesilapan ini apabila berhadapan dengan pelajar yang bukan Melayu ataupun pelajar Melayu yang lebih fasih berbahasa Inggeris. Sering kali demi menjimatkan masa, guru bahasa akan tergesa-gesa menerangkan makna sesuatu perkataan atau istilah melalui kaedah penterjemahan.

Tanpa disedari, golongan pelajar ini akan menjadi lebih malas untuk berfikir dalam bahasa Melayu dan akan bergantung sepenuhnya pada penerangan dalam bahasa Inggeris.

Para pensyarah BFSU menekankan bahawa salah satu kunci kejayaan mereka ialah mereka tidak menggalakkan sama sekali kaedah penterjemahan.

Malahan, para pelajar juga dilarang mencari terus sesuatu makna perkataan itu dalam kamus dwibahasa.

Seberapa boleh, mereka harus mendengar penjelasannya di dalam bahasa Melayu. Yang penting mereka akan sentiasa terdedah dengan bahasa Melayu.

Walaupun pendekatan ini mengambil masa dan terasa payah di tahap permulaan, di dalam jangka panjang, para pelajar akan lebih berdisiplin dan selesa berfikir dalam bahasa Melayu.

Sementara itu, rombongan kami dari Singapura juga sempat membuat lawatan ke sekolah-sekolah - dari sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi seperti Sekolah Rendah Chaoyang, Beijing Xuanwu Huimin Elementary School, High School Attached to Capital Normal University, Tsing-Hua International School dan BFSU.

Satu prinsip asas yang dapat diperhatikan secara meluas di sekolah-sekolah di sana ialah kesungguhan mereka melaksanakan program-program yang fundamental dalam pengajaran bahasa.

Program bacaan dan kemahiran lisan diberikan keutamaan. Yang jelas, mereka benar-benar mengajar bahasa bukan tentang bahasa.

Kami juga sempat melawat RCI, atau Radio Antarabangsa Cina, untuk melihat sendiri bagaimana tenaga RCI mengendalikan radio siaran bahasa Melayu.

Siaran ini yang boleh didengar di Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian Indonesia serta selatan Thailand, mempunyai pelbagai program Melayu daripada siaran berita sehinggalah kepada program kebudayaan.

Yang lebih menarik, menerusi wadah ini, RCI telah berjaya menarik ramai pendengar di rantau ini yang memang berminat mengetahui perkembangan Islam dan corak kehidupan masyarakat Islam di China.

Interaksi bersama tenaga kakitangan RCI bahagian Bahasa Melayu membuka minda para guru yang dapat melihat sendiri kejayaan sesebuah organisasi seperti RCI yang telah memperkenalkan negara China kepada negara di nusantara dengan memanfaatkan bahasa Melayu.

Nota: Penulis seorang guru dan ketua jabatan di sebuah sekolah di sini.