Tuesday, October 23, 2012

Melamar Dengan Pantun


MARI BERPANTUN

Adat melamar gadis dengan berpantun

BERPENGETAHUAN, berkemahiran dan berpengalaman. Itulah beberapa syarat diperlukan, jika seseorang hendak menjadi wakil kepada sesebuah pemerintah, syarikat, persatuan, pertubuhan, keluarga atau orang perseorangan.
Wakil merupakan seseorang yang ditugaskan untuk merundingkan sesuatu, bagi pihak yang menghantarnya.
Orang yang berpengetahuan, bekemahiran dan berpengalaman, untuk menjadi wakil kepada pihak-pihak tertentu, dianggap juga sebagai orang yang boleh dibawa ke tengah untuk membincangkan atau merundingkan sesuatu perkara penting.
Sudah menjadi kebiasaan, apabila seseorang ayah dan ibu, yang hendak mengahwinkan anak mereka, satu daripada perkara penting dalam urusan mereka ialah bagi melantik seorang wakil, yang akan ditugaskan untuk merisik, melamar dan meminang daripada pihak lelaki.
Begitu juga bagi ayah dan ibu pihak perempuan, berkewajipan melantik seorang wakil mereka untuk menerima kedatangan rombongan daripada pihak lelaki.
Ada di kalangan saudara-mara yang diminta menjadi wakil, menolak tugas sebagai wakil, lantaran tidak berpengetahuan, kemahiran dan pengalaman, mentelah lagi apabila tiba soal pantun memantun, yang dianggap sebagai penyeri majlis.
Jika tujuannya untuk melamar, orang yang datang tidaklah ramai, hanya lebih kurang empat orang saja dan wakil pihak yang melamar akan berpantun begini:
Indah taman waktu petang.
Terbang rendah si burung camar;
Datang bukan sebarang datang,
Kami datang hendak melamar.
Selepas selesai tugas melamar akan disusuli pula dengan tugas meminang, kemudian diadakan pula majlis pertunangan.
Orang pernah berkata, besar majlis kecil pun majlis. Kalau besar majlisnya tentulah suasananya sungguh meriah, dihadiri oleh anggota keluarga, sanak saudara, saudara-mara, serta rakan taulan jauh dan dekat.
Dalam majlis-majlis pertunangan, tuan rumah biasanya menugaskan seorang wakil pihak perempuan untuk menerima kedatangan wakil pihak lelaki, yang lumrahnya datang membawa rombongan.
Apa halnya jika wakil pihak lelaki memulakan mukadimah dengan berpantun? Tentunya ibu bapa pihak perempuan mesti memilih wakil yang tahu sedikit sebanyak tentang pantun, supaya tidak canggung di majlis orang nanti.
Pantun mukadimah yng dilafazkan oleh wakil pihak lelaki biasanya berbunyi begini:
Tali jerami dibawa juragan,
Temberang juga tali temali;
Kedatangan kami satu rombongan,
Semoga sudi menerima kami.
Perhatikan pembayang maksud yang digunakan dalam dua rangkap pantun tadi, semuanya menyebut tentang tali, yang membawa maksud tali pertunangan yang ingin diikatkan supaya sampai ke hari pernikahan.
Jadi wakil pihak perempuan perlulah menjawab pantun wakil lelaki tadi dengan berpantun juga. Begini jawapannya:
Puteri kayangan mengurai rambut,
Rambut membenang mengilau murni;
Rombongan tuan kami sambut,
Semoga senang berada di sini.
Selepas mendengar jawapan wakil pihak perempuan, maka wakil pihak lelaki pula boleh menjawab:
Ke Teluk Penyengat berperahu laju,
Sarat muatan si buah berangan;
Telah disepakat sudah disetuju,
Hajat kami merasmikan pertunangan.
Begitulah anda pembaca sekalian, pantun-pantun yang lumrah digunakan di majlis-majlis pertunangan, yang penuh beradat resam, sebagai tanda perasmian hajat yang diharap akan kesampaian.
Semoga dengan menelitinya tadi anda mendapat panduan untuk mengarang pantun yang lebih bermutu.

No comments:

Post a Comment