ADA CITRA BUDI: Watak Pak Dogol dalam wayang kulit ini tidak pernah memikirkan diri sendiri semata dan sentiasa mengambil berat akan kesejahteraan raja dan negerinya.
- Foto MUHAMMAD JAILANI ABU TALIB
9 Oct 2012
WARISAN MELAYU
Lawak Jenaka Cara Melayu
Ada lawak memandaikan bangsa, ada yang mencari cela dan menampakkan aib
DALAM menghadapi pelbagai cabaran hidup, stres atau tekanan merupakan antara masalah yang merundung tamadun kemanusiaan itu sendiri.
Pelbagai cara telah digunakan manusia untuk menangani tekanan hidup yang semakin meningkat dalam dunia moden.
Bagi segelintir individu, berbelanja dan memakan makanan yang enak menjadi penawar bagi lara yang menimpa.
Ada pula yang menganjurkan hiburan sebagai wadah menangani stres.
Melihat dari perspektif orang Melayu, antara jenis hiburan yang digunakan masyarakat tersebut termasuklah lawak jenaka.
Dalam konteks peradaban Melayu, lawak sebenarnya berperanan besar sebagai ejen perubahan positif dalam benak diri.
Menyangkal pendapat ramai tentang jenaka sebagai wadah hiburan kosong semata, lawak bagi orang Melayu malahan menyimpulkan suara intelektual yang tinggi.
Merujuk pada seni pentas Melayu tradisional, watak-watak yang lucu lazimnya sengaja diciptakan bagi terus menarik perhatian para penonton.
Apatah lagi, jalan cerita yang dikemukakan ada kalanya panjang serta memerlukan daya tarikan yang lebih.
Watak-watak sedemikian secara langsung memastikan jumlah peminat persembahan mereka tidak akan berkurangan.
Dalam erti kata lain, selaras dengan cabaran zaman pada waktu itu, lawak sengaja dikemukakan bagi meningkatkan daya tarikan dalam karya-karya yang ditonjolkan.
Namun demikian, andai diteliti dengan lebih kritis, watak-watak yang ditonjolkan sebenarnya tidaklah daripada kalangan yang daif dan tidak berilmu.
Ironinya, sedangkan watak-watak tersebut mengungkapkan baris-baris ayat yang lucu bagi mengundang perhatian penonton, watak-watak yang sama sebenarnya menggariskan nilai budi dan pedoman hidup yang berguna. Fenomena ini malahan dapat diteliti dalam segenap genre seni Melayu tradisional.
Merujuk secara khusus pada wayang kulit Melayu, watak Pak Dogol sengaja dihadirkan bagi memberikan nasihat pada watak Raja.
Terlepas daripada pandangan segenap penonton, Pak Dogol sebenarnya dianggap dewa yang tertinggi dalam alam kayangan.
Kononnya, dalam usaha untuk menyembunyikan identiti dirinya, Pak Dogol telah mewujudkan dirinya dalam bentuk yang begitu hodoh sekali.
Memetik salah satu sketsa dalam Hikayat Seri Rama, Pak Dogol telah menggunakan kebijaksanaannya memujuk Raja agar menerimanya kembali ke pangkuan istana.
Dalam hal ini, Pak Dogol bersama dengan rakannya, Wak Long, telah dihalau keluar dari istana setelah mengganggu tidur raja mereka, Seri Rama.
Bagi menyelitkan elemen humor ke dalam cerita, Wak Long telah cuba mengalihkan pandangan raja terhadap Pak Dogol sebelum ditendang Seri Rama sehingga terpelanting ke arah dinding.
Mengolah strategi yang bijaksana, Pak Dogol menyamar sebagai Jin Gempa Alam dan meminta Seri Rama menyerahkan isterinya, Sita Dewi, sebagai cagaran. Kononnya, jika Sita Dewi tidak diserahkan dengan segera, Pak Dogol akan membawa bencana pada negerinya. Masalah tersebut bagaimanapun berjaya diatasi Seri Rama apabila dinasihatkan bahawa perkara itu hanya dapat dihuraikan dengan bantuan Pak Dogol.
Secara halus, Pak Dogol telah menyedarkan Rajanya bahawa ketenteraman negara tidak sahaja bergantung pada dirinya semata.
Sebaliknya, setiap individu dalam istana, tidak kira darjatnya, harus dihargai bersama.
Jelasnya juga, bagi setiap pemerintah, kehadiran orang-orang yang dipercayai di sekelilingnya tidak wajar diperlekehkan.
Andai dilihat dari sudut pandangan penonton, agak sukar dibayangkan bagaimana Pak Dogol, yang berbadan gempal dan berkepala gondol, telah mendapat perhatian sebagai hero dalam babak itu. Lebih jelas lagi, hal ini langsung berbeza daripada konvensi penceritaan pada masa kini yang memerlukan pemeran-pemeran kacak.
Berbalik pada wacana, humor yang dikemukakan penceritaan tradisional Melayu tidak pernah kontang daripada pemerhatian kritis terhadap fenomena masyarakat yang melingkunginya.
Jauh daripada itu, watak-watak yang dikemukakan dalam para pelawak tradisional memiliki citra budi yang serba tinggi.
Antaranya, watak Pak Dogol dalam wayang kulit tidak pernah memikirkan diri sendiri semata dan sentiasa mengambil berat akan kesejahteraan raja dan negerinya.
Meletakkan pula komedi tradisional dalam konteks moden, andai diperhatikan, komedi-komedi Melayu yang berkesan lazimnya menggunakan teknik yang sama.
Sedang latar masa, watak, dan plot mungkin berbeza, mekanisme yang digunakan tidak banyak berubah.
Sama ada secara sedar atau tidak, gaya komedi slapstick seperti yang cenderung diguna pakai oleh segelintir pelawak baharu sebenarnya tidak selari dengan psikologi masyarakat Melayu itu sendiri.
Pendek kata, haruslah dipisahkan antara lawak yang bertujuan memandaikan bangsa dengan lawak yang sekadar mencari cela dan menampakkan aib seseorang.
No comments:
Post a Comment