30 Oct 2012
WARISAN KITA
Singapura permata di rantau Melayu
SINGAPURA merupakan daerah di rantau Melayu yang menarik sekali. Berhadapan dengan sejarah yang ditandai liku-liku manis dan pahit, nama Singapura tidak boleh dilepaskan daripada sebarang perbincangan tentang kepulauan Nusantara.
Hal ini berbeza daripada beberapa daerah lain di kepulauan Nusantara yang biarpun dianugerahi dengan saiz yang jauh lebih besar, kewujudannya lebih mudah dilupakan sejarah.
Namun sayangnya, seringkali apabila sejarah Singapura dibincangkan dalam sebarang wacana, masyarakat cenderung memulakannya dengan kedatangan Sir Stamford Raffles.
Paling tidak, mereka menelusuri sejarah Singapura lewat kedatangan Sang Nila Utama, seorang putera Kerajaan Srivijaya, pada 1324.
Tanpa disedari ramai, kewujudan Singapura malah telah dirakamkan pada tarikh yang jauh lebih awal lagi.
Jelasnya, lama sebelum kedatangan Sang Nila Utama, Singapura sudah pun wujud sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting di rantau ini.
Misalnya, sekitar Abad Kedua, Claudius Ptolemaeus, seorang ilmuan berbangsa Yunani, dalam melakarkan peta dunia, telah merakamkan kewujudan Singapura sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting. Dalam lakaran petanya, daerah pulau yang kini dikenali sebagai Singapura dinamakannya sebagai Sabana.
Pada Abad Ketiga, catatan negara China telah menggambarkan pulau 'Pu Luo Chung' yang sebenarnya merupakan transliterasi untuk 'Pulau Hujung' dalam bahasa Melayu.
Pertembungan budaya antara masyarakat Cina dari China dan Melayu tempatan malah berterusan sehingga zaman kedatangan Sang Nila Utama.
Singapura begitu sibuk pada waktu itu. Wang Dayuan, seorang pengembara China, mencatatkan bagaimana Singapura ibarat lubuk bagi kegiatan kelautan pada 1340.
Dukacita sekali apabila sebahagian besar fakta sejarahnya kurang disedari masyarakat kita sendiri.
Dalam menyelami budaya Melayu secara khusus, Singapura sebenarnya merupakan lombong emas yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Sayangnya, apabila kekayaan tersebut tidak disedari masyarakatnya sendiri, 'bijih-bijih emas' tersebut secara langsung mula pudar dan tertanam dalam sejarah.
Menyebut beberapa nilai kekayaan yang hadir dalam lipatan warisan Singapura, antara insan yang menarik namun belum pernah diteliti riwayat hidupnya termasuklah Habib Gohead Gostan yang kini dimakamkan di perkarangan Kubur Kassim di Siglap.
Seorang Arab marga Al-Khatib, beliau kononnya sering menjalani hidupnya dalam kaedah yang unik, yakni menapak beberapa langkah ke hadapan sebelum mundur beberapa langkah.
Jelasnya, riwayat awliyah tersebut yang menghabiskan sisa hidupnya di Singapura sekali gus menunjukkan betapa kayanya Singapura dengan cerita-cerita rakyat yang belum digali.
Melihat dalam konteks semasa pula, tidak kurang juga beberapa individu yang masih hidup namun terus meniti arus waktu senja.
Ada baiknya sekiranya segala bakti, ilmu, dan akal fikir mereka dapat dicungkil untuk dikongsikan bersama dengan anak-anak muda di Singapura sendiri.
Misalnya, merujuk pada budaya silat pengantin dalam majlis-majlis persandingan, memeranjatkan bagi ramai bahawa Singapura merupakan antara beberapa daerah terakhir yang masih lagi tekal mempertahankan adat tersebut.
Bahkan, dalam majlis-majlis persandingan di Singapura, silat pengantin itu menjadi ibarat penyeri dan pelengkap majlis. Ironinya, sedang Singapura merupakan antara daerah Melayu terakhir yang masih membudayakan adat tersebut, masyarakat Singapura sendiri lebih gemar mengaitkan kesenian mereka dengan suku bangsa Melayu yang lain.
Merumuskan penulisan, adalah molek sekiranya kata-kata Kofi Annan, mantan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dikutip sebagai iktibar.
Menurutnya, "terdapat keperluan bagi manusia hari ini untuk berdepan dengan kejahilan lewat ilmu, ketaksuban dengan tolak ansur, dan pelenyapan dengan pendedahan".