Thursday, April 15, 2010

Kuda Kepang

11 Apr 2010

ISTIMEWA

Tengkarah kuda kepang

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini Dan Hisham Hasim
PERMAINAN atau tarian kuda kepang semakin berkembang di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan dipercayai kini terdapat sekitar 40 buah kumpulan dengan ratusan anggota, ramai di kalangan golongan belia.

Namun kegiatan itu menimbulkan keprihatinan, dan ada kalanya kegerunan di kalangan orang ramai, kerana adanya unsur-unsur seperti menurun dan kepercayaan kekebalan.

Oleh kerana permainan kuda kepang dengan unsur-unsur itu boleh mengganggu ketenteraman awam, majlis bandaran tidak lagi memembenarkan persembahan itu di kolong blok dan kawasan terbuka di estet-estet perumahan awam.

Dari sudut agama Islam pula, ia ditegah.

Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), memperingatkan bahawa bahawa tarian kuda kepang yang melibatkan unsur-unsur menurun adalah haram dan menasihatkan masyarakat Islam supaya menghindari amalan sedemikian.

'Persembahan yang melibatkan unsur-unsur (menurun) tersebut bukan saja membahayakan diri pemain yang terlibat tetapi juga mengganggu ketenteraman orang awam yang hadir,' kata Pejabat Mufti.

Muis memberikan nasihat tersebut menyusuli pertanyaan Berita Minggu (BM) berhubung pendiriannya mengenai kegiatan sedemikian yang kelihatan semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Malah, Muis pernah mengeluarkan fatwa dalam tahun 1979, mengumumkan bahawa permainan kuda kepang adalah haram di sisi Islam, kerana ia melibatkan penggunaan kuasa ghaib yang diserapkan kepada seseorang. Namun, kegiatan itu tetap tidak luput, malah berkembang sejak beberapa tahun lalu.

Menurut beberapa kumpulan yang ditemui akhbar ini, tarian tradisional yang asalnya dari Jawa itu kini telah memikat lebih ramai golongan muda dan minat terhadapnya semakin ketara dengan tayangan persembahan yang dimuat naikkan ke YouTube.

Namun difahamkan juga bahawa segolongan remaja yang terlibat turut terkait dalam kumpulan samseng jalanan (street corner gangs) dan kumpulan kongsi gelap.

Ketika menjawab pertanyaan BM, Majlis Bandaran Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata persembahan kuda kepang kini juga tidak dibenarkan diadakan di kolong blok dan kawasan-kawasan terbuka di estet perumahan awam di bawah naungan Majlis Bandaran PAP.

Mengenai keputusan tersebut, Encik Albert Teng, setiausaha penyelaras Majlis Bandaran PAP, menjelaskan bahawa persembahan kuda kepang yang melibatkan unsur-unsur menurun ada kemungkinan boleh menyebabkan kekacauan pada ketenteraman awam.

'Kami pada dasarnya prihatin kerana menerima semakin banyak maklum balas dan aduan berhubung gangguan-gangguan akibat persembahan sedemikian, yang menarik ramai penonton dan menyebabkan keriuhan, ada kalanya sampai larut malam,' kata beliau.

Oleh itu, demi mengurangkan gangguan kepada para penduduk, pihak majlis bandaran menasihatkan penganjur dan mereka yang terlibat dalam persembahan kuda kepang supaya mencari tempat lain yang tertutup seperti dewan tertutup.

Namun, Encik Teng menjelaskan pendirian Majlis Bandaran bahawa para penduduk bebas memohon bagi menggunakan kawasan terbuka masyarakat seperti kolong blok di bawah naungannya untuk majlis-majlis mereka selagi kegiatan mereka tidak mengganggu pada orang lain.

'Kami ingin menekankan bahawa semua bentuk persembahan etnik atau kebudayaan yang tidak melibatkan unsur yang mungkin menyebabkan kecemasan pada orang ramai, dibenarkan di kolong- kolong blok dan kawasan awam lain yang diuruskan Majlis Bandaran, selagi keizinan telah diberikan oleh Majlis Bandaran dan persembahan itu diadakan dalam tempoh yang mereka nyatakan,' kata Encik Teng

No comments:

Post a Comment