Monday, March 15, 2010

Malu Kita Tak Bertempat oleh Ismail Pantek

14 Mac 2010
KOMENTAR

Malu kita tak bertempat

Isu: Setiap insan ada sifat malu, tapi ada sesetengah orang Melayu tidak letakkan rasa malu itu di tempatnya yang betul
BERCAKAP tentang orang Melayu kita ni, ada satu sifat yang menarik untuk kita perhatikan dan fikirkan bersama.
Orang Melayu umumnya mementingkan rasa malu dan air muka.
Mungkin ini memang sudah kita warisi turun-temurun, sejak zaman datuk nenek moyang kita lagi.
Buktinya, dalam pepatah, bidalan atau kiasan warisan bangsa kita, ada banyak yang menyentuh tentang soal malu ini.
Misalnya, pepatah Harga garam pada asinnya, harga manusia pada malunya; daripada hidup menanggung malu, lebih baik mati kena palu; biar putih tulang, jangan putih mata dan banyak lagi yang lain.
Sifat malu ini memang baik, jika kena pada tempatnya. Ia melambangkan kesopanan kita sebagai orang Melayu yang sudah terkenal sejak dahulu lagi.
Orang Melayu dahulu malu untuk mendedahkan aurat, malu untuk berkelakuan sumbang dan malu untuk meminta-minta.
Ini semua adalah sifat mulia yang sememangnya wajar kita warisi dan wariskan pada anak cucu kita, walaupun dalam zaman serba moden yang kita bangga-banggakan sekarang ini.
Namun sekarang, macam ada sesuatu yang tidak kena pada masyarakat kita.
Yang sepatutnya kita malukan, kita tidak malu; yang tidak sepatutnya kita malu pula, kita malu.
Ini dinamakan malu yang tidak bertempat dan ini semakin menebal dalam masyarakat kita.
Sebagai contoh, jika anda lihat dalam sesuatu mesyuarat besar atau sidang, terutama yang turut melibatkan kaum bukan Melayu, kebanyakan orang kita cuma diam saja... walhal, banyak yang berbuku di dada.
Apabila ditanya kenapa diam, jawab mereka malulah nak cakap.
Akibatnya, mereka gagal mengetengahkan pendapat atau permintaan, walaupun mesyuarat tersebut memberi peluang terbaik untuk mereka berbuat demikian.
Itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan contoh kedua ini.
Kita berasa teramat malu apabila anak gadis 'menconteng arang' di muka kita, dengan mengadakan hubungan sulit lalu hamil di luar nikah.
Kita malu dan amat takut orang akan kata anak kita bagaikan kelapa yang sudah ditebuk tupai.
Kerana hendak menutup malu, kita cepat-cepat paksa anak kita itu kahwin dengan lelaki yang membuatnya hamil, tanpa mengira sama ada mereka memang sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan rumah tangga atau tidak.
Ternyata, mereka belum bersedia untuk berumah tangga, baik dari segi umur yang teramat muda, mahupun dari segi ekonomi (ada lelaki yang masih dalam Perkhidmatan Negara atau NS atau langsung tidak bekerja).
Akibatnya, selepas beberapa tahun saja kahwin, ada yang selepas ada dua tiga anak, rumah tangga mereka porak-peranda lalu bercerai.
Yang susahnya anak cucu kita sendiri.
Lantaran tergesa-gesa sangat nak tutup malu, kita lupa akan akibat lebih buruk yang menanti selepas si anak dipaksa kahwin di luar kemampuan mereka.
Inikah sifat yang mahu kita tunjukkan dalam masyarakat kita?
Ada satu lagi sifat malu tidak bertempat yang nampak dalam masyarakat kita.
Kita malu apabila kononnya orang lain kata rumah kita buruk dan kosong.
Kerana tidak mahu malu, kita bersusah payah berbelanja di luar kemampuan untuk renovate rumah kita cantik-cantik dan beli perabot yang boleh tahan harganya.
Lalu jadilah kita seperti katak yang hendak jadi lembu. Nak besar, besar, besar... lama-lama kita sendiri yang tanggung padahnya.
Kita bukan tidak boleh bersifat malu, namun biarlah malu kita malu yang bertempat.
Kita boleh malu sekiranya orang lain kata anak kita tidak maju dalam pelajaran, jadi kita berusaha bersungguh- sungguh membantu agar anak kita dapat bimbingan yang sebaiknya untuk maju dalam pelajaran.
Kalau kita terpaksa berkorban tidak bertukar langsir atau beri cat baru pada rumah jelang Hari Raya demi memberi tuisyen pada anak- anak kita, kita lakukan tanpa rasa rugi.
Apa nak dimalukan kalau orang kata rumah kita kosong, tak cantik dan sebagainya, asal anak-anak kita tidak terabai makan minum dan pelajaran.
Ini yang patut ada pada diri kita, bukan sebaliknya, bila orang puji-puji rumah kita tapi pelajaran anak terabai.
Ada seorang teman saya yang bersekolah setakat darjah rendah. Belum sempat masuk sekolah menengah, beliau sudah disuruh berhenti sekolah.
Sebabnya, si bapa berasa tidak mampu untuk menanggung biaya sekolah kerana pendapatan yang kecil.
Itu satu hal. Masalahnya, si bapa berasa malu untuk mendapatkan bantuan. Bahkan dengarnya, ada orang lain yang rela bantu biaya sekolah anaknya, tetapi si bapa tidak mahu kerana malu dianggap peminta sedekah.
Ternyata malu si bapa tidak bertempat dan akibatnya hari ini, teman saya tidak mampu untuk bersaing mendapatkan pekerjaan lebih baik.
Inikah yang kita mahukan dalam masyarakat kita?
Satu sifat lain, kita malu untuk berterus terang. Kita malu untuk mengatakan perkara sebenar, lalu kita biarkan saja sesuatu kebodohan itu berleluasa.
Memang malu itu sifat yang dimiliki setiap insan, tapi malu kita biarlah bertempat.
Dalam Islam sendiri, sifat malu itu disifatkan sebagai sebahagian daripada iman, lantas ia harus kita miliki.
Dengan perasaan malu, kita dapat mencegah diri kita daripada membuat perkara yang dilarang.
Kita harus malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat.
Kita harus ada rasa malu untuk tidak bersikap kurang ajar kepada ibu bapa, guru dan orang-orang sekeliling kita.
Kita memang perlu ada rasa malu untuk tidak membiarkan kaki kita melangkah ke tempat maksiat atau berpakaian tidak sopan di khalayak ramai.
Yang penting, kita harus pandai membezakan di mana kita harus bersikap malu dan di mana kita harus kikis sifat tersebut.
Cakap mudahnya, letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.
Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam mencari ilmu, kemajuan hidup dan membina keluarga serta masyarakat, jangan kita malu untuk berusaha atau berkorban.

No comments:

Post a Comment