Saturday, September 29, 2012

KAWAL MARAH



Mufti: Kita bukan masyarakat bacul

Dorong semangat atasi marah dengan ilmu pengetahuan, bukan keganasan
BERDIAM tidak bererti bacul.
Perasaan marah di hati harus mendorong semangat untuk mengubah keadaan tetapi bukan dengan keganasan, sebaliknya dengan ilmu pengetahuan.
Hal ini ditekankan oleh Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram, ketika bercakap mengenai perbuatan yang menghina Islam dan Nabi, termasuk penerbitan filem baru Innocence of Muslims baru-baru ini.
Sedutan filem yang tersebar di Internet itu telah menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk keganasan yang mengakibat puluhan jiwa terkorban.
Menyampaikan tazkirah selepas solat Jumaat minggu lalu, Dr Fatris berkata bahawa dalam Islam, kita disuruh menghormati dan mencintai Nabi.
Jika Baginda dihina, diberi gambaran penuh cercaan yang tidak wajar dan tidak sopan, kita patut marah.
"Tidak ada orang yang dalam hatinya ada iman yang tidak timbul rasa marah kalau Nabinya dihina orang.
"Saya tidak mahu suruh orang Islam di Singapura supaya jangan marah, supaya tenang-tenang walaupun orang hina dan caci kita supaya tenang, jangan emosi," ujarnya.
Memang ada hadis, ketika diminta berulang kali oleh seorang sahabat, menasihatkannya supaya jangan marah.
Namun, nasihat 'jangan marah' di sini ialah jangan melakukan perkara yang tidak wajar kerana tunduk pada perasaan marah. Sebab ada orang yang marah sampai hilang akal.
"Sebaliknya ia adalah mengawal perasaan. Jangan bertindak dengan tindakan yang tidak matang dan tidak waras ketika marah.
Rasa marah, jelasnya, adalah fitrah manusia. Nabi sendiri pernah marah pada orang yang mengkhianati perjanjian bersama dan pada musuh yang hendak menghancurkan Madinah. Nabi juga pernah marah pada isterinya.
Tetapi Nabi juga menasihatkan agar jika marah ketika berdiri, duduk; jika marah ketika duduk, baring.
Maksudnya, untuk kita mengawal perasaan supaya jangan sampai marah dan bertindak di luar kewarasan.
Menurut Mufti, dalam masalah agama, apabila maruah dan harga diri kita dipijak-pijak orang, kita wajar marah.
Tetapi Nabi tunjukkan bahawa marah itu digunakan menjadi satu tenaga yang membina, bukan menghancurkan.
"Biar marah itu ada dalam hati sebab apabila kita marah, kita ada semangat, kita bangkit daripada kelesuan, kita akan buka fikiran untuk melihat keadaan diri kita, apa kelemahan dan kekurangan kita dan bagaimana kita hendak maju ke hadapan," jelas beliau.
Menurutnya, para sahabat marah pada kekufuran lalu bangkit jadi orang yang cemerlang dalam ilmu pengetahuan.
"Kalau hari ini kita sayang dan hendak membela Nabi, kita hendaklah ambil iktibar daripada Maulana Abdul Aleem Siddique dan tokoh Islam yang lain - tingkatkan ilmu pengetahuan kita.
"Itu bukan senang. Ia perlu kesungguhan, kesabaran, ketekunan, daya tahan, pengorbanan. Di situ letak jihad," ujarnya.
Menurut beliau, menunjukkan rasa marah dengan berteriak, membuat bising, pecahkan tingkap, membakar kereta memang senang.
"Tetapi apa kesannya? Apa yang diubah? Apakah orang yang tidak faham Islam boleh mengubah kefahamannya dengan sebab kita pecahkan tingkap dan bunuh orang? Tidak.''
Beliau berkata, kita berhujah bahawa Islam itu baik dan indah, Al-Quran itu bagus, tetapi kenapa orang masih hina, perlekeh dan sakitkan hati kita?
"Ada banyak sebab. Antaranya ialah kita yang tunjukkan Islam dalam gambaran dan imej yang salah," jelas beliau.
Menjawab celaan dan penghinaan dengan membuat kerosakan tidak menaikkan darjat di sisi Allah atau menaikkan martabat kita di sisi makhluk-makhluk Allah.
Menurut Mufti, kita tidak boleh hentikan semua ini dengan kekerasan dan memetik hadis Nabi bahawa "Allah memberi melalui kelembutan apa yang Allah tidak beri melalui kekerasan". Maksudnya, ada benda yang diperoleh bukan dengan kekerasan tetapi dengan hikmah dan kelembutan.
"Dengan mengawal nafsu amarah kita, perasaan yang mencengkam dalam hati kita membawa kepada sesuatu pembangunan, kebaikan. Di situ letaknya kemuliaan umat Nabi Muhammad, ada daya tahan.
"Kalau betul hendak bela Nabi, tidak mahu orang hina Nabi, kita perlu ada harga diri. Antaranya ialah tangani masalah yang ada dalam masyarakat sendiri, kekadang dalam keluarga sendiri. Kalau gejala ini dibiarkan, kita tidak berbuat sesuatu, atau ada pihak yang kritik dan sindir, dan kutuk atas usaha yang dibuat, bagaimana kita hendak atasi gejala yang ada? Akhirnya masyarakat kita jadi bobrok. Bagaimana orang nak segan pada agama kita?
"Tangani dengan bijak, sabar. Jangan berputus asa, jangan cepat merajuk. Bukan saya kata mereka tak salah - buat filem, buat kartun yang hina Islam.
"Kita tak terima dan kita marah, tetapi mari kita ubah keadaan. Kita beri sumbangan dalam bentuk yang lebih bermakna. Biar kita marah, jangan padam kemarahan ini tetapi kita salurkan kemarahan ini pada usaha yang datangkan keredaan Allah," ujarnya.
Masyarakat kita, tambahnya, adalah masyarakat yang boleh berfikir dan tahu apa yang dituntut agama Allah.
"Kita bukan masyarakat yang bacul. Tidak. Saya tidak terima orang kata orang Singapura penakut, bacul - diam dan tak bikin apa-apa.
"Bacul atau tidak bacul bukan dengan cara meluahkan perasaan, bukan dengan cakap sana sini.
"Kalau betul berani, kita buat seperti yang dituntut oleh Rasulullah, atasi kekurangan kita lebih dahulu, kita jadi umat yang menguasai ilmu, rumah tangga kita cemerlang, masyarakat kita cemerlang. Kalau ada kekurangan, kita basmi dan atasi.
"Ini perlukan ketabahan, perlu kerjasama di antara kita," ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment