Saturday, September 29, 2012

KAWAL MARAH



Mufti: Kita bukan masyarakat bacul

Dorong semangat atasi marah dengan ilmu pengetahuan, bukan keganasan
BERDIAM tidak bererti bacul.
Perasaan marah di hati harus mendorong semangat untuk mengubah keadaan tetapi bukan dengan keganasan, sebaliknya dengan ilmu pengetahuan.
Hal ini ditekankan oleh Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram, ketika bercakap mengenai perbuatan yang menghina Islam dan Nabi, termasuk penerbitan filem baru Innocence of Muslims baru-baru ini.
Sedutan filem yang tersebar di Internet itu telah menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk keganasan yang mengakibat puluhan jiwa terkorban.
Menyampaikan tazkirah selepas solat Jumaat minggu lalu, Dr Fatris berkata bahawa dalam Islam, kita disuruh menghormati dan mencintai Nabi.
Jika Baginda dihina, diberi gambaran penuh cercaan yang tidak wajar dan tidak sopan, kita patut marah.
"Tidak ada orang yang dalam hatinya ada iman yang tidak timbul rasa marah kalau Nabinya dihina orang.
"Saya tidak mahu suruh orang Islam di Singapura supaya jangan marah, supaya tenang-tenang walaupun orang hina dan caci kita supaya tenang, jangan emosi," ujarnya.
Memang ada hadis, ketika diminta berulang kali oleh seorang sahabat, menasihatkannya supaya jangan marah.
Namun, nasihat 'jangan marah' di sini ialah jangan melakukan perkara yang tidak wajar kerana tunduk pada perasaan marah. Sebab ada orang yang marah sampai hilang akal.
"Sebaliknya ia adalah mengawal perasaan. Jangan bertindak dengan tindakan yang tidak matang dan tidak waras ketika marah.
Rasa marah, jelasnya, adalah fitrah manusia. Nabi sendiri pernah marah pada orang yang mengkhianati perjanjian bersama dan pada musuh yang hendak menghancurkan Madinah. Nabi juga pernah marah pada isterinya.
Tetapi Nabi juga menasihatkan agar jika marah ketika berdiri, duduk; jika marah ketika duduk, baring.
Maksudnya, untuk kita mengawal perasaan supaya jangan sampai marah dan bertindak di luar kewarasan.
Menurut Mufti, dalam masalah agama, apabila maruah dan harga diri kita dipijak-pijak orang, kita wajar marah.
Tetapi Nabi tunjukkan bahawa marah itu digunakan menjadi satu tenaga yang membina, bukan menghancurkan.
"Biar marah itu ada dalam hati sebab apabila kita marah, kita ada semangat, kita bangkit daripada kelesuan, kita akan buka fikiran untuk melihat keadaan diri kita, apa kelemahan dan kekurangan kita dan bagaimana kita hendak maju ke hadapan," jelas beliau.
Menurutnya, para sahabat marah pada kekufuran lalu bangkit jadi orang yang cemerlang dalam ilmu pengetahuan.
"Kalau hari ini kita sayang dan hendak membela Nabi, kita hendaklah ambil iktibar daripada Maulana Abdul Aleem Siddique dan tokoh Islam yang lain - tingkatkan ilmu pengetahuan kita.
"Itu bukan senang. Ia perlu kesungguhan, kesabaran, ketekunan, daya tahan, pengorbanan. Di situ letak jihad," ujarnya.
Menurut beliau, menunjukkan rasa marah dengan berteriak, membuat bising, pecahkan tingkap, membakar kereta memang senang.
"Tetapi apa kesannya? Apa yang diubah? Apakah orang yang tidak faham Islam boleh mengubah kefahamannya dengan sebab kita pecahkan tingkap dan bunuh orang? Tidak.''
Beliau berkata, kita berhujah bahawa Islam itu baik dan indah, Al-Quran itu bagus, tetapi kenapa orang masih hina, perlekeh dan sakitkan hati kita?
"Ada banyak sebab. Antaranya ialah kita yang tunjukkan Islam dalam gambaran dan imej yang salah," jelas beliau.
Menjawab celaan dan penghinaan dengan membuat kerosakan tidak menaikkan darjat di sisi Allah atau menaikkan martabat kita di sisi makhluk-makhluk Allah.
Menurut Mufti, kita tidak boleh hentikan semua ini dengan kekerasan dan memetik hadis Nabi bahawa "Allah memberi melalui kelembutan apa yang Allah tidak beri melalui kekerasan". Maksudnya, ada benda yang diperoleh bukan dengan kekerasan tetapi dengan hikmah dan kelembutan.
"Dengan mengawal nafsu amarah kita, perasaan yang mencengkam dalam hati kita membawa kepada sesuatu pembangunan, kebaikan. Di situ letaknya kemuliaan umat Nabi Muhammad, ada daya tahan.
"Kalau betul hendak bela Nabi, tidak mahu orang hina Nabi, kita perlu ada harga diri. Antaranya ialah tangani masalah yang ada dalam masyarakat sendiri, kekadang dalam keluarga sendiri. Kalau gejala ini dibiarkan, kita tidak berbuat sesuatu, atau ada pihak yang kritik dan sindir, dan kutuk atas usaha yang dibuat, bagaimana kita hendak atasi gejala yang ada? Akhirnya masyarakat kita jadi bobrok. Bagaimana orang nak segan pada agama kita?
"Tangani dengan bijak, sabar. Jangan berputus asa, jangan cepat merajuk. Bukan saya kata mereka tak salah - buat filem, buat kartun yang hina Islam.
"Kita tak terima dan kita marah, tetapi mari kita ubah keadaan. Kita beri sumbangan dalam bentuk yang lebih bermakna. Biar kita marah, jangan padam kemarahan ini tetapi kita salurkan kemarahan ini pada usaha yang datangkan keredaan Allah," ujarnya.
Masyarakat kita, tambahnya, adalah masyarakat yang boleh berfikir dan tahu apa yang dituntut agama Allah.
"Kita bukan masyarakat yang bacul. Tidak. Saya tidak terima orang kata orang Singapura penakut, bacul - diam dan tak bikin apa-apa.
"Bacul atau tidak bacul bukan dengan cara meluahkan perasaan, bukan dengan cakap sana sini.
"Kalau betul berani, kita buat seperti yang dituntut oleh Rasulullah, atasi kekurangan kita lebih dahulu, kita jadi umat yang menguasai ilmu, rumah tangga kita cemerlang, masyarakat kita cemerlang. Kalau ada kekurangan, kita basmi dan atasi.
"Ini perlukan ketabahan, perlu kerjasama di antara kita," ujar beliau lagi.

K-POP


PADA HEMAT SAYA

Bila K-Pop menjagat

SETAKAT manakah pengaruh K-Pop pada orang Melayu Singapura, terutama anak mudanya? Persoalan ini telah lama timbul sejak beberapa tahun, bahkan agak hangat juga disembangkan di ruang siber.
Belum ada kajian ilmiah atau tinjauan mengenai kesannya. Namun ia menjadi semacam isu kemasyarakatan lewat Ceramah Arif Budiman, Bahasa, Pemikiran dan Budaya Melayu dari Perspektif Negara K-Pop, Korea, yang disampaikan Profesor Chun Tai-Hyun dari Jabatan Pentafsiran dan Penterjemahan Melayu-Indonesia, Universiti Hankuk bagi Pengajian Asing di Korea.
Ringkasnya, ilmuwan Korea itu telah memberikan semacam amaran mengenai kesan negatifnya.
Dianjurkan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) Sabtu lalu, ceramah Prof Chun menegaskan bahawa di sebalik kepopularan K-Pop yang menjagat, ia menjejas 'kemurnian' bahasa Korea.
Ini kerana campur aduk kekata Inggeris yang digunakan oleh para penyanyi/penulis lirik generasi muda negaranya.
Sejak 2001, sekumpulan cendekiawan termasuk bahasawan Korea telah mulai meneliti kesan K-Pop dan cuba membentenginya.
Dalam ucapannya pula di sesi yang sama, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi, juga memberi amaran mengenai pengikisan jati diri dan juga nilai bahasa Melayu oleh pengaruh asing, termasuk K-Pop.
Oleh itu, peranan ibu bapa, guru, gerakan masyarakat dan institusi sangat utama untuk memastikan jati diri generasi muda Melayu masih terpelihara.
Penyejagatan atau globalisasi memang menonjolkan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa dominan dunia. Hampir tiada bahasa dunia yang terlepas daripada menggunakan istilah Inggeris. Apatah lagi dalam dialog drama di radio, televisyen atau filem, seperti tidak lengkap jika frasa atau kekata Inggeris tidak digunakan.
Namun, adakah hal ini suatu fenomena baru?
Tidak. Sebab, sejarah membuktikan pengaruh bahasa dominan disebarkan oleh tamadun tertentu.
Rantau Melayu Asia Tenggara amat terdedah kepada pelbagai pengaruh asing yang datang ke sini untuk meraih 'kekayaannya' - daripada rempah ratus, emas dan sebagainya. Rantau ini perlu dilalui oleh dagang dan santri kerana berada di tengah-tengah antara dua tamadun besar - India di barat dan China di timur.
Bahasa Melayu mencerminkan himpunan kekata dan istilah yang tidak semuanya 'ciptaan' Dunia Melayu (termasuk orang Melayu dan suku kaum yang lain).
Terdapat banyak kata ambilan (maaf saya tidak suka guna 'kata pinjaman' kerana sering tidak pernah dipulangkan) daripada bahasa tua Sanskerta (tidak lagi digunakan sebagai bahasa percakapan), Arab dan bahasa Eropah terutama Inggeris
Mengapa?
Pengaruh tamadun amat kuat dalam menampilkan agama Hindu dan kemudian diikuti dengan Buddha. Epik Hindu seperti Ramayana dan Mahabhrata telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa suku Melayu termasuk Jawa. Bahkan hikayat Melayu seperti Hikayat Si Miskin mendapat pengaruh dari India.
Hindu dan Buddha disampaikan dalam bahasa Sanskerta. Konsep 'neraka' dan 'syurga' misalnya masih kekal dalam bahasa Melayu walaupun sesudah orang Melayu beragama Islam. Jika mahu dipakai istilah Arab (Islam), syurga dipanggil jannah dan neraka pula naar.
Pengaruh Buddha cukup besar dalam corak hidup dan aliran Melayu silam sehinggakan raja-raja Melayu yang asal Palembang (Bukit Saguntang) dan kemudian merajai Singapura pula dikatakan menganutinya.
Kedatangan Islam telah mencorakkan bahasa Melayu dengan penggunaan banyak istilah dari Al-Quran dan hadis.
Bahkan, Profesor Muhammad Naquib Al-Attas berpendapat bahawa Islamlah yang memperteguh tamadun Melayu termasuk Kesultanan Melaka. Warisan tulisan Jawi memancarkan keilmuan dan adab Melayu sebagai insan budiman.
Pengaruh bahasa-bahasa Eropah pula berlaku lewat penjajahan. Mahu tidak mahu istilah Portugis (seperti almari dan sebagainya), Belanda (terutama di Indonesia) dan Inggeris kian luas digunakan.
Bahasa Inggeris terus bertahan teguh kerana adanya dwitamadun Inggeris iaitu Britain yang kemudian kuncup dan digantikan dengan Amerika Syarikat.
Namun, banyak negara bekas jajahan British masih menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama atau bahasa kerja seperti Singapura.
Lama sebelum fenomena Korea Selatan yang maju dengan teknologinya seperti telefon bimbit Samsung sehingga menghasilkan K-Popnya, Asia lebih dulu menerima budaya Jepun.
Jepun merupakan negara Asia pertama bertaraf negara maju. Begitu hebat disiplin Jepun sehingga ada Dasar Pandang Timur yang digunakan oleh negara jiran untuk membangun keperkasaan industrinya menurut disiplin Negara Matahari Terbit itu.
Saya masih ingat kesan filem dan drama televisyen Jepun. Misalnya, sewaktu kecil dulu, kami berlari dalam sukan sekolah ala 'ninja'.
Pun orang Melayu pernah tergila-gila budaya pop Hindustan dengan penyanyi seperti R. Azmi.
Namun begitulah, unsur budaya (sebenarnya lebih tepat disebut 'hiburan') datang dan pergi.
Pengaruh Barat, misalnya, pernah mencengkam dengan muzik ala The Beatles yang mencetuskan zaman Pop Yeh Yeh (pop 1960-an).
Bahkan, golongan konservatif Melayu pernah menyifatkan kesan lagu Elvis Presley, Raja Rock n Roll Amerika sebagai "iblis!".
Namun, apakah jati diri dilambung pelbagai pengaruh ini sudah terjejas dan berubah?
Memang tidak dinafikan ada kalangan orang kita yang 'berubah', namun majoriti masih kekal dengan jati dirinya sebagai orang yang tahu berbahasa, berbudaya Melayu dan mengamalkan Islam.
Bahkan dalam bahasa Melayu sendiri, menurut kalangan bahasawan, terdapat kelenturan untuk dapat menerima apa jua pengaruh istilah asing yang kemudian 'dimelayukan' lewat semantik, nahu dan lenggok sopan kita.
Adakah kita asyik menerima saja 'serangan' pengaruh asing?
Mungkin ekoran K-Pop, ada kelak anak Melayu akan lebih kreatif menghasilkan 'M-Pop' di peringkat antarabangsa.
Tetapi adakah dengan campuran bahasa Inggeris atau bahasa asing lain? Kita tengoklah nanti.

Syed AbdillAH aLjUFRI



Syed Abdillah Aljufri tak pernah puas dengan ilmu yang dimiliki

ANTARA ulama yang pernah menyumbang bakti dan mewarnai kehidupan agama kita dengan ilmu dan memartabatkan pendidikan Islam di sini ialah Alahyarham Syed Abdillah Bin Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Aljufri, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syed Abdillah Aljufri.
Beliau lahir pada 2 Mac 1938. Bapanya asal keturunan Hadramaut, Yaman, yang berhijrah ke sini.
Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Khairiyah dan kemudian di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau antara pelajar cemerlang tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian di universiti luar kerana masalah wang.
Namun, itu tidak menghalangnya daripada memperkayakan khazanah ilmu dengan banyak membaca, mengkaji serta menimba pengetahuan daripada ulama ternama seperti antaranya Allahyarham Ustaz Syed Abdullah Balfaqih (mantan Mudir Madrasah Aljunied), Allahyarham Habib Alwi Bin Tahir Al-Haddad (bekas Mufti Johor) dan Allahyarham Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed.
Walaupun setelah dikenali sebagai antara tokoh agama yang dihormati dan sibuk dengan tugasan kemasyarakatan, Allahyarham Syed Abdillah tetap meluangkan masa menelaah ilmu daripada gurunya, Allahyarham Sheikh Umar Bin Abdullah Al-Khatib.
Disiplin keilmuan yang beliau miliki harus kita contohi. Kita tidak harus mudah berasa puas dengan ilmu yang kita miliki, kerana ilmu itu sentiasa berkembang.
Allahyarham juga aktif memberi sumbangan dalam membangunkan masyarakat. Ustaz Syed Abdillah pernah menerajui Madrasah Aljunied Al-Islamiah sebagai Mudir, Presiden Persatuan Guru-Guru Agama dan Ulama Singapura (Pergas), Pengerusi Masjid Al-Ansar dan antara ahli Jawatankuasa Fatwa Muis paling lama (mulai 1970 hingga akhir usianya).
Ilmu yang diperolehi beliau diterjemahkan kepada amalan yang dapat menyumbang kepada kebaikan pelbagai lapisan masyarakat.
Selain ketinggian ilmu dan kehebatan berpidato dan berceramah, Allahyarham juga meninggalkan pengaruh besar dalam pembangunan pendidikan Islam di negara kita ini.
Beliau terlebih dahulu terlibat dalam proses pengembangan dan pembangunan kurikulum pengetahuan agama sehingga terhasil penulisan buku-buku teks Pengetahuan Agama Islam bagi sekolah menengah pada awal 1980-an.
Allahyarham Syed Abdillah juga merupakan antara tulang belakang dalam pengembangan kurikulum madrasah masjid setempat melalui kedudukannya sebagai Penolong Pengarah Unit Pendidikan Agama, Muis. Malah, Allahyarham juga terlibat secara langsung dan menulis sendiri buku-buku teks agama pendidikan rendah bagi sistem madrasah separuh masa.
Oleh itu, boleh dikatakan Allahyarham bukan sahaja pelopor pembangunan sistem pendidikan agama di sini, malah meletakkan batu asas dalam memastikan sistem pendidikan Islam terus berkembang, sejajar dengan perubahan masa.
Sumbangan Allahyarham ini memberi kita asas dalam memahami agama dengan betul dan tepat, sebelum kita melangkah lebih jauh dalam mempertingkat pengetahuan agama yang lebih mendalam.
Jasa dan sumbangannya bersesuaian dengan gagasan Iqra, yakni melepaskan diri daripada kegelapan dan kejahilan, serta menyinari dan menerangi umat Islam dengan cahaya keilmuan yang kekal bersinar.
Apakah warisan yang kita tinggalkan kelak? Pastikan kita sekurang-kurangnya menyokong usaha membina satu warisan dalam masyarakat kita, sama ada melalui kerja sukarela, harta, masa ataupun tenaga kepada inisiatif kemasyarakatan.
Semoga Allah memberi kita kekuatan mengikuti jejak Allahyarham Syed Abdillah dan membina generasi yang membawa ke arah perubahan masyarakat.

Tuesday, September 25, 2012

Peranan Wanita

BERPERANAN BESAR: Dalam konteks pemikiran masyarakat Melayu tradisional, peranan lelaki sebagai pembela wanita hanya berlaku dalam beberapa aspek tertentu, seperti daya kekuatan jasmani dan pencarian nafkah. Bagaimanapun, kaum wanita turut berperanan dalam minda masyarakat sebagai 'ibu' kepada bangsa Melayu itu sendiri.

- Foto fail


Warisan Melayu

Bukan Sekadar Pembawa Zuriat


Kaum wanita turut berperanan dalam minda masyarakat sebagai 'ibu' kepada bangsa Melayu


BERBAJU kurung berkain songket dengan selendang melekat di kepala, bertutur lembut bicara dan berjalan dengan langkah teratur.
Itulah imej yang sering timbul dalam minda apabila memperkatakan tentang wanita Melayu zamanberzaman.
Lelaki Melayu pula digambarkan sebagai seorang gagah perkasa, berani mati mempertahan pertiwi dan pe nuh dengan sifat kejantanan.
Wanita lembut dan lelaki perkasa.
Bagaimanapun, martabat seorang wanita bukanlah terletak di dapur semata sebagaimana yang dipercayai sesetengah anggota masyarakat Melayu kita.
Malahan, dalam konteks alam yang semakin mencabar, kaum wanita mempunyai peranan sebagai ejen pembangunan masyarakat.
Ini bukanlah sesuatu yang aneh dalam budaya Melayu yang antaranya turut mengiktiraf sumbangan Siti Zubaidah dan Tun Teja terhadap pembangunan masyarakat pada zaman mereka.
Namun demikian, sayangnya, kehadiran mereka lazimnya dibayangi tokoh-tokoh lelaki.
Lantaran itu, peranan dan pengaruh mereka dalam membentuk tamadun Melayu kadangkala diketepikan oleh masyarakat Melayu sendiri.
Menariknya, dalam lipatan sejarah Melayu sendiri, sekitar abad ke-17, terdapat lebih kurang 10 puteri Melayu yang menjadi pemerintah negeri.
Hal tersebut malahan turut dicatatkan oleh J. Jacobs, seorang peneliti sosiologi masyarakat Aceh.
Menurutnya, ketika Belanda menyerang Samalanga, Aceh, mereka dikejutkan oleh kehadiran Pocut Maligai, seorang pemimpin wanita yang bermati-matian dalam membela negaranya.
Bahkan, antara kejayaan pemimpin daerah tersebut termasuklah membutakan sebelah mata seorang jeneral Belanda sehinggakan terpaksa bergelar 'Jeneral Mata Satu'.
Biarpun begitu, nilai kesrikandian wanita tidak selalunya memerlukan wanita tersebut mengambil alih peranan yang dimainkan kaum lelaki.
Sebaliknya, nilai kesrikandian wanita sebenarnya terletak pada keupayaan wanita tersebut menjana potensi dirinya.
Dalam sejarah Singapura, antara pejuang wanita yang dapat dicontohi merupakan Raja Aisyah Sulaiman, iaitu cucu Raja Ali Haji.
Sejak 1913, selepas penjajahan Belanda terhadap kerajaan Riau-Lingga, beliau telah meninggalkan suaminya di Jepun untuk ke Singapura.
Suaminya pada waktu itu sibuk berusaha mendapatkan bantuan kerajaan Jepun bagi menentang Belanda.
Bagaimanapun, Raja Aisyah akhirnya dikejutkan dengan berita kematian suaminya di Tokyo pada 1914.
Seiring itu, barangkali atas ketidakpuasan akan layanan terhadap dirinya setelah bergelar janda, beliau mula mendekati bidang penulisan sebagai pelantar bagi membela kaum wanita.
Mengolahkan strategi bagi meningkatkan martabat wanita Melayu di mata dunia, Raja Aisyah telah mengorak langkah untuk berjinak-jinak dengan arus feminisme yang mula menebal pada saat tersebut.
Hal tersebut telah berjaya beliau lakukan biarpun tidak mendapat sokongan daripada ahli masyarakat wanita yang lain.
Bersenjatakan pena, Raja Aisyah memberontak secara ekspresif lewat karya-karya tulisannya sehingga mencetuskan gelombang feminisme yang pertama dalam arus kesusasteraan Melayu.
Mencari benang yang menyatukan segenap sejarah tokoh-tokoh wanita Melayu, jati diri mereka sebagai insan Muslim yang berpendirian teguh tidak pernah diabaikan. Sebesar mana pun semarak api cita-cita mereka, perkara tersebut tidak pernah mengubah pendirian mereka sendiri.
Di sudut yang lain pula, penindasan terhadap peranan wanita dalam masyarakat Melayu sebenarnya sama sekali tidak pernah hadir. Ini langsung berbeza daripada kecenderungan tamadun-tamadun lain yang kadangkala meletakkan taraf wanita pada tahap yang lebih rendah berbanding lelaki.
Sama ada secara sedar atau tidak, pandangan masyarakat Melayu terhadap kaum wanita turut selari dengan ajaran agama Islam.
Sekali gus, perihal tersebut turut membentuk antara faktor mengapa Islam begitu mudah menyerap ke dalam akal jiwa orang Melayu.
Membandingkan fenomena sedemikian dengan arus feminisme di Barat, masyarakat Melayu tidak pernah memerlukan sebuah wadah khusus untuk menyatakan gagasan wanita sebagai kaum yang bermaruah.
Di samping itu, memeranjatkan pula bagi sesetengah orang, konsep wanita sebagai kaum yang benar-benar lemah sebenarnya hanya mula hadir dalam minda kaum lelaki pada zaman moden.
Lantaran itu, terdapat keperluan bagi masyarakat Melayu pada masa kini mengimbau kembali daya fikiran mereka dan bertanya akan konsep 'kemajuan' akal dan jiwa mereka.
Akhir kata, dalam konteks pemikiran masyarakat Melayu tradisional, peranan lelaki sebagai pembela wanita hanya meliputi beberapa aspek tertentu seperti daya kekuatan jasmani dan dalam soal pencarian nafkah.
Bagaimanapun, kaum wanita turut berperanan dalam minda masyarakat sebagai 'ibu' kepada bangsa Melayu itu sendiri.
Pendek kata, wanita bukanlah sekadar pembawa zuriat bagi kaum masyarakat Melayu.

Monday, September 17, 2012

pantun - pengantin


WARISAN PANTUN

Kalau nak lihat pengantin perempuan...

 DI majlis-majlis perkahwinan akan lebih meriah lagi jika diserikan dengan acara berbalas pantun.
Biasanya beberapa minit sebelum mempelai lelaki tiba, Mak Andam akan menutup wajah pengantin perempuan di pelamin dengan kipas.
 Alangkah terkejutnya bagi Mak Andam yang tiada persiapan, jika Pak Tua atau wakil pengantin lelaki menjual pantun begini:
 Tepak beralas si kain satin,
Kain bersulam mawar merah;
Tolonglah buka kipas pengantin,
Mempelai lelaki nak tengok wajah.
 Apabila mendengar pantun dijual oleh wakil pengantin lelaki, Mak Andam harus menjawab dengan berpantun juga.
Pertama, Mak Andam tentunya tahu bahawa hendak membuka 'kipas pengantin' yang menutupi wajah mempelai perempuan perlu bersyarat.
Jadi fikirkan dulu tentang maksud pantunnya, pada baris ketiga dan keempat rangkap pantun membeli.
 Buka bukan sebarang buka,
Ada syaratnya, membuka kipas.
 Sudah siap maksud pantunnya, barulah dikarang akan pembayang maksudnya:
 Onde-onde buah Melaka,
Dijual nyonya berbatik lepas;
 Jadi kalau dirangkapkan kesemuanya, pantun membeli daripada Mak Andam akan berbunyi begini:
 Onde-onde buah Melaka,
Dijual nyonya berbatik lepas;
Buka bukan sebarang buka,
Ada syaratnya membuka kipas.
 Selepas mendengar jawapan Mak Andam tadi, tentunya wakil pengantin lelaki akan bertanya lagi seperti begini:
 Berawan larat si batik lepas,
Cantik dipakai oleh Cik Nyonya;
Jika bersyarat membuka kipas,
Tolong terangkan apa syaratnya.
 Setelah mendengar pertanyaan wakil pengantin lelaki tadi, Mak Andam perlu memberi jawapan sebagai membeli jualan pantun tadi.  Sekali lagi fikirkan dulu maksud pantun di baris ketiga dan keempat.
Buka kipas syaratnya bayar,
Wang tunai biarlah patut.
 Sudah tahu akan maksud pantun sebagai jawapan, karangi pula akan pembayang maksud pantun.
 Buah nanas dibawa belayar,
Menuju ke Brunei melangkah laut;
 Jika dirangkumkan menjadi satu, maka bunyinya kedengaran begini:
 Buah nanas dibawa belayar,
Menuju ke Brunei melangkah laut;
Buka kipas syaratnya bayar,
Wang tunai biarlah patut.
 Begitulah pantun jual beli di antara wakil pengantin lelaki dan Mak Andam di satu majlis persandingan sepasang mempelai. Semoga dengan meneliti pantun-pantun tadi, anda dapat menghasilkan pantun yang lebih bermutu.

kemenyan



CARA LAMA: Masyarakat Melayu dahulu menggunakan asap kemenyan sebagai satu cara melindungi barangan tersebut daripada dirosakkan dek cuaca. Secara saintifiknya, apabila asap daripada kemenyan dikenakan pada barangan tersebut, asap tersebut akan membentuk lapisan khusus atas permukaan bahan. - Foto hiasan
WARISAN KITA

Kemenyan: Ilmu Aromaterapi Orang Melayu

PENGGUNAAN kemenyan, sejenis bahan wangian tradisional, sering kali menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat Melayu kita sendiri.
Dari dahulu sampai sekarang, penggunaan bahan tersebut sering dikaitkan dengan unsur mistik yang kononnya melibatkan amalan memuja jin, roh dan sebagainya.
Lantas, ada yang menyifatkan amalan membakar kemenyan sebagai satu kurafat atau perbuatan syirik.
Di samping itu, ada di antara kita yang akan mudah meremang bulu roma apabila terhidu aroma kemenyan, terutama pada waktu senja dan malam Jumaat... kononnya ia menandakan kehadiran hantu atau makhluk halus.
Benarkah demikian?
Bahan kemenyan sebenarnya berasal daripada getah sejenis pohon hutan yang juga disebut pohon kemenyan.
Ia terdapat di hutan-hutan rantau ini termasuk Malaysia dan Indonesia.
Getah kemenyan mengandungi asam sinamat yang banyak digunakan untuk industri farmasi, kosmetik, rokok dan ubat-ubatan.
Nama botaninya ialah Styrax benzoin Dryand, yang termasuk famili Stryraccaceae dari ordo Ebeneles.
Sebenarnya, membakar kemenyan merupakan antara amalan tradisional turun temurun orang Melayu kita.
Adat membakar wangian telah pun wujud dalam rangka budaya masyarakat Arab Islam sejak zaman dahulu lagi.
Para ulama bahkan sepakat bahawa amalan tersebut tidak berunsur syirik.
Demikian juga, pembakaran kemenyan dalam ruang budaya orang Melayu sebenarnya mempunyai nilai-nilai pragmatik dan bukannya spiritual semata-mata.
Dalam konteks ilmu sains moden, amalan membakar kemenyan sebenarnya merupakan ilmu aromaterapi bagi orang Melayu.
Selain bertindak sebagai bahan pewangi, asap kemenyan turut berguna bagi merawat pelbagai jenis khazanah Melayu. Di rantau dunia Melayu sering hujan sehingga menyukarkan proses menyimpan beberapa khazanah seperti kain dan senjata.
Cuaca daerah Melayu yang lazimnya lembap membuat barangan tekstil mudah rapuh dan bercendawan, sementara bahan yang diperbuat daripada besi mudah karat.
Untuk mengatasi masalah ini, masyarakat Melayu dahulu menggunakan asap kemenyan sebagai satu cara melindungi barangan tersebut daripada dirosakkan dek cuaca.
Secara saintifiknya, apabila asap daripada kemenyan dikenakan pada barangan tersebut, asap tersebut akan membentuk lapisan khusus atas permukaan bahan.
Hasilnya, barangan tersebut akan dapat bertahan lama di samping berbau harum dan membunuh kuman dan cendawan.
Perihal yang sama malah berlaku apabila tubuh seseorang dikenakan dengan asap kemenyan.
Kajian saintifik oleh ahli-ahli aromaterapi dunia mendedahkan bahawa kemenyan dapat mengekalkan awet muda seseorang di samping merawat luka-luka kecil.
Bagi memudahkan penggunaannya, kemenyan Melayu ataupun benzoin kian dijadikan dalam bentuk minyak.
Hasil daripada pelbagai kajian pula, minyak kemenyan digunakan bagi mengubati batuk dan selesema.
Walau bagaimanapun, dalam konteks perubatan tradisional Melayu, masalahnya mula muncul apabila mantera-mantera tertentu dimasukkan bersama penggunaan kemenyan.
Sedangkan penggunaan kemenyan semata sebenarnya kian terbukti secara saintifk, akal Melayu tradisional yang cenderung terhadap alam kerohanian gemar memasukkan unsur-unsur berbaur mistik.
Apatah lagi, amalan tersebut sudah bertapak sekian lama dalam adat Melayu yang secara puratanya dianggap jahil.
Harus difahami bahawa terdapat kecenderungan dalam mana-mana adat dunia sekalipun untuk menyatukan tradisi ilmu mereka dengan amalan-amalan tertentu.
Hal yang sama malah turut wujud dalam konsep orang Melayu.
Kini perkembangan ilmu saintifik berkenaan kemenyan pastinya memeranjatkan ramai daripada anggota masyarakat Melayu.
Sedangkan kemenyan Melayu sememangnya berasal dari rantau ini, kajian berkenaan bahan tersebut malah lebih giat dilakukan oleh masyarakat asing.
Lebih aneh lagi, ilmu yang didatangkan oleh masyarakat luar seolah-olah dianggap sebagai eksotik dan saintifik sedangkan ilmu-ilmu tempatan dianggap sebagai syirik dan khurafat.
Dalam konteks semasa, masalah kurang percaya diri terhadap kepandaian sendiri mendedahkan betapa perlunya masyarakat Melayu menilai semula akal kebijaksanaan tempatan.
Jelas sekali, harus disedari bahawa manusia Melayu bukan sahaja merujuk pada bangsa semata dan malah turut merupakan sebuah tamadun dunia yang tinggi nilai dan maruah.

Tuesday, September 11, 2012

Seni tanda pola pemikiran oleh Muhammad Jailanai Abu Talib

PENGARUH ALAM DALAM HIDUP ORANG MELAYU: Sistem motif 'awan larat' yang dihasilkan sebenarnya turut mengandungi konsep tasawuf ataupun nilai spiritual.
- Foto ihsan MUHAMMAD JAILANI ABU TALIB
warisan kita

Seni sebagai tanda dalam menilai keunggulan pola pemikiran

MANUSIA kadangkala terlalu asyik berhujah dan berkata tanpa menyedari kepentingan memerhati dan berfikir.
Pada saat-saat kealpaan demikianlah seni menjadi wadah yang penting bagi mencari buah fikiran sesuatu kaum.
Seni lazimnya diangkat sebagai tanda dalam menilai keunggulan pola pemikiran masyarakat.
Ia sering menjadi pengukur dalam meneliti jiwa dan pemikiran sesuatu bangsa.
Tidak menghairankan, karya kesenian dianggap begitu bernilai dalam sesetengah masyarakat.
Masyarakat Melayu turut meletakkan kesenian pada tangga yang tinggi dalam kehidupan mereka.
Menzahirkan konsep 'alam terkembang menjadi guru', kesenian dalam alam Melayu menggarap inti dan jiwa alam bagi membentuk citra dan rupa pemikiran, yakni karya seni yang dihasilkan.
Ini lebih jelas lagi setelah kedatangan Islam ke rantau Melayu.
Tidak seperti agama-agama pra-Islam yang dianuti bangsa Melayu sebelumnya, Islam mengubah roh Melayu secara menyeluruh.
Kesenian Melayu turut menerima kesan yang mendalam daripada pengaruh agama Islam itu.
Secara bertahap, gambaran-gambaran yang memetik secara langsung daripada unsur-unsur dunia Melayu seperti haiwan-haiwan dan dewa-dewa hilang satu persatu.
Ia digantikan dengan ciri-ciri pepohon dan daun-daunan serta alam semula jadi yang lain.
Berbeza daripada peradaban-peradaban lain yang cenderung terhadap bentuk mimesis atau peniruan langsung, peradaban Melayu lebih cenderung kepada bentuk yang lebih abstrak.
Lewat penyerapan Islam ke dalam akal fikiran orang Melayu, kesenian tradisional telah mula mendekati konsep kesenian moden.
Memanjangkan falsafah berguru dengan alam, seniman-seniman Melayu mencorakkan pandangan mereka terhadap alam lewat gerak intuitif batin mereka.
Hal tersebut antaranya dikenali manusia Melayu sebagai 'gerak mata hati'.
Hasil daripada penelitian batin mereka, seluruh alam menjadi satu tanpa sebarang perpisahan antara langit dengan bumi; mahupun hidup atau mati.
Begitu tingginya usaha para seniman tradisional mencari kesatuan dengan alam, karya-karya yang dihasilkan tidak kontang daripada falsafah yang mendalam.
Bahkan, bagi peneliti yang lebih peka, seolah-olah terdapat 'semangat' yang sakti tentang karya-karya sedemikian.
Semangat tersebut antaranya ditimbulkan lewat lapan elemen utama dalam seni permotifan Melayu, yakni benih, batang, ranting, sulur, pucuk, daun, bunga dan buah.
Andai diperhatikan, perkara-perkara tersebut sekali gus menampakkan pengaruh alam dalam hidup orang Melayu.
Mencerminkan kehalusan mereka, setiap bahagian kemudiannya dibentuk secara lembut dalam garisan-garisan yang abstrak.
Namun, terlepas daripada pandangan ramai, sistem motif 'awan larat' yang dihasilkan itu sebenarnya turut mengandungi konsep tasawuf ataupun nilai spiritual.
Hampir selalunya, motif yang dihasilkan bermula daripada satu sumber, punca ataupun ibu. Berkembang daripada punca tersebut, seluruh alur garisan akan menghala berpaling daripada punca sebagai sumber ibu.
Mengenal pasti 'punca' tersebut teramat penting bagi melihat karya-karya ukir Melayu.
Pada hujung setiap garisan yang berkembang daripada 'punca' yang diukir, garisan akan melentik dan menghadap kembali padanya.
Secara tersirat, motif awan larat melakarkan bagaimana setiap detik perjalanan manusia harus bertasbih dan memandang kepada-Nya.
Menggunakan kesenian yang halus, manusia Melayu sering diingatkan supaya menyedari kelahiran dan kematian masing-masing serta Tuhan yang mengaturkannya.
Cuma, sama seperti kebanyakan ilmu Melayu yang tinggi, mesej yang tersimpan sengaja dikiaskan agar hanya didekati insan yang benar-benar tulus berkenalan dengannya.
Siapa sangka, reka bentuk Melayu yang begitu ringkas sebenarnya sarat dengan nilai-nilai kerohanian yang begitu tinggi.
Dalam hal ini, adalah wajar sekiranya seni ukir dikaji dan diteliti secara lebih serius, bukan lagi setakat melihatnya sebagai bahan perhiasan.