Thursday, May 28, 2009

USAH BAZIR CUTI SEKOLAH

28 Mei 2009 KALAM INSAN

USAH BAZIR CUTI SEKOLAH NANTI

Oleh A. Rahman Basrun

MINGGU depan, musim cuti sekolah bermula.
Tanpa disedari, hampir separuh 2009 sudah pun berlalu.
Dalam tempoh sesingkat itu, dunia pesat mencatat sejarah - gara-gara gejala serba hebat yang tampak tidak putus-putus berlaku.
Daripada pengangkatan Encik Barack Obama sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat, kepada merebaknya flu babi dan kemelorotan ekonomi, kesemuanya mengingatkan kita supaya bijak menjejak peredaran masa agar kelak tidak tercengang ketinggalan atau tercungap-cungap mengejar waktu.
Tidak apalah; mudah-mudahan cuti sekolah nanti memberi kita sedikit kelepasan dan kelapangan untuk bersandar, membujurkan kaki dan segar semula.
Cuma kasihan orang sekarang - kalau ikut zaman saya, setiap kali tibanya cuti sekolah disambut sorak-sorai, kini tahap kegirangannya tidaklah sehebat dahulu.
Kalau dahulu, cuti sekolah betul-betul membawa erti cuti, yakni tidak perlu fikir tentang sekolah langsung buat lebih sebulan lamanya. Zaman kini pula, erti cuti sekolah hanya pada nama.
Misalnya, sepanjang empat minggu mendatang, dua anak lelaki saya akan tetap keluar masuk pagar sekolah mereka seperti biasa. Apakan tidak, ada sahaja pertandingan, kelas pengayaan, bengkel atau kem yang perlu mereka hadiri.
Disebabkan sekolah mereka jauh-jauh belaka dari rumah kami, apalagi, maksud tersiratnya saya sebagai 'drebar' mereka pun terpaksa lupakan sahaja tentang cuti!
Memang, keadaan ini tidak boleh dielakkan lagi, memandangkan kepesatan dunia berkembang seperti yang saya nyatakan tadi.
Itu tidak bermakna tiada baki masa daripada cuti sekolah untuk dinikmati.
Yang penting, bagaimana kita manfaatkan masa yang tersisa.
Sesetengah kita mengambil peluang cuti sekolah untuk melancong - ke seberang Tambak pun jadi, janji keluar negeri.
Ada ibu bapa pula membiarkan anak 'lepaskan geram' - bangun tidur, sarapan, main Xbox, makan tengah hari, tonton TV, main Xbox, makan malam, sambung tonton TV, masuk tidur, mimpi tentang Xbox dan esok sambung lagi.
Memang tidak salah itu semua. Cuma sebagaimana pihak sekolah kini menambah nilai pada masa cuti sekolah, mungkin kita juga perlu bertindak serupa.
Bagi saya, masa cuti memberi kita masa untuk berhenti sejenak dan berfikir panjang tentang keadaan kita.
Bahasa Inggerisnya, contemplate atau retrospect. Bahasa Arabnya, 'tafakur'.
Maklumlah, setiap hari kita bergelumang dengan kerja - si ayah untuk mencari rezeki, si ibu sebagai suri rumah tangga, si anak untuk menjadi pelajar bestari.
Begitu khusyuk kita, hinggakan kadang kala kita hilang perhitungan dan kemudian imbangan.
Maka berlakulah gejala si ayah yang lupakan keluarga kerana kerja di pejabat, atau si ibu yang murung kerana berasa terkurung dengan kerja rumah, atau si anak yang berasa tertekan untuk cemerlang dalam peperiksaan.
Kerana itu, gunakanlah masa cuti sekolah untuk bermuhasabah diri kita sekeluarga dan memulihkan sebarang imbangan yang songsang.
Sebenarnya, ini konsep baru. Budaya Islam sendiri memberi kita banyak peluang untuk contemplate atau bertafakur (merenung).
Misalnya, ibadah puasa sepanjang Ramadan memberi badan kita 'cuti' daripada makan dan peluang untuk kita memikirkan tentang tahap kesihatan jasmani dan rohani kita masing-masing.
Solat fardu pula mengajak kita berhenti sejenak lima kali sehari untuk merenungi tahap prestasi kita antara dua solat fardu.
Ibarat kita bernafas - tiada seorang pun dalam dunia yang terus menghela nafas tanpa henti; perlu ada ketika peparu kita sudah cukup dengan udara dan kita berhenti sejenak untuk menghembus nafas keluar pula sebelum sambung bernafas seperti biasa.
Jadi, gunakanlah masa cuti sekolah kali ini untuk menyusun semula pernafasan hidup kita.
Berikut beberapa garis panduan:
Kalau kita dapati ikatan keluarga renggang, ambil langkah mengeratkannya semula.
Jalankan kegiatan secara bersama masa cuti sekolah ini - berkelah, tonton televisyen, melancong. Cuma mestilah jelas tentang tujuannya.
Misalnya, saya hairan melihat keluarga yang melancong keluar negeri untuk hilangkan stres, tetapi apabila pulang, balik stres seperti sedia kala.
Jinak-jinakkanlah keluarga kita dengan tempat-tempat yang sihat dan bermanfaat seperti perpustakaan dan masjid.
Terus terang, saya berasa segan melihat gelagat sesetengah remaja kita di pustaka - macam rusa masuk kampung. Itu pun bilangan mereka tidak ramai.
Jangan tunggu bulan puasa untuk ubah suai rumah.
Gembleng tenaga sekeluarga masa cuti sekolah ini untuk memperindahkan rumah agar terpaut hati kita padanya - bukan pada kolong blok, kedai kopi, Batam atau tepi pantai.
Jadikan suasana rumah kita tempat tanda jempol untuk bergaul, berbual, belajar atau membuat apa sahaja.
Pokoknya, masa cuti sekolah memberi kita ruang dan peluang untuk mencuba cara-cara baru demi mencapai kehidupan yang lebih terancang, cemerlang dan seimbang.
Atau anda masih terlalu sibuk menghela nafas panjang?

No comments:

Post a Comment