Thursday, May 28, 2009

Budaya: JANGAN KITA DINILAI TANPA BUDAYA

Komentar : 28 Mei 2009


PADA HEMAT SAYA

JANGAN KITA DINILAI TANPA BUDAYA
OlehMohd Raman Daud

tidak berguna atau relevankah kebudayaan Melayu?
Demikian soal seorang anak muda yang membuat kajian tentang kebudayaan Melayu di Singapura.
Menurutnya, banyak aspek kebudayaan Melayu kian hilang ditelan zaman - bak terkubur tanpa bernisan.
Sekadar contoh, beliau memberitahu saya bahawa adat belah mulut (untuk bayi) dan turun tanah (tahap bayi yang sudah mula boleh berjalan) sudah tiada lagi. Lenggang perut sudah disahkan berbahaya kepada ibu yang sarat, menurut doktor.
Bahkan anak-anak sekarang berlari di depan orang tua tanpa membongkok hormat atau minta 'pamit' (minta diri).
Saya bertanya kepada anak muda itu: 'Pernah baca buku Kebudayaan Melayu Sepintas Lalu (1962) tulisan Mahmud Ahmad dan buku karya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, Nilam (2005)?'
Jawabnya: belum. Tetapi mengapa buat kesimpulan semudah itu?
Anak muda ini juga bingung atau keliru membezakan antara kebudayaan Melayu dengan kebudayaan Islam. Menurutnya, orang Melayu kerana rata-rata beragama Islam, lebih sesuai memakai kebudayaan Islam sahaja.
Izinkan saya berkongsi pandangan saya untuk anak muda tadi dengan pembaca sekalian.
Menurut Ismail R Al-Faruqi (almarhum) lewat karya besarnya, Atlas Budaya Islam (1992) yang turut ditulis oleh isterinya, Lamya (almarhumah), budaya Islam merupakan warisan seluruh umat Islam, termasuk sumbangan setiap kaum yang menjadi pemeluknya seperti Arab sehinggalah Melayu.
Yang utama, budaya yang dianggap Islam itu tidak menyalahi ajaran Al-Quran dan Sunah. Sebaliknya, budaya kaum Muslim perlu tunduk kepada Islam. Dalam rangka inilah, adat Melayu sering dikatakan:
Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah (Quran)
Dalam masyarakat Melayu misalnya, tradisi cukur rambut dan belah mulut dikatakan telah lama ada sebelum kedatangan Islam ke rantau ini sekitar abad kelapan Masihi. Ini kerana pedagang Arab termasuk dari Makkah dipercayai melalui rantau ini sejak ribuan tahun.
Kerajaan Islam yang awal dikenal pasti di Pasai pada seawal abad ke-13 Masihi. Anehnya ada batu nisan yang berciri Islam ditemui di Jawa sekitar 1082 Masihi.
Tradisi cukur rambut pula memang terdapat dalam amalan Rasulullah. Maka dengan senang hati orang Melayu menerimanya. Begitu juga dengan belah mulut yang dipanggil tahnik. Dua amalan ini memang cukup sesuai diteruskan sehingga hari ini.
Cuma dahulu, cukur rambut bayi Melayu dibuat dengan rambut si bayi dimasukkan ke dalam air yang ditadah tempurung kelapa. Kemudian rambut bayi ditanam. Habis cerita.
Tetapi dalam Islam, rambut bayi tadi ditimbang sesuai ukuran emas untuk disedekahkan kepada orang susah dan barulah kemudian ditanam.
Bahkan kerana Islamlah, banyak adat Melayu diubah suai agar tidak menyalahi ketentuan agama.
Namun rumpun Melayu tidak semuanya beragama Islam. Jika dikaji taburan dan tebaran rumpun Melayu di rantau ini sahaja, memang terdapat yang bukan beragama Islam. Contoh, masyarakat Filipina mengakui sebagai bangsa Melayu tetapi majoriti beragama Kristian.
Beginilah keunikan hidup manusia. Tetapi ia juga berlaku pada bangsa Arab misalnya, yang tidak semuanya beragama Islam.
Identiti atau jati diri Melayu sering dikaitkan dengan tiga teras iaitu kebudayaan, bahasa dan Islam. Namun bagi masyarakat lain, tiga teras ini tidak semestinya dapat dipakai.
Saya pernah menemui seorang warga Amerika berketurunan Cina yang tidak fasih Mandarin dan lebih 'mat salih' daripada 'mat salih' namun tetap mengakui dirinya sebagai seorang anak rumpun Cina.
Oleh itu, selain faktor zahir seperti warna kulit atau tiga teras tadi (budaya, bahasa dan kepercayaan), faktor rohani atau jiwa perlu diambil kira dalam menilai diri seseorang.
Presiden Barack Obama merupakan contoh luar biasa - daripada sebelah ayahnya, beliau mewarisi tradisi Islam dan kebudayaan Kenya tetapi daripada ibunya pula warisan Kristian dan kebudayaan Amerika (kulit putih). Yang jelas, Encik Obama cenderung pada jalur sebelah ibunya walaupun mengakui saudara-maranya di Kenya.
Nah, berbalik kepada soalan relevan atau tidak kebudayaan Melayu, jawapan bergantung pada diri kita sendiri sebagai pengamal ilmu dan penggalaknya.
Hakikatnya, bahasa Melayu dan cara hidup Melayu masih ketara di mana-mana. Saban hari raya, anak Melayu kita suka berbaju kurung. Namun tanyakanlah kepada mereka apa erti 'baju kurung'?
Sebenarnya lambang baju kurung cukup indah dan menepati segala ciri keislaman dan susila Melayu.
'Kurung' bererti kita dikepung oleh unsur-unsur kesopanan iaitu menutup aurat (meliputi, tidak ketat sehingga nampak bentuk tubuh dan tidak pula jarang).
Saya teringat perihal Almarhum Syeikh Abdul Karim Al-Banjari, alim besar dari kawasan Banjar di Kalimatan Timur dan lama bermastautin di Makkah (termasuk menjadi pengajar di Masjidil Haram sehingga akhir hayatnya).
Menurutnya, bahasa dan kebudayaan Melayu akur pada Islam. Dalam halaqah (kelasnya) di dalam Masjid Haram, saya dapati tutur katanya kaya dengan peribahasa lama yang jarang kedengaran kini.
Islam akan terus perkasa, katanya, sehingga ke akhir zaman. Selagi kebudayaan Melayu bersendikan Islam, selagi itulah kita tidak akan ketinggalan zaman.
Namun saya faham keprihatinan anak muda tadi. Beliau melihat kebudayaan Melayu sering dipaparkan melalui tarian, pencak silat dan sebagainya. Manakah aspek ketinggian ilmunya?
Kebudayaan akan menjadi bermakna jika ia dipelajari secara berilmu dan bukan asal sedap sendiri (syok sendiri). Umpamanya, dalam seni pencak silat terdapat ilmu nafas, memperkuat otot, menumpukan perhatian (konsentrasi) dan sebagainya. Bahkan ilmu ini dapat dikembangkan menjadi senaman harian sehingga memastikan orang Melayu sihat-sihat belaka.
Begitu juga dengan jamu Melayu. Yang sering kita dengar hanya jamu kuat tenaga batin tetapi mengakibatkan pembelinya jatuh miskin. Sebab, jamu tadi beracun! Tetapi dengan ilmu saintifik, jamu rumusan nenek moyang boleh diadun dengan jayanya. Bahkan ia boleh menjadi alternatif bagi mengubati pelbagai penyakit dan dibentangkan dapatannya dalam sidang antarabangsa.
Budaya juga perlukan promosi atau daya galak. Sayangnya, daya niaga orang kita agak kurang ampuh berbanding kaum lain sehinggakan kuih Melayu dikenali sebagai kuih nyonya manakala seni urutan dan jamu Melayu menguntungkan usahawan lain.
Sesungguhnya, budaya itu menjadi gemilang kerana ilmu dan akhlak pengamalnya. Jadi, rumus matematik bagi kebudayaan = f(mutu pengamalnya).
Jadi, selagi pengamal budaya Melayu itu berguna orangnya, begitulah budayanya. Lebih besar sumbangannya, lagi tinggi nilainya.

No comments:

Post a Comment