25 Julai 2009
EKSTRA!
Menulis bukan kerana nama
Karya Manaf Hamzah lebih popular di Malaysia berbanding Singapura
Oleh
Suryani Omar
MELIHAT Manaf Hamzah, dengan topi di kepalanya dan beg kanvas yang dibawanya, tiada siapa akan menyangka beliau seorang penulis novel yang mendapat sambutan hangat di Malaysia.
Pekerja kilang yang menetap di Bukit Panjang bersama isteri dan tiga anaknya itu menyifatkan dirinya sebagai seorang penulis secara kebetulan.
Ketika usianya baru 22 tahun, Manaf, atau nama penuhnya Abdul Manaf Abdul Kadir, begitu tersentuh dengan novel klasik bahasa Inggeris, Pride and Prejudice, karangan Jane Austen sehingga beliau menterjemahkan sebahagian novel tersebut.
'Dari situ saya terfikir, mengapa tidak saya cuba menulis novel sendiri. Alhamdulillah, ilham dan inspirasi datang begitu sahaja, watak-watak tercetus dalam minda saya. Saya menulis sambil menangis kerana begitu khusyuk menulis novel tersebut,' katanya, yang kini berusia 44 tahun.
Dari situ terlahirlah novel pertamanya, Dedaun Hijau di Langit, yang disiapkan dalam tiga bulan.
Menceritakan pengalamannya, Manaf berkata beliau memberikan naskhah novel itu kepada kakak iparnya untuk membacanya.
'Saya beritahu diri saya, kalau dia (kakak ipar) tidak menangis, berakhirlah perjalanan yang belum pun bermula. Tetapi beliau menelefon saya dan memberitahu beliau tidak dapat meletakkan buku itu dan tidur pada 2 pagi semata-mata untuk membacanya,' ujar Manaf yang mula menulis pada 1986.
Berbekalkan dorongan tersebut, Manaf menghubungi pihak Pustaka Nasional untuk bertanya jika ia berminat menerbitkan karyanya.
Allahyarham Syed Ahmad Semait, pengarah Pustaka Nasional ketika itu, tambahnya, adalah orang yang banyak membantunya.
Dua minggu selepas karyanya dihantar, Pustaka Nasional menghubunginya untuk memberitahu mereka akan menerbitkan bukunya di bawah syarikat percetakan Pena Mas.
SAMBUTAN HANGAT
Manaf pula tidak diperlukan mengeluarkan sebarang modal.
'Tetapi selepas buku tersebut terbit, senyap sementara kerana saya tidak hubungi Pustaka Nasional dan mereka pun tidak hubungi saya. Saya pun tidak tahu sambutan terhadap buku saya, tetapi saya terus menulis dalam diam,' ceritanya lagi dan mendedahkan bahawa ketika itulah beliau mula menulis Aylana dan kemudian, Anggerik di Tangkai Mawar.
Setelah menyepi selama lima tahun, Manaf tergerak mengirimkan pesanan menerusi e-mel kepada Pustaka Nasional pada 2001.
'Allahyarham Syed Ahmad bertanya saya, 'Di mana awak menghilang?'.
'Katanya, novel pertama saya mendapat sambutan hangat di Malaysia dan diminati ramai pelajar sehingga mereka membuat salinan buku saya. Beliau pun bertanya jika saya ada novel baru untuk diterbitkan.
'Sejak itu karya-karya saya terus diterbitkan,' tambah Manaf yang berkongsi bahawa beliau menulis setiap hari, di mana sahaja biarpun di tempat kerja, 'apabila mesin sedang bergerak dan ilham datang'.
Aylana mendapat Hadiah Sastera Novel Persuratan 2007.
Malah, Dedaun Hijau di Langit mendapat tawaran daripada syarikat penerbitan drama setempat untuk dijadikan siri drama, namun rancangan tersebut tidak diteruskan.
Novel terbarunya dan yang kelima, Dalam Kehangatan Dakapan Senja, dilancarkan April lalu di Malaysia dan Mei lalu di Singapura.
Novel-novel yang dihasilkan Manaf berlatarbelakangkan zaman moden hari ini atau suasana purba di Turkey seperti Aylana dan Sekeras Waja Selembut Sutera.
Walaupun tidak pernah ke Turkey, Manaf dapat menghidupkan suasana di Turkey kerana giat membuat kajian, membaca buku melancong dan merujuk kepada laman Internet.
'Saya ingin ke Turkey untuk melihat sendiri apa yang setakat ini hanya saya bayangkan,' katanya lagi. Beliau kini merancang menyiapkan lukisan bagi siri novel kanak-kanak yang dihasilkan sejak 2002.
Ditanya mengenai sambutan pembaca setempat terhadap buku-bukunya, Manaf mengakui sambutan daripada warga Singapura tidaklah serancak pembaca di seberang Tambak.
Beliau berpendapat bahawa ini disebabkan pembacaan karya bahasa Melayu agak rendah di sini kerana ramai yang memilih membaca buku bahasa Inggeris.
Apakah pula pesanannya bagi mereka yang ingin menulis?
'Ikhlaskan hati dan jangan menulis kerana inginkan nama atau keuntungan,' jawabnya secara luhur.
--------------------------------------------------------------------------------
BIODATA
Nama: Abdul Manaf Abdul Kadir (Manaf Hamzah)
Umur: 44 tahun
Pencapaian: Hadiah Sastera Novel Anugerah Persuratan 2007 untuk novel 'Aylana'
Pendidikan: Sijil Am Pelajaran peringkat 'O' (GCE 'O' Level)
Keluarga: Bapa tiga orang anak berusia antara 12 tahun dengan tujuh tahun. Isteri, Azizah Kamarudin, 40 tahun, juga bekerja.
Mula menulis: Giat menulis sejak 1986.
No comments:
Post a Comment