Monday, June 1, 2009

AGAMA - SEKULAR

PERANAN AGAMA DI NEGARA SEKULAR

Oleh Muhammad Haniff Hassan Dan Tuty Raihanah Mostarom

KEMELUT perebutan teraju Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan mengenai peranan dan penglibatan agama di ruang umum masyarakat Singapura.
Bermula dengan soal kepimpinan, kemelutnya menjurus pula pada isu homoseksualiti dalam pakej pendidikan seks Aware yang diajarkan di sekolah.
Terdapat dua kelompok yang berbantah-bantah: pertama, sekumpulan aktivis Kristian dari gereja yang sama dan kumpulan yang merupakan kepimpinan lama Aware.
Pemerintah Singapura turut terpanggil untuk memberi responsnya apabila dimensi agama mula ketara.
Pernyataan Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong Kan Seng, menegaskan bahawa soal perebutan kepimpinan bukan menjadi keprihatinannya tetapi soal penglibatan agama dalam ruang umum (common space).
Berapa besarkah hak dan peranan agama dalam ruang umum sesebuah negara sekular dan majmuk seperti Singapura?
Hakikatnya, pemisahan antara agama dengan politik dalam sesebuah masyarakat sekular itu bersifat artifisial sahaja.
Dalam masyarakat pelbagai kepercayaan seperti Singapura, tiada agama yang tidak turut berinteraksi dengan ruang umum bagi membentuk sebuah masyarakat yang utuh. Oleh itu, yang menjadi pertimbangan penting ialah bukan menolak atau tidak menggalakkan penglibatan agama di ruang umum, tetapi menentukan ruang dan skop yang wajar baginya.
Bahkan, penglibatan yang lebih aktif oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk badanbadan agama, seharusnya mendapat galakan demi membolehkan penyaluran maklum balas yang lebih menyeluruh sehingga sesuatu dasar menjadi lebih berkesan dan relevan.
Tambahan pula, peminggiran agama ke 'ruang peribadi'nya sendiri memang amat mustahil dalam zaman sekarang. Oleh itu, mana-mana pemerintah haruslah lebih bersedia dan terbuka dengan kehadiran suara-suara agama dalam merangka dasar-dasarnya.
Terdapat banyak saluran bagi badan agama berinteraksi dengan isu umum masyarakat secara membina seperti bidang pendidikan, kebajikan masyarakat dan apa jua yang membabitkan isu etika dan moral.
Penglibatan kelompok agama menjadi semakin wajar apabila banyak dasar umum pemerintah memberi kesan (langsung atau tidak langsung) kepada agama dan sekali gus kehidupan seharian para penganutnya seperti dasar Pendidikan Wajib.
Tambahan pula, peningkatan kesedaran badan agama mengenai peranan yang mereka mainkan bagi kepentingan umum Singapura dan hak mereka untuk menjadi rakyat yang aktif dengan sendirinya akan menggalakkan penglibatan mereka dalam perbincangan mengenai kepentingan umum.
Penglibatan badan agama juga merupakan reaksi terhadap keinginan pemerintah untuk memupuk budaya rakyat yang aktif dan peka.
Apa jua pelibatan termasuk badan agama dalam ruang umum tentu mempunyai risiko tertentu. Namun, jika ia dapat ditangani dan diurus dengan cara yang baik, perbincangan yang melibatkan badan agama berpotensi meningkatkan lagi kefahaman semua pihak dan penyelesaian masalah yang lebih baik.
Lazimnya, pandangan agama dalam isu tertentu bercanggah dengan pendirian umum sesebuah masyarakat sekular. Hal ini boleh mencetuskan kontroversi dalam masyarakat. Jika hakikat ini dapat diterima oleh semua pihak, maka langkah selanjutnya ialah tidak cepat meminggirkan diri ke ruang peribadi masing-masing semata-mata untuk mengelakkan kontroversi berkenaan.
Peminggiran akan merugikan masyarakat kerana interaksi sihat antara kelompok agama dengan kelompok sekular perlu untuk membangun sebuah masyarakat yang tinggi daya tahannya.
Namun adalah diakui, ini hanya boleh berlaku jika semua pihak faham akan batas perdebatan yang dapat diteroka. Dalam hal ini, beberapa prinsip dapat dicadangkan kepada badan agama sebagai panduan umum penglibatan yang membina dan bermakna iaitu:
berusaha menyampaikan hasrat dan pendirian mereka secara aman;
mengikut segala tuntutan perundangan yang ada sejajar dengan prinsip demokrasi;
peka akan pihak yang lain dan,
tekal (konsisten) dengan prinsip agama yang mereka anuti.
Terdapat kebimbangan bahawa kelompok radikal dan ekstremis boleh memperalat badan agama sehingga menjejas keharmonian masyarakat Singapura.
Oleh itu, kepimpinan badan agama yang terlibat dalam isu-isu umum masyarakat hendaklah bertanggungjawab dalam memantau para ahli mereka dan tegas terhadap anasir perosak. Ini merupakan langkah pertama.
Singapura mempunyai banyak perundangan, termasuk dalam ehwal peka seperti kaum dan agama. Memadailah, masalah sedemikian diatasi menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Penjagaan Keharmonian Beragama dan undang-undang berkaitan fitnah.
Oleh itu, rakyat Singapura tidak harus terlalu bimbang mengenai bidang apakah yang patut atau tidak patut diceburi oleh badan agama kerana sudah ada undang-undang yang mencukupi bagi menangani masalah.
Tambahan pula, pemerintah telah membuktikan ketegasannya untuk bertindak ke atas mana-mana pihak yang ingin memperalat peluang yang ada untuk sesuatu agenda yang jahat.
Bagi melengkapkan penglibatan badan agama dalam isu kepentingan umum, dialog antara agama dan dialog antara kelompok agama dengan sekular dalam isu-isu yang lebih santai hendaklah dirancakkan lagi bagi tujuan membina suasana saling memahami, saling menghormati dan toleransi.
Kehadiran para pemimpin dan wakil sah kelompok agama dalam sesi sedemikian juga akan mendedahkan mereka kepada satu sama lain sehingga setiap pihak dapat dirujuk jika timbul keperluan dan setiap pihak juga tahu siapakah suara yang sah bagi setiap kelompok yang ada.
Dengan ini, suara radikal yang bersifat pinggiran tidak akan menimbulkan prejudis kepada yang lain dan mudah dibezakan daripada kelompok utama.
Contoh yang baik dalam hal ini ialah pernyataan Majlis Kebangsaan Gereja-Gereja mengenai perebutan kepimpinan Aware. Ia tegas tidak merestui penglibatan agama dalam politik kepimpinan Aware dan penglibatan gereja di bawah naungannya.
Namun, ia juga menyatakan bahawa ia tidak melarang mana-mana individu daripada menyumbang dalam kepentingan sosial dan membenarkan penglibatan gereja dalam membincangkan kepentingan umum pada batas-batas yang ditetapkan.
Pernyataan pihak gereja tadi mempunyai kesan yang besar terhadap tingkah laku umum penganut Kristian dalam politik Aware dan tanggapan umum masyarakat lain terhadap penganut Kristian. Sebabnya, Majlis Kebangsaan Gereja-Gereja merupakan badan sah lagi dihormati di Singapura.
Satu kebaikan daripada penglibatan badan-badan agama yang tidak disedari ramai ialah ia juga berfungsi menyederhanakan aliran tegar.
Di rantau ini, kita dapat melihat pelibatan kelompok Islam yang mahu menegakkan negara Islam. Sebelum penglibatan aktif dalam politik arus utama, kelompok-kelompok Islam condong menampilkan pandangan yang bersifat idealistik.
Namun banyak kelompok Islam kemudianmenjadi 'matang' setelah terdedah kepada pelbagai bahas dan kritikan apabila menceburi politik terbuka. Mereka mula menyedari bahawa di sana terdapat banyak perspektif lain yang juga bernas dan berguna berbanding pandangan mereka yang terdahulu.
Secara beransur-ansur, penglibatan dalam politik arus utama mewujudkan sikap yang lebih pragmatik dan mencairkan kejumudan dahulu. Perubahan kematangan inilah yang terjadi kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Malaysia, Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia dan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.
Perubahan ke arah kematangan juga boleh dialami oleh kelompok sekular tegar kerana pertembungannya dengan kelompok agama menerusi dialog dan interaksi yang terurus dengan baik.
Kesimpulannya, penglibatan lebih aktif badan agama dalam isu politik dan dasar umum wajar dilihat sebagai satu perkembangan yang membina kerana sejajar dengan dasar pemerintah Singapura yang menggalakkan warganya aktif dalam merangka dan mencerna dasar negara dan merancakkan masyarakat sivil.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff ialah Zamil Bersekutu dan Tuty Raihanah ialah peneliti di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Makalah ini merupakan pandangan peribadi mereka.

1 Jun 2009 Berita Harian Isnin

No comments:

Post a Comment