27 Mac 2011
KOMENTAR
CINTA Mesti pegang-pegang?
Beritahu anak muda kita, mereka boleh sahaja berkasih, tetapi jangan biarkan maruah bangsa dan agama terancam
ADA orang ketawa sinis bila kita cakap pasal dulu-dulu.
Ada yang cakap 'ala itu zaman polis pakai seluar pendek, zaman wanita kita beranak 10. Sekarang mana ada itu semua...'
Mungkin ada benarnya kata-kata sedemikian.
Bijak pandai pun ada menasihatkan agar kita jangan terlalu mengenangkan masa lalu.
Kalau kita terlalu mengungkit-ungkit masa lalu, ada bahaya kita mensia-siakan masa sekarang.
Tapi, tak dulu tak sekarang. Tidak semua yang dulu-dulu itu patut kita buang.
Kalau kita jenguk-jenguk masa lalu dengan tujuan mencari pengajaran sebagai bekal hidup masa sekarang, apa salahnya 'kan?
Kali ini, saya ingin menulis tentang cinta dulu-dulu dan cinta zaman sekarang.
Ia suatu yang dekat dengan hati anak-anak muda kita...dan yang tua juga.
Saya tergerak menulis tentang perkara ini selepas mendengar sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lama, S M Salim.
Lagunya berjudul Cinta Dulu Dulu, Cinta Sekarang.
Saya sertakan senikata lagu itu sebagai sisipan rencana ini untuk dikongsi bersama.
Kalau anda tidak tahu rentaknya tak apa, tetapi cuba hayati sahaja senikata lagu tersebut.
Anak-anak muda sekarang mungkin dah tak setuju dengan lagu tu.
Mungkin bagi mereka, lagu tersebut sudah ketinggalan zaman.
Pada mereka, apa guna bercinta kalau tak dapat bertemu?
Kalau dah cinta kenapa nak malu-malu?
Kalau dah suka sama suka, masuk Facebook sajalah... biar satu dunia tahu.
Bukan niat saya di sini untuk meleteri anak-anak muda kita... seolah-olah budak-budak zaman dulu-dulu saja yang baik, budak zaman sekarang tak guna.
Anak muda kita zaman sekarang pun ramai yang masih bersopan dalam hubungan.
Banyak juga pasangan muda kita hari ini yang bercinta dan seterusnya membina rumah tangga yang kukuh.
Cuma, ada sedikit perasaan khuatir apabila melihat sebahagian anak muda zaman sekarang yang seolah-olah sudah lupa akan adat resam dan pantang larang orang Melayu.
Jika anda buka mata dan telinga, anda akan dapat melihat sebahagian anak muda yang masih di bangku sekolah tetapi sudah pandai memadu kasih.
Ada yang tidak segan silu memanggil pasangan mereka daddy dan mami atau papa dan mama - wal hal mereka masih terlalu muda untuk fikirkan soal berumah tangga.
Ke sana sini mereka berdua; orang lain sambut hari Valentine, mereka juga sibuk beli bunga dan hadiah untuk buktikan rasa cinta pada hari tersebut.
Ada kalanya kita sendiri tidak pasti sama ada mereka ini tidak tahu atau sengaja tidak ambil peduli tentang kesan-kesan buruk yang boleh menimpa mereka jika terlalu menurut rasa cinta dan nafsu mereka.
Saya fikir, sebagai ibu bapa, kita perlu nasihatkan anak-anak kita.
Bukanlah kolot kalau masa bercinta, mereka tunjukkan sifat malu - bukan malu-malu kucing tetapi malu yang sebenar.
Sebab, jika tidak ada rasa malu, mereka mudah tunduk pada rasa mahu... mahu pegang tangan, mahu berciuman, mahu berpeluk memadu kasih dan akhirnya mahu melakukan hubungan seks yang membawa pada kepada anak-anak kita.
Anda mungkin sudah baca laporan akhbar ini bulan lalu tentang remaja yang berulang alik ke klinik di Kelantan Road kerana jangkitan penyakit kelamin akibat hubungan yang melanggar batas.
Ada yang bukan sekali, bahkan berkali-kali ke klinik tersebut kerana terkena penyakit berulang kali.
Mereka seolah-olah tidak serik. Selepas dijangkiti dan dirawat, mereka kembali dengan tabiat lama... kerana turutkan rasa cinta.
Apakah perasaan kita sebagai ibu bapa jika mendapati anak kita mengalami nasib sedemikian?
Kita kena didik anak kita bahawa cinta bukan pasport untuk melakukan sesuka hati.
Saya fikir, lagu S. M. Salim ini, walaupun lagu lama, masih banyak memberi pengajaran untuk kita fikirkan.
Kita kena didik anak-anak dan nasihatkan mereka bahawa walau sedalam mana cinta mereka pada kekasih, jangan sampai tunduk pada nafsu.
Kedua, beritahu anak-anak kita, jangan sekali-kali membelakangkan ibu bapa kerana tanpa restu ibu bapa, hidup mereka tidak akan diberkati.
Ketiga, mereka boleh sahaja bercinta, tetapi jangan biarkan maruah bangsa terancam dek perbuatan mereka. Lengkapkan mereka dengan ilmu agama sebagai pendinding dari tergelincir.
Keempat, apabila sudah berumah tangga pula, biarlah ia berkekalan sampai cangkul dan tanah memisahkan. Ertinya, sampai ke akhir hayat.
Jangan pula kita dah penat-penat buat majlis perkahwinan dengan belanja ribuan dolar, tup tup anak kita yang inai di tangan masih merah sudah buat perangai dan rumahtangga mereka goyang.
Kalau orang dulu sampai cangkul dan tanah memisahkan, anak muda kita pula baru kahwin sahaja sudah ke mahkamah untuk berpisah... nauuzubillah!